RANTAU PANJANG: Pasangan anak dan bapa saudara dari Kuala Berang, Terengganu antara 14 individu yang ditahan dalam satu operasi bersepadu membabitkan tiga agensi di sini, awal pagi semalam.
CEKUP… antara individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Rantau Panjang.
Difahamkan, mereka ditahan sebaik saja menyeberang masuk ke negara ini melalui Sungai Golok selepas berhibur di negara jiran dan ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Jabatan Imigresen.
Selain itu, seorang remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Kampung Parit, dekat sini, turut ditahan kerana membawa sebilah pisau tajam sepanjang kira-kira 12 sentimeter.
Melalui operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 6.30 awal pagi semalam, kira-kira 14 individu ditahan, termasuk lima remaja yang cuba menyeberangi secara haram ke negara jiran.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Mohamad Khalid Wahab, berkata semua yang ditahan dipercayai menyeberang masuk ke sini dan Thailand menggunakan laluan haram di pangkalan Syed Agil dan MCA, di sini.
Katanya, daripada 14 orang yang ditahan, tujuh didapati positif dadah manakala yang lain terbabit dalam kesalahan lain seperti Akta Imigresen dan membawa senjata berbahaya.
“Ini operasi kali pertama dilakukan pihak PGA7 bersama AADK dan Jabatan Imigresen, khususnya bagi menahan individu yang menyeberangi sempadan secara haram.
“Kita berharap pada masa depan operasi bersepadu seperti ini lebih kerap dilakukan bagi menyekat orang ramai menyeberangi sempadan sesuka hati, khususnya terbabit dalam kegiatan jenayah lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Khalid berkata, operasi dilakukan awal pagi semalam seakan-akan berjaya dihidu individu kerana kebanyakan mereka dikatakan enggan menyeberangi masuk ke sini semula kerana bimbang ditahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: