Thursday, April 1, 2010

Penasihat punca Woods gila seks


WOODS


NEW YORK - Bintang golf dunia, Tiger Woods menjadi seorang yang suka mengikut nafsu dan 'gila' seks kerana dia bergaul dengan dua orang 'penasihatnya' iaitu legenda bola keranjang profesional, Micheal Jordan dan Charles Barkley yang terkenal dengan kehidupan suka berfoya-foya, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas penasihatnya yang merupakan seorang peguam, John Merchant dalam satu temu ramah dengan majalah Vanity Fair baru-baru ini.

"Saya memberitahu Woods, jauhkan diri daripada Jordan kerana dia tidak memberi apa-apa selain bermain bola keranjang," kata Merchant.

Menurutnya, jika Woods mempunyai penasihat yang lebih baik, nasibnya tidak buruk seperti sekarang.

Pada tahun lalu, media mendedahkan satu siri kecurangan Woods yang menjalin hubungan seks dengan sejumlah wanita sehingga hampir menjejaskan rumah tangga dengan isterinya, Elin Nordegren.

"Saya menyayangi budak itu (Woods). Saya melihatnya membesar sejak bertahun-tahun lamanya. Saya menyaksikan semua kemusnahannya. Ia sepatutnya tidak berlaku," kata Merchant.

Menurutnya, dia dipecat kerana bergaduh dengan Woods berhubung isu kewangan.

Pada 1996, semasa Woods berumur 21 tahun, dia mendapat satu kontrak urus niaga bernilai AS$40 juta (RM130.40 juta) dengan syarikat Nike.

Merchant berkata, dia mengkritik mendiang bapa Woods kerana mengambil sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta) daripada wang tersebut.

Peguam itu berkata, dia kemudian dipecat dan Woods dikelilingi oleh sekumpulan penasihat 'pak angguk.'

Jordan pernah keluar bersama dengan seorang wanita simpanan Woods, Loredana Jolie Ferriolo semasa dia dihantar oleh seorang ibu ayam, Michelle Braun ke sebuah kasino di Bahamas.

Woods tidak kedekut apabila mendapatkan khidmat seks apabila dia membayar sebanyak AS$15,000 (RM48,937) pada perjumpaan pertamanya dengan Ferriolo.

Seorang lagi wanita simpanan Woods, Jamie Jungers memberitahu bahawa bintang golf itu pernah menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menyatakan dia sedang berjudi dengan Barkley.

Menurutnya, dia pernah melihat penasihat Woods itu bermain judi bersama bintang golf tersebut dengan wang taruhan mungkin AS$25,000 (RM81,562).

Majalah itu turut menyiarkan gambar Ferriolo yang berbaring tanpa seurat benang.

Antara pendedahan lain dalam majalah itu termasuk nafsu seks Woods yang tidak pernah puas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: