Tuesday, April 20, 2010

Memartabat masakan Malaysia ke UK




SEMENJAK kecil, tidak pernah langsung terlintas di hatinya untuk bergelar seorang chef terkenal. Apatah lagi kalau memasang angan untuk menjadi terkenal di peringkat antarabangsa.

Namun, itu realiti yang berjaya dikecapi pemilik nama penuh Norman Musa yang kini menempa populariti dalam bidang kulinari sehingga ke United Kingdom (UK).

Jika melihat kepada pencapaian lelaki berusia 36 tahun ini, pasti ramai yang berbangga apabila ada orang tempatan yang mampu mengukir nama di negara asing.

Tidak kurang juga, tentu ada yang sedikit cemburu melihat kejayaan jejaka ini bertapak di sebuah negeri yang mempunyai kelab bola sepak antara yang berprestij di dunia, Manchester United (MU).

Apa tidaknya, anak kampung yang dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang itu kini merupakan pengasas, pemilik bersama dan Ketua Chef Restoran Ning di Manchester yang mula ditubuhkan pada tahun 2006 bersama rakan kongsi, Andy Spracklen.

Restoran itu menawarkan aneka sajian masakan Malaysia di samping menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis keraian.

Rentetan daripada kemasyhuran Norman di UK, dia pernah dicalonkan sebagai Chef Terbaik Manchester 2009 manakala Restoran Ning pula tercalon untuk kategori Restoran Terbaik Manchester 2009.

Selain itu, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu turut mempunyai sekolah masakan di sana yang mengajar individu berminat dalam menyediakan pelbagai resipi tradisi dari Malaysia.


BARANGAN segar dan terpilih adalah antara rahsia keenakan hidangan Norman.


Terbaru, Norman dilantik sebagai chef rasmi untuk pasukan Lotus F1 Racing yang akan membawanya mengembara ke serata dunia menerusi siri perlumbaan kereta Formula Satu (F1).

Pelantikan itu juga bermakna lelaki berkulit sawo matang ini menjadi satu-satunya chef dari Malaysia yang mengikuti setiap perlumbaan sambil menyediakan hidangan untuk krew dan tetamu VIP pasukan tersebut.

"Alhamdulillah, saya sendiri semacam tidak percaya apabila melihat semula kejayaan yang telah dicapai sehingga ke hari ini. Jika difikirkan, memang terlalu banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum apa yang diimpikan menjadi realiti.

"Cuma bagi saya, setiap apa yang ingin dilakukan, saya sentiasa mahu melakukan perkara itu menjadi semakin baik dan bertambah baik dari hari ke hari," kata Norman kepada Kosmo! sewaktu ditemui pada majlis pelancaran buku terbarunya, Malaysian Food edisi Malaysia baru-baru ini.

Sebelum ini buku bertajuk Malaysian Food - A Collection of My Favourite Dishes and The Inspiration Behind Them itu telah dilancarkan di Manchester pada Oktober tahun lalu, sekali gus dipercayai menjadi buku masakan Malaysia yang pertama di Britain.

Kisah hati ayam

Menurut Norman, penghasilan buku setebal 196 muka surat itu dilakukan semata-mata mahu berkongsi resipi masakan terbaik yang menjadi kegemarannya di samping mahu mempromosikan masakan Malaysia di peringkat global.

Terbahagi kepada 15 bab, buku tersebut bermula dengan memaparkan biografi Norman dan pengenalan, diikuti reviu mengenai makanan dan pasar di Malaysia serta himpunan gambar wajah-wajah rakyat Malaysia yang dipenuhi pelbagai emosi.

Kemudian, Norman memulakan buku masakannya dengan memperkenalkan bahan-bahan utama yang sering digunakan untuk memasak seperti lengkuas, serai, cili kering, daun kari, kerisik, rempah-ratus, asam jawa, santan, belacan dan banyak lagi untuk menarik perhatian pembaca.

Akhirnya, barulah koleksi resipi mengambil tempat yang dimulai dengan hidangan pembuka selera, ikan dan makanan laut, sayur-sayuran, nasi, mi, pencuci mulut serta minuman yang mampu membangkitkan selera.

Apabila diaju resipi mana dalam buku tersebut yang menjadi kegemaran diri, Norman dengan pantas menjawab sambal hati ayam paling diminati.


KEMUNCULAN Norman dalam program masakan dan bual bicara bagaikan perkara biasa buatnya.


Mengulas lanjut, Norman tanpa dipinta berkongsi momen lucu sewaktu zaman kanak-kanak mengapa resipi itu yang amat disukai berbanding yang lain.

"Sebenarnya sewaktu kecil, arwah ibu, Habsah Mohamad, sentiasa melarang saya makan hati ayam. Alasannya jika saya berbuat demikian, saya akan menjadi orang yang pandai apabila besar nanti.

"Oleh itu, apabila saya berpeluang merasai sambal hati ayam air tangan ibu pada usia belasan tahun, terus saya jatuh cinta dengan menu istimewa tersebut," imbas Norman tertawa sambil memberitahu bahawa arwah ibunya merupakan sumber inspirasi kejayaannya dalam bidang kulinari ini.

Tambahnya, arwah ibu sering dijadikan rujukan memasak ketika menjejakkan kaki ke UK pada 1994 untuk mengikuti latihan sebagai juruukur bahan di Universiti Portsmouth.

"Saya akan menghubungi ibu di Malaysia untuk bertanyakan bahan apakah yang perlu digunakan untuk memasak itu dan ini. Sejak itu, minat memasak terus timbul dalam diri sehingga sering meraikan keluarga dan rakan senegara di UK dengan sajian tertentu," jelasnya.

Bakat sejak kecil

Sementara itu, adik Norman, Norhisham Musa, 34, berkata dia langsung tidak menjangka abangnya berjaya menjadi chef terkemuka di luar negara kerana sejak kecil dia langsung tidak menunjukkan bakat dalam bidang terbabit.

Sebaliknya, Norhisham memberitahu, bakat Norman lebih terserlah dalam bidang lukisan.

"Berilah apa sahaja gambar yang mahu dilukis, abang saya boleh melakukannya. Walau apa pun, sebagai keluarga, saya sangat berbangga dengan apa yang telah dicapainya hari ini," tutur Norhisham yang juga bekerja sebagai chef di dalam kapal pengeruk, Inai Kiara.


SELEPAS dilancarkan di Manchester, buku berjudul Malaysian Food kini sudah berada dalam pasaran tempatan.


Perkara ini diakui rakan lama Norman, Shahrizal Baharudin, 35, yang merupakan teman seangkatan sewaktu darjah satu hingga tingkatan lima. Ujarnya, setiap kali kelas melukis, lukisan Norman pasti dipilih oleh guru sebagai karya paling cantik.

"Selain berbakat dalam melukis, Norman juga mempunyai tulisan tangan yang sangat cantik dan kemas. Malah, saya sentiasa meminta bantuannya apabila mahu menulis surat cinta kepada kawan sekolah.

"Saya akan menulis surat itu dahulu, kemudian barulah ia disalin semula oleh Norman. Lebih istimewa, Norman juga akan menambah bedak wangi ke atas surat itu untuk menjadikan ia lebih romantik," kata Shahrizal yang terputus hubungan dengan Norman selama 17 tahun sebelum bertemu semula di laman sosial Facebook tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: