Friday, April 30, 2010

Kerongsang jurai penyeri tudung


Cara pemakaian boleh dipelbagaikan seperti di atas tudung.


MINAT wanita terhadap perhiasan atau aksesori diri daripada kristal masih hangat dan disukai ramai. Walaupun beberapa tahun telah berlalu sejak mula aksesori kristal diperkenalkan namun ia masih mendapat tempat di hati wanita.

Daripada kristal, pelbagai jenis perhiasan dapat direka. Contohnya rantai leher, rantai tangan, kerongsang, cincin, anting-anting, pin tudung dan sebagainya.

Kini, dengan ilham kreatif seorang pereka aksesori wanita, iaitu Aida Mohd. Noor, terhasil pula kerongsang jurai untuk dipin di bawah leher.

Kerongsang jurai ini mampu menyerikan lagi tudung yang dipakai. Tidak kiralah sama ada tudung tersebut bercorak atau polos, si pemakai akan nampak lebih berseri dengan kerongsang jurai ini.

Terdapat bermacam-macam rekaan kerongsang berjurai yang dihasilkan. Ada yang ringkas dan terdapat juga yang mempunyai juraian yang lebat dan panjang bergantung kepada permintaan pelanggan.

Menurut penulis buku Inspirasi Kristal ini, ada kerongsang jurai tear drop, kerongsang berangkai dua, berbentuk gugusan anggur dan banyak lagi. Bagi kerongsang yang mempunyai rekaan ringkas, boleh dipakai di bawah leher sementara yang berangkai dua boleh dipakai bersama di bawah leher dan dipinkan pula di atas kepala.

''Bagi wanita yang memang sukakan aksesori dan gemar bergaya pasti terpegun melihat pelbagai rekaan kerongsang jurai yang berwarna-warni dan berkilauan.

''Selain cantik untuk bawah leher, kerongsang ini juga boleh dipin pada bahu dan nampak elegan jika digayakan di majlis.

''Kerongsang jurai ini dibuat daripada dua jenis kristal, iaitu kristal swarovski dan kristal China. Kristal swarovski lebih berkilat, bermutu dan harganya lebih daripada kristal China yang boleh dibeli dengan harga yang rendah. Pelanggan boleh membeli pada harga RM10 ke atas,'' ujar Aida lagi.

Pelanggan boleh memilih kerongsang yang diikat dengan logam putih atau keemasan. Logam putih akan dihantar untuk rhodium plating, sementara yang keemasan akan dibuat gold plating bagi mengekalkan warnanya agar tidak luntur dan tetap cantik walaupun telah dipakai lama.

Selain boleh membeli kerongsang dan aksesori lain yang dibuat sendiri oleh Aida, pelanggan turut boleh menempah kerongsang jurai mengikut rekaan yang mereka ingini. Bagi yang inginkan satu set aksesori yang sama, anda boleh menempah kerongsang yang sama warna dengan gelang, rantai, cincin dan sebagainya.

2 comments:

  1. dimanakah boleh saya cari di kawasan Johor Baru??

    ReplyDelete
  2. hanya ada di Shah Alam.

    untuk pertanyaan, sila call 012-3747670

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: