Monday, April 26, 2010

Karnival pendidikan Putrajaya 2010 meriah


PELAJAR mendaftar untuk mengikuti karnival pendidikan di Putrajaya, baru-baru ini.


PUTRAJAYA 25 April - Seramai 1300 murid dan guru dengan penyertaan 30 institut pengajian tinggi awam dan swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Putrajaya dan Jabatan Kesihatan Putrajaya menyertai Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya dan Kesihatan Peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya 2010.

Menurut Penyelaras Program, Kamaluddin Mohd. Kassim, program ini bertujuan menyebarkan maklumat kerjaya khususnya peluang-peluang melanjutkan pelajaran, tawaran-tawaran biasiswa dan pinjaman pelajaran serta pendedahan kerjaya sains dan teknologi melalui pertandingan sketsa kerjaya.

Karnival yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1), Putrajaya itu dirasmikan oleh Datuk Khairuddin Samad mewakili Ahli Parlimen Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran WP (PPWP) Putrajaya, Khairil Awang, dan Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Pemenang keseluruhan pertandingan kerjaya dirangkul oleh Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3) bagi kategori sekolah rendah.

Manakala kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), Putrajaya.

Di samping itu, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Putrajaya, murid-murid dan guru-guru WP Putrajaya diberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

PPWP Putrajaya turut melancarkan Laman Web Unit Hal Ehwal Murid dan Program Titian Kasih Peringkat WP Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: