Saturday, April 10, 2010

Himpun Lebih 20 Artis Popular


Kempen Kami Prihatin yang bertujuan mencetuskan kesedaran umum terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi dirasmikan hari ini dengan himpunan bersejarah lebih 20 artis popular tanah air.

Atas komitmen untuk bersama-sama melindungi kanak-kanak dan bayi, himpunan artis berkenaan menyanyikan lagu kempen, Harapan Tanpa Suara, ciptaan komposer S. Atan dan lirik oleh Habsah Hassan.

Antara artis popular yang terlibat ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Anuar Zain, Amy Search, Lah Ahmad, Aizat, Amy Mastura dan Fauziah Latiff.

Turut memberi sokongan artis veteran Datin Julie Sudiro, Datuk M. Daud Kilau dan Datin Suliza Salam selain Hattan.

Sembilan artis yang terlibat dalam rakaman lagu pada 2 April lalu iaitu Anita Sarawak, Aishah, Adibah Noor, Mawi, Erra Fazira, Maya Karin, Nurul, Misha Omar dan Amylea tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merasmikan kempen ini di KL Sentral di sini, bersama tetamu dan lebih 500 orang awam yang hadir turut menyanyikan lagu berkenaan.

Selain para artis, kempen anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia ini turut disertai oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Kempen Kami Prihatin gabungan awam-swasta yang disifatkan oleh Shahrizat sebagai magis kerana berjaya mencetuskan kesedaran masyarakat dalam masa singkat, akan diteruskan dengan pelbagai program berkaitan.

Pelbagai pihak termasuk badan korporat juga telah menyatakan komitmen untuk menyokong kempen ini dengan harapan perbuatan keji mendera kanak-kanak dan membuang bayi tidak lagi berulang.

Sempena perasmian kempen ini, pameran Kami Prihatin turut diadakan di Aras 2, KL Sentral yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: