KEHANCURAN rumah tangga yang dibina selama 12 tahun tidak sedikit pun mematahkan semangat pelakon Norish Karman untuk menyambung hidup dan membesarkan anak-anaknya.
NORISH...pembikinan album solonya tertangguh kerana masalah kewangan.
"Sebenarnya, anak yang membuat saya mampu tersenyum dan memberi kekuatan pada saya untuk menempuh hari esok. Selain itu, doa ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan juga merahmati hidup saya.
"Saya reda dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga ketika ini kerana ia ujian Tuhan," katanya.
Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman yang bakal menyambut usia 36 tahun pada 11 Mei ini berkata, hubungannya dan anak cukup akrab."Anak-anak memang tinggal dengan saya dan kehidupan kami masih sama seperti dulu. Perbezaannya, saya sudah bercerai dan bergelar janda. Anak pula sudah menerima perpisahan kami dan hanya berjumpa ayah mereka pada Ahad setiap minggu.
"Pada masa sama, saya mendidik tiga anak untuk belajar erti hidup berdikari. Mereka tidak bersalah dalam hal ini. Susah macam mana pun, saya tidak akan menangis depan anak kerana tidak mahu mereka menganggap ibu mereka lemah," ujarnya dalam pertemuan dengan Harian Metro.Hasil perkongsian hidup Norish dan bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, selama 12 tahun, mereka dikurniakan tiga anak - Haqiem Armany, 11; Hardy Amieran, 7, dan Putri Hanyz Amanda, 6.Kini kata Norish, tanggungjawabnya ialah bekerja keras bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Maklumlah, mereka belum ada ada rumah sendiri dan masih tinggal di rumah sewa sampai sekarang.
"Bekas suami memang ada beri nafkah kepada anak tapi hanyalah RM700 sebulan dan ia memang tidak cukup menyara tiga anak di kota. Saya juga perlu wang untuk membayar yuran tuisyen anak yang mencecah ratusan ringgit.
"Selain itu, saya juga memastikan pendidikan dunia dan agama seimbang dengan mengambil ustaz mengajar mereka mengaji dan agama di rumah empat kali seminggu. Saya berbuat demikian kerana tidak mahu orang fikir golongan artis seperti saya melupakan agama pula.
"Pada masa sama, saya tidak menghalang anak terbabit dalam bidang iklan komersial asalkan mereka tidak mengabaikan pelajaran. Sebelum ini mereka pernah muncul dalam iklan Horlicks. Saya juga buat iklan Breathe Bright dengan anak saya, Hanyz," katanya.
Diminta mengulas isu dirinya sebagai pelakon bermasalah dan 'kekwat', Norish berkata, dia berharap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gosip berkenaan menghentikannya serta-merta.
"Ia adalah fitnah semata-mata. Sepatutnya, mereka perlu bertanya kepada pengarah yang pernah bekerja dengan saya. Contohnya, Erma Fatima dan Feroz Khan. Peliknya, pihak yang buat cerita itu orang yang tidak pernah kenal dan bekerja dengan saya. Mereka tidak ada kerja lain ke?" katanya.
Mengenai perkembangan karier seninya pula, Norish berkata, dia baru saja selesai penggambaran telefilem Tarikh Kematian arahan Erma Fatima.
Drama lain yang sudah selesai penggambaran ialah Gelora Di Hati Ibu. Drama bersiri lakonannya yang kini ditayangkan di TV3 ialah Asmaradana. Selain itu, dia juga dijangka terbabit dengan beberapa projek drama lagi.
"Terus terang, ramai orang yang tidak tahu saya sudah kembali berlakon. Justeru, mereka boleh hubungi ejen saya, Mai (019-203 4815) atau e-mel di alamat: voice_of_nk@yahoo.com.my," katanya.
Selain berlakon, Norish juga menyara hidup dengan memenuhi undangan persembahan. Buat masa ini, pembikinan album solonya yang bergenre balada dan R & B turut tertangguh kerana masalah kewangan.
Baru lima lagu sudah siap iaitu Kasih Selamanya, Biarkan, Rahsia Hati, Kulakarkan Mimpi dan Pencinta. Bermakna tinggal lagi dua lagu yang belum siap ciptaan komposer Johari Teh.
Berkongsi cerita peribadinya pula, Norish yang hangat digosipkan dengan abang penyanyi dan pelakon Farahdiya, Mohd Luqman Mohd Amin, mengakui memang ada seseorang yang menjaga hatinya ketika ini.
"Tidak perlulah saya sebut nama jejaka itu. Maklumlah, saya janda dan ibu tunggal tiga anak. Perlukah saya cakap banyak pasal teman lelaki? Hakikatnya, semua manusia ingin disayangi di dunia ini dan begitu juga saya.
"Apapun, saya sedar diri sebagai janda anak tiga, ada ke lagi orang hendak kahwin dengan saya?. Jejaka pilihan saya ialah mereka yang mencintai dan memanjakan saya, sayang pada anak dan menghormati ibu bapa saya.
"Saya juga mencari pasangan yang mampu menghiburkan saya. Selain itu, saya ingin menjalani kehidupan yang normal dan 'simple' saja," katanya.
Profil
NAMA SEBENAR: Nor'ashikin Karman
TARIKH LAHIR: 11 Mei 1974
TEMPAT LAHIR: Singapura
KERJAYA: Pelakon, penyanyi dan pengacara
PENDIDIKAN: Diploma Komputer Sains
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Haqiem Armany, 10, Hardy Amieran, 6, Putri Hanyz Amanda, 5
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Syurga Di Pintu Neraka, Astana Idaman, Spa Q, Layar Rindu Mahsuri, Kau Mencipta Dosaku, Kasut Tumit Tinggi,Kelahiran Yang Teristimewa
TEATER: Bukan Dejavu
FILEM: Sayang Salmah, Eiman... Alone dan Raja Melewar
PENCAPAIAN: Pingat emas untuk kategori Vokal Pop sempena pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) Ke-10 di Hollywood Palladium, Los Angeles, California pada 2006.
ish.. muka nampak lain semacam.... gunakan botox ker?
ReplyDelete