Wednesday, April 28, 2010

Gelora cinta Sam, Juliana




PUTUS atau tidak? Cinta yang terjalin antara selebriti muda, pelakon Juliana Evans dan Sam vokalis kumpulan Bunkface bukan lagi rahsia. Sebagai pelakon, Juliana sibuk dengan kerjaya lakonannya dan Sam pula sibuk mengisi jadual persembahan pentas di sana sini. Justeru, sudah pasti masa mereka untuk bersama agak terhad.

Maka, apabila mereka dikatakan sudah putus cinta, ia segera menjadi perbualan hangat di kalangan media dan peminat mereka.

Bagaimanapun, ketika bertemu dengan Juliana pada sidang media drama Adamaya dan Sayang Cendana, di Bangi Kopitiam, Melawati baru-baru ini, dia hanya tersenyum sahaja bila diajukan soalan mengenai khabar angin tersebut.

"Tak adalah, kami tak putus cinta. Semua itu sekadar khabar angin saja. Setakat ini, kami masih lagi pasangan kekasih.

"Saya pelik juga, bila gosip mengenai hubungan kami dah putus tersebar luas. Mungkin ada orang dengki memandangkan kami tidak membuat publisiti mengenai hubungan cinta kami," seloroh Juliana yang mesra disapa Ju.

Kata gadis berusia 21 ini, walaupun dia dan Sam berada di bidang yang sangat berbeza, mereka masih lagi ada ruang untuk meluangkan masa bersama.

Tambah pula, sebagai seorang pelajar, jadual hariannya agak padat dan mungkin kerana itulah, ramai yang menganggap, kerana itu, cintanya terpaksa dilepaskan.

Bagi mengelakkan kisah cintanya dipaparkan melebihi kerjaya, gadis berdarah Melayu-Inggeris ini sudah menetapkan pendiriannya agar tidak membuat sebarang sesi fotografi bersama.

"Biarlah orang tahu yang kami bercinta dan kami tak mahu membuat sesi fotografi bersama. Tak perlu nak terlebih menonjolkan diri. Rasanya, cara ini lebih baik untuk kerjaya masing-masing. Biasalah, macam-macam boleh terjadi. Takut pula kalau ada yang nak ambil kesempatan.


JULIANA mengaku masih menjadi kekasih vokalis Bunkface, Sam.


"Saya faham, sebagai seorang artis, umum juga ingin mengetahui berkenaan dengan hal peribadi selain hal kerjaya. Tapi saya meletakkan had agar ia tidak keterlaluan.

"Hal cinta agak peribadi dan ia lebih baik jika kami simpan sendiri kisah cinta ini," ujarnya yang tidak kisah atau rimas jika masih lagi orang bertanyakan mengenai hubungan cintanya dengan Sam berulang kali kerana faham akan tugasnya sebagai seorang selebriti.

Tidak keberatan untuk berkongsi cerita sedikit mengenai cara perhubungan cinta pasangan merpati sejoli ini, katanya, dia bersyukur kerana mempunyai teman lelaki yang memahami kesibukan kerjaya dan pengajiannya.

Justeru, kesibukan bukanlah menjadi satu alasan untuk mereka tidak berjumpa.

Ditanya pula adakah Sam lelaki bertuah yang ingin dikahwininya suatu hari nanti, katanya: "Kami masih muda. Saya baru berumur 21 tahun dan Sam pula 23 tahun. Perjalanan hidup kami masih jauh dan kami perlu fokus pada matlamat hidup yang diinginkan sebelum memasuki fasa baru di mana waktu itulah baru saya akan fikir tentang perkahwinan."


WALAU sibuk dengan pengajian, Juliana masih mencuri masa berlakon.


Jadi patung

Sementara itu, Juliana bakal tampil dengan watak sebagai patung dalam drama slot Lagenda TV3, Sayang Cendana selepas tamatnya siri Bila Musang Berjanggut sekitar Mei depan.

Satu watak dan tanggungjawab yang berbeza dengan lakonannya sebelum ini, Juliana sememangnya mempunyai pengalaman baru bila membawa watak tersebut.

Diterbitkan oleh Pena Creatives Pictures, ia mengisahkan mengenai percintaan antara manusia dan seorang puteri dari alam fantasi.

Drama berbentuk fantasi ini turut dibintangi oleh Fezrul Khan, Nadia Mustapha, Intan Azura, Shajiry, Kat Mentor, Tony Eusoff dan Kuman.

Cendana (Juliana), dihukum oleh ayahandanya menjadi patung di alam manusia sehingga dia menemui cinta sejatinya.

Menurut Juliana, wataknya kali ini agak mudah kerana tidak banyak dialog yang perlu dilakonkan. Cuma, mimik wajahnya yang perlu diberi fokus.

"Satu pengalaman menarik dalam drama ini, saya tak banyak dialog. Senang dan tak perlu menghafal skrip. Tapi drama ini agak berat kerana ia bukan sebuah kisah realiti dan saya perlu banyak mengambil mood fantasi.

"Cuma, apa yang memenatkan ialah saya perlu memakai rambut palsu berjam-jam lamanya dan ia membuatkan kepala saya berat. Sampaikan saya terasa seperti sedang memakai topi keledar.


MASIH bahagia. Juliana dan Sam masih bercinta, namun mengambil langkah tidak suka mencari publisiti murahan.


"Apa pun, ia sangat menyeronokkan dan babak pada awal-awal menjadi patung adalah paling senang. Kerana saya perlu berdiri tegak tanpa sepatah kata," ujarnya yang sibuk dengan persiapan ujian peperiksaan pengajiannya di Kolej Sunway.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: