|
|
TIADA siapa menduga, anak kecil yang sering mengunjungi gereja 20 tahun lalu akan menjadi seorang pendakwah Islam yang terkenal hari ini. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga beragama Kristian, namun hidayah Allah tiada siapa mampu menghalang.
Itulah anugerah termahal daripada Allah SWT kepada kita semua, sehingga memungkinkan kita untuk dapat memesrai sosok lelaki yang ramah bernama Mohd. Farid Ravi Abdullah, 39, yang lebih popular dengan nama Ustaz Farid Ravi.
"Dahulu, saya dikenali sebagai Jasiah a/l Ravi. Saya dan keluarga adalah penganut Kristian. Saban minggu kami akan mengunjungi gereja. Namun, hakikatnya hati saya sedari awal sudah terpikat kepada Islam.
"Bahkan sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, saya telah betah mengikuti kelas Pendidikan Islam bersama kawan-kawan yang beragama Islam.
"Antara punca saya minat kepada kelas Agama Islam ialah kerana ustazah yang mengajarnya bijak menyampaikan.
"Selain itu, sejak kecil saya begitu minat mendengar bacaan al-Quran, khususnya apabila adanya Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan di negara kita saban tahun.
"Ibu memarahi saya kerana saya minat mendengar bacaan al-Quran," jelas beliau. Namun alhamdulillah, ibunya juga sudah memeluk Islam sebelum dipanggil mengadap ilahi.
Sejauh manakah zakat berperanan membantu seorang saudara Muslim (mualaf) seperti Farid Ravi meneruskan tatih kehidupannya?
"Lembaga Zakat Selangor (LZS) bukanlah asing kepada saya. Sebenarnya secara peribadi, saya amat terhutang budi kepada LZS kerana banyak membantu.
"Khususnya sewaktu menamatkan pengajian di Jordan dalam bidang Usuluddin dahulu. LZS telah menyumbangkan dermasiswa penuh termasuk tambang tiket perjalanan dari mula sehingga tamat belajar," kata beliau.
Menurut Farid Ravi, masih segar dalam memorinya, ketika membawa surat tawaran ke ibu pejabat JAIS untuk meminta bantuan kewangan bagi menyambung pelajaran, pegawai yang bertugas menjaga bahagian saudara baru ketika itu, Ustaz Yusof Ong segera menguruskan bantuan pelajaran.
Syukur alhamdulillah, katanya, apabila diberitahu akan menerima bantuan zakat RM5,000 selama dua tahun dan pada tiga tahun berikutnya pula, menerima RM8,000 setahun.
"Alhamdulillah, dengan wang zakat itulah, biar pun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diperoleh oleh pelajar tajaan pembiaya lain tetapi cukup untuk keperluan yang ada. Itulah berkat namanya," katanya sambil tersenyum.
Prinsip Farid Ravi, biar sedikit tapi cukup daripada banyak tetapi habis. Wang zakat ini adalah titik peluh orang Islam. Ia dibayar dengan penuh kesedaran atas kewajipan perintah Allah SWT.
"Zakat ditunaikan untuk menyucikan harta. Maka, janganlah wang zakat yang bersih itu disalahgunakan. Bertanggungjawablah atas amanah ini. Pasanglah niat bahawa setelah selesai belajar, apabila berkerja kelak, kita juga akan melaksanakan kewajipan zakat," tegas beliau penuh kesedaran.
Di samping itu, beliau turut berpesan agar para pelajar yang mendapat bantuan zakat, jangan mudah terleka dan belajarlah dengan penuh iltizam.
Bantuan zakat yang diterima itu sewajarnya perlu dibalas dengan menjadi insan yang berjaya lagi bertanggungjawab.
Atas dasar itu, maka tidak hairanlah beliau juga mudah memberi kerjasama dengan LZS khususnya memenuhi undangan menyampaikan ceramah dan memberi penerangan zakat.
"Bagi saya, sudah terbukti penglibatan LZS dalam membantu golongan asnaf terutama mualaf memang tidak boleh disangkal. Ramai saudara baru yang telah dibantu bukan sahaja daripada aspek kewangan, bahkan kerohanian.
"Oleh itu saya menyeru kepada mana-mana orang Islam yang masih belum berzakat, agar segera mendapatkan maklumat dan tunaikanlah zakat, khususnya di Selangor," katanya.
Menurut Farid Ravi, seruan itu dibuat kerana masih ramai umat Islam yang belum memenuhi kewajipan ini.
"Ingat dan yakinlah, jika ia dilunasi, maka hati kita menjadi tenang malah harta-harta kita pun dapat dibersihkan.
"Keberkatan juga pasti akan lahir apabila asnaf-asnaf yang dibantu dengan wang zakat itu, kemudiannya mendoakan kesejahteraan kepada pembayar zakat, termasuklah kita," ulas bapa kepada lima cahaya mata ini.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berteduh. Bagi Farid Ravi, beliau amat terhutang budi dengan keluarga angkatnya iaitu keluarga Hashim Talib (ketika itu seorang anggota polis yang berpangkat sarjan) dan Saunah Arifin dari Kg. Tanjung Sg. Choh, Selangor.
"Mereka telah mendorong saya untuk menuju ke arah yang benar. Dorongan dan motivasi yang diberikan oleh keluarga angkat saya ini tidak akan dapat saya lupakan sehingga ke akhir hayat. "Mereka juga telah memberikan layanan yang terbaik kepada saya. Saya dianggap seolah-olah anak mereka sendiri," ceritanya menghimbau kembali detik-detik awal saat mula mengenali Islam.
Faktor kawan juga banyak membantu. Bahkan Farid Ravi mengakui, berkat bimbingan rakan, pada usia 11 tahun beliau sudah mampu membaca surah al-Fatihah dan menjawab azan.
Sehinggalah ketika usianya 18 tahun, hatinya sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi dan akhirnya di hadapan ustaz Kadir Chong beliau melafazkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur.
Kesimpulannya, inilah antara bukti betapa berkesannya wang zakat itu kepada pembangunan sesuatu asnaf penerima zakat.
Berkatlah kehidupan mereka yang membayar zakat, kerana dengan setiap sen wang itulah yang digunakan untuk membantu insan seperti Farid Ravi ini.
Inilah suatu sorotan kisah seorang Mualaf muda dalam mencapai cita-cita di samping suntikan bantuan wang zakat. Moga-moga, keberkatan wang zakat akan terus menyuburi beliau dan semua pembayar zakat, di dunia dan akhirat. Amin ya Rabb!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: