BIARPUN lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, Ratu Rock, Ella masih lagi mempunyai aura dan pesona yang mampu menarik perhatian peminatnya.
Dengan itu tidak hairanlah setelah tiga dekad, dia masih mempunyai ramai pengikut setia.
Walaupun tidak memenangi anugerah-anugerah besar dalam industri hiburan, penyanyi berusia 43 tahun itu sudah pun berada pada kelasnya tersendiri.
Satu kenyataan yang sukar dinafikan mengenai Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin ini ialah setiap kemunculannya mempunyai daya tarikan yang membuatkan dirinya tidak pernah jemu ditonton.
Malah sehingga kini biar pun lambakan penyanyi baru membanjiri industri muzik tanah air, namun belum ada yang layak menjadi pelapis kepada ratu rock ini.
“Saya akui sehingga sekarang belum ada yang benar-benar boleh menjadi pengganti. Bagi saya untuk jadi penyanyi rock perlu lahir dari dalam jiwa.
“Ia tidak boleh dipupuk atau diajar dan dipaksa, saya juga membina imej ini sendiri, bukan kerana ikut-ikutan,” jelasnya.
Selain itu, Ella turut mengakui banyak yang telah dilalui sepanjang bergelar artis, namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bertahan sehingga kini.
“Sepanjang bergelar anak seni memang tidak dinafikan banyak pengalaman pahit dan manis yang saya lalui. Namun begitu saya belum terfikir untuk berhenti daripada menyanyi, ini adalah periuk nasi saya, saya akan teruskan selagi masih ada yang menyokong.
“Pahit getir hidup dan pengorbanan, terpaksa dihadapi demi kejayaan... begitulah hidup saya seperti lirik ini,” ujarnya sambil menyanyikan lagu Standing In The Eyes Of The World.
Bagaimanapun, dia mengakui untuk berada lama dalam bidang ini dia perlu sentiasa memberi kelainan agar persembahanya tidak tampil sama sehingga membosankan penonton.
“Setiap persembahan, saya akan pastikan ada kelainan agar penonton tidak berasa bosan dengan kita. Ia bukan sesuatu yang susah tapi kita perlu lebih kreatif,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Jelajah 2 Zaman NR.
Konsert jelajah yang juga menampilkan Faizal Tahir itu akan dimulakan pada 1 Mei ini di Auto-City, Seberang Prai, Pulaiu Pinang.
Bercerita mengenai album terbarunya, menurut Ella, tiga single iaitu Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari mungkin dimuatkan dalam album tersebut sebagai bonus track.
“Buat masa ini sudah 50 peratus siap dengan kolaborasi bersama tujuh orang komposer termasuk Amir. Album ini kurang daripada 10 buah lagu dan mungkin akan siap sepenuhnya pada tahun depan.
“Saya masih mengumpul material yang terbaik, biar pun ambil masa yang lama tapi saya mahu hasil yang diperolehi memuaskan hati. Saya tidak mahu sekadar tangkap muat sahaja,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: