BUKAN mudah untuk menonton persembahan mantap menggandingkan dua diva, Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak di atas satu pentas.
Bila mereka bersatu, pasti peminat terpukau dek persembahan yang menyentuh perasaan dan menghiburkan itu.
Buat kedua kalinya, PNB Darby Park menganjurkan majlis makan tengahari sempena Minggu Setiausaha 2010 melibatkan Sheila dan Anita.
Bertemakan Karpet Merah – Glitz & Glam, lebih 800 tetamu diraikan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara semalam.
Secara dasarnya, ramai yang berpuas hati dan memuji kehebatan mereka dalam mempersembahkan nyanyian masing-masing dengan iringan muzik di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Acis.
Selain daripada itu, majlis yang menyajikan pelbagai hidangan istimewa berkonsepkan bufet antarabangsa dan tempatan itu turut diserikan dengan kemunculan Fahrin Ahmad sebagai pengacara majlis.
Keserasian antara kedua-duanya terserlah lebih-lebih lagi mereka sendiri mengakui seronok bekerjasama.
“Saya seronok apabila pertama kali dapat menari di atas satu pentas dengan Datuk Sheila. Setiap manusia ada keistimewaan tersendiri dan apabila kami bersatu, kami keluarkan sisi lain dalam diri seperti kelakar dan cara membuat persembahan.
“Dengan cara seperti itu, kami menunjukkan identiti tersendiri. Lagipun berapa lama kami berada dalam industri seni ini. Misalnya, saya sendiri pun sudah 44 tahun dalam industri.
“Saya rasa seperti satu mimpi apabila di usia 58 tahun ini, masih ada yang ingin menjemput saya membuat persembahan,” kata Anita penuh terharu dalam ceria seusai menjayakan persembahan tersebut.
Walaupun begitu, pasangan ini hanya menampilkan sebuah lagu duet sahaja iaitu Dengar Cerita Ini. Ramai yang menyangka mereka akan berduet lebih banyak lagu namun disebabkan kekangan masa, mereka tidak dapat berbuat demikian.
“Masalah berlaku apabila kebanyakan pemuzik yang mengiringi persembahan kami mempunyai komitmen lain seperti Formula Satu (F1) Grand Prix Australia 2010.
“Kami berharap, mungkin dapat berduet lebih banyak lagu pada masa akan datang. Saya selalu looking forward untuk bekerjasama dengan Anita Sarawak.
“Setiap kali saya menonton persembahannya, dia pasti memberikan inspirasi kepada saya. Dia mempunyai disiplin yang tinggi dan persembahannya menyentuh kalbu berbanding artis sekarang,” jawab Sheila yang secara bergurau menegur Anita agar tidak memanggilnya Datuk.
Kedua-duanya sempat melakukan latihan sehari di studio milik Sheila. Selebihnya, mereka melakukan inisiatif dan latihan sendiri sebelum menjayakan persembahan hampir dua jam itu.
“Persembahan pada hari ini (semalam) mencetuskan satu titik kolaborasi kepada kami selepas ini.
“Saya berharap semua pihak berpuas hati. Kami juga lebih suka sekiranya peminat memberitahu tidak puas dan mahukan kami menyanyi lagi. Kalau nak penonton terhibur, saya sendiri kena rasa enjoy dulu,” luah Anita yang bergaya penuh elegan dengan kostum rekaan Ashley Wong.
Sementara itu, Sheila yang menyambut ulang tahun ke-25 dalam industri ini begitu seronok apabila dapat menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya seperti Sinaran, Lagenda, Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta yang lebih dekat dengan wanita serta memperkenalkan single terbarunya, Dengarkanlah.
Selain itu, dia turut menyampaikan medley lagu daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya, Getaran Jiwa, Bila Larut Malam dan Manusia.
Anita menghiburkan kira-kira 14 buah lagu seperti Argentina, Addicted To Love, medley cinta (Antara Yang Manis, Cinta Nan Satu, Bisikanlah Cinta, Cintamu Muzik Di Hatiku), Joget Sayang Disayang, Asmara dan medley rancak (Ular, Tragedi Buah Epal, Akhirnya Kini Pasti, Seksis).
Suasana majlis tengah hari itu disemarakkan lagi dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah dan ‘Pakaian Terbaik’ seperti barangan kemas Habib bernilai RM60,000, hadiah istimewa berjumlah RM16,000 sumbangan perabot Empire Classic setelah menjawab soalan daripada Anita dan sut eksklusif tajaan Lord’s Tailor untuk majikan lelaki.
Semua tetamu yang hadir berpeluang menerima door gift iaitu set barangan kecantikan diri eksklusif daripada Laura Mercier dan barangan penjagaan diri daripada Garnier.
Rakan artis yang turun padang memberikan sokongan iaitu penyanyi Ziana Zain dan pelakon Vanida Imran. Turut hadir sama adalah anak tiri Anita, Mathew bersama pasangannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: