Thursday, April 8, 2010

Benjy Failkan Habeas Corpus

Benjy diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli keluarga pelakon Khairell Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, memfailkan permohonan habeas corpus di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Pendaftar Kes Jenayah (high court criminal registration), Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 12.15 tengah hari ini.

Ibunya, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, bapanya Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi serta dua adik perempuannya hadir di mahkamah.

Mereka membuat permohonan itu bagi menuntut Benjy dibebas dengan segera.

Benjy kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil di bawah Seksyen 3(1), Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1952 yang memperuntukkan dia ditahan tidak melebihi 60 hari.

Majistret menetapkan 12 Mei ini untuk mendengar semula kes tersebut.

Azean (kiri) berulang kali cuba mendapatkan penjelasan seorang polis berpakaian biasa tentang penahanan semula anaknya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas dibenarkan diikat jamin. Bersama Azean (dari kiri) ialah suaminya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi, peguam Sharon Khoo dan anak perempuan Elza Irdalynna yang juga aktres.

Benjy sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 25 Mac lalu, anak lelaki tunggal Azean itu ditahan semula tidak sampai dua jam setelah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret berhubung kes dadah tersebut.

Dia ditahan ketika berada di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin oleh dua orang anggota polis pada 2.50 petang sejurus sahaja ibunya selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: