Tuesday, April 27, 2010

Bangga jadi pemandu KPD


Mohd. Rafiuddin Mat Nor bergambar kenangan bersama pelakon Gerak Khas, A. Galak.


SEKIRANYA beliau (Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed) duduk dan berada di dalam kereta, bermulalah tugas dan tanggungjawab saya untuk menjaga keselamatan beliau."

Demikian ungkapan Konstabel Mohd. Rafiuddin Mat Nor, 26, yang bertugas sebagai pemandu kepada Arjunaidi sejak dua setengah tahun lalu.

Meskipun tidak pernah terfikir memasuki Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadi pemandu, namun dirinya tetap berbangga kerana dapat berkhidmat dengan cara tersendiri.

Rutin harian yang berbeza dengan rakan-rakan lain kerana perlu menyesuaikan diri dengan tugas 'bos' nya, ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya.

Mempunyai syif

Malah waktu kerjanya yang mempunyai syif tidak pernah dianggap menyusahkan sebaliknya beliau menganggap sesuatu berbeza dengan hari-hari lain.

Tambah Mohd. Rafie, adakalanya dia bekerja 24 jam sebagai pemandu dan terpaksa bertugas di luar daerah.

"Itulah rutin saya, saya akan menjadi pemandu tuan OC (panggilan kepada Arjunaidi) ke mana sahaja urusan rasmi yang perlu beliau hadiri.

"Jika mempunyai program pada Sabtu dan Ahad, ia terpulang kepada OC untuk menentukan sama ada beliau memerlukan khidmat saya atau tidak.

"Jika beliau ingin pergi sendiri, saya hanya akan bersedia dan menunggu panggilan daripada beliau," katanya yang ditemui ketika sedang menunggu Arjunaidi selesai mesyuarat di Hotel One World, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kebiasaannya seawal 5 pagi lagi, beliau akan bangun dan bertolak ke tempat kerja selepas solat subuh.

Dia akan tiba awal ke pejabat untuk mengambil fail rangkaian jenayah di bilik Unit Risikan Jenayah sebelum dibawa bersamanya ketika mengambil Arjunaidi di rumahnya di Bukit Mahkota, Cheras.

Katanya, ketika dalam perjalanan, Arjunaidi akan meneliti fail berkenaan untuk mengetahui kes-kes yang berlaku semalam sebelum menemui pegawai-pegawainya untuk perkembangan lanjut.

Walaupun mengakui sibuk dengan kerjayanya, namun pastinya akan 'terubat' tatkala disapa Arjunaidi dengan pertanyaan sudah makan atau belum.

Itulah sifat terpuji bosnya itu yang sukar ditemui pada pegawai-pegawai atasan lain sekali gus membuatkan beliau merasa hormat.

Keprihatinan itu meningkatkan lagi rasa hormat terhadap bosnya selain berhasrat melakukan sesuatu yang diarahkan dengan sebaik mungkin.

Tambah Rafie, sifat dan budi bicara Arjunaidi yang boleh dianggap sebagai seorang yang bertoleransi sangat memudahkan kerjanya walaupun sebagai pemandu.

Ada kalanya, ketika sesuatu majlis yang mengambil masa lama, Arjunaidi akan memintanya pergi ke mana-mana kedai berdekatan untuknya 'membasahkan' tekak sebelum mengambilnya semula di tempat berkenaan.

"Kadang-kadang Tuan OC belanja. Itulah kelebihan yang ada pada Tuan OC untuk mengambil hati anak-anak buah di bawahnya," katanya tersenyum.

Gugup dan Prinsip

Mohd. Rafiuddin yang merupakan anak jati Selangor mengakui merasakan gugup ketika kali pertama ditugaskan sebagai pemandu kepada Arjunaidi.

Dia juga gentar dan kekok untuk berbual kerana menganggap Arjunaidi adalah pegawai atasan.

Namun, Mohd. Rafie berkata, sikap mudah mesra dan prihatin yang ada pada Arjunaidi membuatkan dirinya hilang perasaan gugup dan kekok.

"Ketika diberitahu akan menjadi pemandu kepada Tuan OC, saya sangat gugup dan tidak tentu perasaan kerana tanggungjawab diberikan besar.

"Namun begitu, saya tetap hormat dan tidak berlebih-lebih dengan beliau," katanya yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip menghormati dan mengikuti arahan pegawai atasan.

Tambah Mohd. Rafie yang mula selesa ketika ditemu bual memberitahu, selain pemandu, dia juga adalah pembantu peribadi Arjunaidi yang kedua selepas seorang lagi anggotanya di pejabat.

Katanya, semua program dan majlis yang perlu dihadiri bosnya itu akan dimaklumkan kepadanya bagi melancarkan pergerakan.

Ia sekali gus melatih dan menjadikan dirinya sentiasa menepati masa dan berdisiplin dalam apa juga yang dilakukan.

"Apabila Tuan OC perlu menghadiri sesuatu majlis, seboleh-bolehnya saya akan menunggu di tempat letak kereta 10 minit lebih awal sebelum waktu sepatutnya.

"Sudah menjadi kebiasaan apabila rasa tidak selesa jika Tuan OC tiba lebih awal daripada saya," katanya.

Pengalaman lucu

"Ada satu kejadian yang masih lagi saya ingat. Jika awak tanya Tuan OC, beliau juga pasti masih mengingatinya apabila ketika membawa beliau dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya, Deputi Supritendan Sia Siew Keng ke Jabatan Tanah Daerah untuk urusan.

"Tiba-tiba kenderaan yang saya pandu dipotong oleh sebuah peronda polis sebelum kenderaan itu membunyikan hon sambil menunjukkan ke arah tayar kereta.

"Apabila memberhentikan kenderaan, kami dapati, salah satu tayar kereta itu pancit. Ketika itu, Allah sahaja yang tahu betapa saya merasa panik," katanya.

Jelas Mohd Rafiuddin, dia cuba untuk menyusur masuk ke satu kawasan di PJ yang dirasakan mempunyai kedai menukar tayar sebaliknya hampa apabila mendapati ia kawasan kilang.

Katanya, dia lalu turun untuk menukarkan tayar, malah Arjunaidi dan Siew Keng turut bersama membantunya.

"Syukurlah Tuan OC tak marah dan hanya meminta saya menukar tayar sahaja," katanya yang cukup selesa dengan sikap bos kesayangan warga polis PJ itu.

Ditanya sama ada selaku pemandu, pernahkah dia tersesat membawa Arjunaidi ke sesuatu tempat, Mohd. Rafiuddin mengakui ia perkara lumrah.

Jelasnya, dalam kes-kes sedemikian, dia akan mendapatkan bantuan daripada anggota lain untuk memberi tunjuk arah.

Mohd. Rafiuddin memberitahu, jika ke sesuatu majlis rasmi, ia tidak menjadi masalah kerana ramai termasuk rakan-rakan yang mengetahui lokasinya.

"Namun sebaliknya jika ada sesuatu kes kejadian bunuh atau jenayah di kawasan yang terpencil (di bawah pengawasan polis PJ), maka agak sukar untuk tiba di tempat itu.

"Sesat memang pernah. Tapi bagi mengatasi masalah itu saya terlebih dahulu akan mencari maklumat ke sana bagi memudahkan perjalanan kami," katanya yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 28 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: