PEMAIN negara, Muhammad Hafiz Hashim mempunyai misi besar pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang akan diadakan di New Delhi, India minggu depan.
Hafiz yang juga juara Seluruh England 2003 bukan sahaja mahu menjadikan kejohanan tersebut sebagai persiapan terbaik menjelang Piala Thomas bulan depan tetapi juga sebagai medan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Paris tahun ini.
Bagi mencerahkan peluang beraksi di Paris, Ogos depan, Hafiz harus memastikan dia mara sekurang-kurangnya ke saingan suku akhir ABC.
"Selama hampir sebulan saya menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi ABC dan kini, saya sudah bersedia sepenuhnya," kata Hafiz.
"Bagi saya, ABC merupakan kejohanan yang amat penting. Ia merupakan kejohanan terakhir yang saya sertai sebelum bermulanya Piala Thomas bulan depan.
"Jika mencatat keputusan yang baik pada kejohanan ini, ia pasti akan menaikkan lagi semangat saya untuk beraksi pada Piala Thomas nanti."
Berdasarkan undian, Hafiz yang kini berada pada ranking ke-19 dunia mempunyai peluang yang agak cerah untuk ke pusingan suku akhir.
Pemain kelahiran Kelantan berusia 28 tahun itu bakal memulakan aksi menentang pemain pelapis Thailand, Pakkawat Vilailak dan dijangka bertemu pemain remaja India, Gurusaidatt Rajah Manuri Venkata pada pusingan kedua.
Andai terus mara, Hafiz dijangka berdepan pula pemain pilihan keempat dari Vietnam, Nguyen Tien Minh dan pemain Thailand, Boonsak Ponsana dijangka menanti pada pusingan suku akhir.
Hafiz berazam untuk beraksi pada Kejohanan Dunia tahun ini bagi mengubati kekecewaan gagal melayakkan diri buat pertama kali pada edisi tahun lepas.
"Tahun lepas, saya amat kecewa kerana gagal beraksi pada Kejohanan Dunia sejak menjadi pemain elit negara," tambah Hafiz.
"Sudah tentu saya harap saya tidak dikecewakan sekali lagi tahun ini. Tambahan pula, saya berada pada keadaan terbaik tanpa sebarang masalah kecederaan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: