KONSERT Double Trouble (DT) yang mengabungkan dua kumpulan lagenda rock tanah air iaitu Search dan Wings pada 1 Mei ini sudah pun terjual sebanyak 60 peratus.
Menurut Pengarah Konsert, Zainurin Jaafar, lokasi konsert tersebut mampu menempatkan seramai 15,000 pengunjung. Manakal pihaknya menyasarkan lebih 10,000 penonton bakal membanjiri Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Memamg kami menyasarkan 10,000 pengunjung dan mungkin ia boleh mencapai tahap maksimum kepada 15,000.
"Sehingga kini sebanyak 60 peratus tiket telah terjual, dan saya jangkakan jumlah akan meningkat pada saat-saat akhir nanti, maklumlah rakyat Malaysia suka membeli pada saat-saat akhir," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Double Trouble, semalam. Sementara itu, perkhidmatan bas Rapid KL akan disediakan secara percuma di tiga kawasan bagi kemudahan pengunjung. Antaranya di Taman Jaya, Pusat Bandar Damansara dan LRT Bangsar.
Perkhidmatan ini akan disediakan pada setiap 20 minit di kawasan yang telah ditetapkan sehingga ke Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.
"Pengangkutan ini akan disediakan dari pukul 5 petang sehingga 9 malam manakala waktu baliknya pada pukul 10 malam hingga 12 tengah malam.
"Selain itu, pihak polis juga memberi kerjasama dengan memantau sekitar kawasan konsert sepanjang konsert itu berlangsung," katanya.
Selepas hampir 17 tahun tidak bersatu di atas pentas berskala besar, Search dan Wings bakal menggegarkan Bukit Kiara dengan persembahan pada konsert DT kali ini.
DT anjuran Adept Net Productions adalah lanjutan daripada Konsert Double Trouble yang pernah mereka jayakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1993.
Konsert pertama yang menggabungkan dua kumpulan itu diadakan selepas mereka menerbitkan album bersama berjudul Double Trouble pada 1992.
Double Trouble juga telah menunjukkan keserasian antara Search dan Wings, di mana jualan album itu menjangkau 180,000 unit, membuktikan sambutan para peminat terhadap mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: