Sunday, April 25, 2010

3 lelaki dijel guna nama MB Johor

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes penipuan penjualan tanah bernilai RM9.3 juta dengan menggunakan nama Menteri Besar Johor, 15 tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap pengamal perubatan tradisional, Md. Jhomi Supian, 56, dan ahli perniagaan, Johari Mansor, 52, manakala tiga tahun penjara ke atas broker tanah, Yap You Jee, 61, kerana menipu Pengarah Syarikat Solid Estate (Sarawak) Sdn. Bhd., Datuk Ding Lian Cheon.

Mereka dituduh memperdaya mangsa dengan mendakwa telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Negeri Johor untuk pembelian lot tanah 21448 dan 1152 di Jalan Skudai, di sini dengan harga RM7.5 juta di antara 28 Jun 1995 dan 25 Julai 1995.

Berikutan itu mereka didakwa menerima cashier's order bernilai S$3.45 juta (RM6.14 juta) daripada Lian Cheon, yang ditunaikan dengan kad pengenalan palsu tertera nama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Md. Jhomi dan Johari juga didakwa menipu Lian Cheon dengan mendakwa telah mendapatkan pembatalan tuntutan premium keatas tanah tersebut daripada Majlis Mesyuarat Negeri Johor di Hotel Tanahmas di Sibu, Sarawak pada 10 September 1995.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh telah mendapat bayaran sebanyak RM2 juta daripada Lian Cheon di Hotel Hyatt Regency di sini pada 23 September 1995.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: