
KUALA LUMPUR - Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) meramalkan peniaga ayam secara borong dan runcit bakal menghadapi zaman suram dan mungkin pupus tidak lama lagi.
Perunding Eksekutif FLFAM, Dr. Abdul Rahman Md. Saleh berkata, ramalan itu ada asasnya memandangkan kemalapan jualan sudah mula berlaku sekarang apabila pengguna kini lebih gemar mendapatkan ayam daripada pasar raya yang menawarkan harga lebih rendah, bersih, halal dan mampu bertahan lebih lama kerana di simpan dengan baik.
"Penternak ayam menganggap masa depan adalah milik pasar raya sebab kalau kita lihat peruncit di pasar basah sangat tidak efisien. Saya meramalkan peruncit akan pupus jika mereka tidak mengubah pendekatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas lambakan ayam di pasar-pasar basah di seluruh negara sepanjang musim perayaan ekoran kurangnya sambutan daripada pengguna selain trend pembelian di pasar raya besar.
Jelas Abdul Rahman, sudah sampai masanya pihak pemborong dan penjual ayam menerima hakikat industri tersebut sedang mengalami transformasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: