Siapa sangka, Thean See Xien mudah mempelajari lagu kebangsaan negara asing. Ini termasuklah lagu kebangsaan Rusia yang bahasanya agak keras sehinggalah kepada lagu-lagu di negara Arab.
TANPA muzik dan lirik sebagai panduan, Thean See Xien, tidak berdepan masalah untuk menyanyikan lagu kebangsaan negara Rusia. Bait-bait lagu yang langsung tidak difahami penulis dinyanyikan See Xien dengan spontan mengikut rentak dan tempo yang penuh semangat.
Lebih mengagumkan, anak jati Kuala Lumpur itu bukan hanya pandai menyanyi dan menghafal lagu-lagu popular negara asing, malah dia juga mampu menyanyikan sebanyak 83 buah lagu kebangsaan negara asing di seluruh dunia.
Sesiapa sahaja yang mendengar See Xien menyanyi pasti mempunyai masalah untuk memahami apa yang dipersembahkan oleh remaja berumur 23 tahun itu. Sungguhpun begitu, nyanyian yang dilagukannya tetap sedap dan menarik.
See Xien hanya memuat turun lagu kebangsaan daripada Internet, sebelum mendengarnya berulang kali sehingga dia benar-benar mengingati lirik dan melodi lagu tersebut.
Siapa sangka, graduan dari Universiti Sheffield, United Kingdom (UK) itu mudah mempelajari lagu kebangsaan negara asing. Tidak terkecuali, dia mampu menyanyikan lagu kebangsaan negara Rusia yang agak keras bunyinya dan lagu kebangsaan di negara Arab.
Minatnya itu nyata berbeza berbanding dengan remaja seusianya yang lebih gemar menghafal lagu-lagu penyanyi popular negara seperti Sean Kingston, Beyonce, Shakira, Lady Gaga dan sebagainya.
Agak sukar untuk percaya bahawa hobi unik See Xien itu muncul ketika dia diulit kebosanan.
"Saya memang meminati muzik. Pada suatu hari semasa menuntut di peringkat A-Level, saya terjumpa sebuah lagu kebangsaan di YouTube (laman web perkongsian video) dan cuba mendengarnya.
"Menariknya, apabila saya mendengar lagu kebangsaan yang rancak, saya mula seronok menyanyi selain mempelajari tempo dan liriknya.
"Pada masa yang sama, saya juga berusaha mengenali dengan lebih mendalam negara asal lagu kebangsaan tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Taman Cheras, Kuala Lumpur.
Jelasnya, sejak itu minatnya terhadap lagu kebangsaan semakin menjadi-jadi. Dia mula mencari lebih banyak lagu kebangsaan dan kini menjadi satu kegemaran baginya.
Anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, selain lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dia tidak menyangka terdapat banyak lagi lagu kebangsaan negara lain yang mempunyai melodi dan lirik yang indah.
See Xien memberitahu, kesemua lagu kebangsaan yang dihafalnya memiliki kekuatan tersendiri. Ada lagu kebangsaan yang sedih, gembira dan bersemangat. Malah, lirik-lirik lagu kebangsaan di sesetengah negara juga menggambarkan pelbagai makna.
Ada lagu yang menyuruh rakyat berkorban untuk negara. Ada yang memuji negara dan tidak kurang juga, lirik yang menyembah kepada raja.
Ulasnya, kebanyakan lagu yang dihafalnya memerlukan dia mendengar sebanyak 20 hingga 30 kali. Dia juga hanya memperuntukkan masa selama tiga hari untuk mengikut tempo setiap lagu kebangsaan yang ditemuinya di Internet.
Untuk lebih mengingatinya, lagu kebangsaan tersebut akan dinyanyikan berulang-ulang kali. Tidak kiralah sama ada semasa mandi, memandu atau semasa melakukan aktiviti-aktiviti lain. Selain menghafal, See Xien juga akan cuba memahami melodi dan lirik lagu tersebut.
See Xien yang kini merupakan seorang pegawai undang-undang di salah sebuah syarikat tempatan menyatakan, menerusi lagu kebangsaan, dia kini mempunyai ramai kawan berbilang bangsa di seluruh dunia.
Apabila seseorang itu boleh menyanyikan lagu kebangsaan 83 buah negara, sudah tentu mencari kenalan bukan sesuatu yang sukar.
"Ketika saya di UK untuk melanjutkan pelajaran, saya bertemu ramai pelajar asing. Saya pemalu dan kebolehan ini banyak membantu," katanya.
Sambil mempelajari lagu kebangsaan yang baru, See Xien juga banyak membaca mengenai sejarah dan latar belakang sesebuah negara itu.
Walaupun berkebolehan menyanyikan lagu-lagu kebangsaan itu dengan sebutan yang betul, dia mengakui ada bahasa yang sukar ditiru sebutannya.
"Dalam 83 buah lagu kebangsaan yang dihafal, bahasa Arab adalah yang paling sukar kerana saya tidak biasa dengan konsonannya.
"Saya juga menghadapi kesukaran menyanyikan lagu kebangsaan Thailand, Kemboja dan Vietnam," katanya yang berharap dapat menghafal lebih banyak lagu kebangsaan negara lain pada masa akan datang.
Antara lagu kebangsaan yang dihafalnya adalah dari negara Vanuatu, Bulgaria, Venezuela, Maghribi, Turkmenistan, Uruguay, Rusia, Jerman, Indonesia, Filipina, Thailand, Korea Utara, Amerika Selatan, Perancis, Sweden dan India.
Percaya atau tidak, lagu kebangsaan negara yang tidak pernah didengar kewujudannya pun turut termasuk dalam koleksinya.
Dengan keupayaan menyanyikan lagu kebangsaan dari pelbagai negara, dia mengajak remaja lain untuk merentas jurang perbezaan budaya dan bangsa.
Siapa tahu, hobinya itu mungkin dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada satu hari nanti.
Tersentuh juga perasaan bila melihat kebolehan See Xien menyanyikan lagu kebangsaan negara-negara asing itu.
Sedangkan,mungkin ada antara kita yang tidak hafal sepenuhnya lagu kebangsaan negara sendiri atau menyanyikannya tanpa menghayati bait-bait lagunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: