Tuesday, September 29, 2009

Watie, Farah dan Atilia kongsi kisah raya


CERIA... 'bersendiri' bukan penghalang bagi tiga wanita ini meneruskan kehidupan


KETIGA-TIGA wanita ini sentiasa ceria sepanjang sesi fotografi dijalankan. Deraian ketawa dan senyuman yang tidak pernah lekang langsung tidak mencerminkan yang ketiga-tiga mereka pernah menyimpan kisah duka di alam rumah tangga sedikit waktu dahulu.

Cantik, ramah berbicara dan bersaiz kecil molek antara aset ketiga-tiga jelitawan ini ternyata mudah didekati.

Realitinya Watie, Atilia mahupun Farah Asyikin sendiri adalah janda muda.

Menggenggam gelaran tersebut pada usia muda ternyata tidak mematahkan semangat dan langkah mereka terutamanya mengharungi dunia glamor yang penuh mencabar.

Meraikan Aidilfitri tanpa insan bergelar suami bukan sesuatu yang begitu memeritkan bagi mereka.

Redha dengan ketentuan Ilahi, segalanya ditempuhi sebaik mungkin demi peminat setia mereka.

Bukan semua artis ingin disatukan untuk sesi fotografi yang hanya melibatkan mereka yang 'solo' setelah terkandas di alam rumah tangga.

Namun, demi peminat setia, mereka bersetuju disatukan khas buat tatapan pembaca setia Hits lebaran ini.

Ketiga-tiga wanita tabah ini masih mampu meneruskan hidup dengan penuh gembira tambahan pula apabila meraikan Aidilfitri ditemani keluarga, sahabat handai dan rakan taulan.

Bagi Watie, Atilia dan Farah, mereka cukup bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga dan teman-teman yang sentiasa memberikan semangat dalam kehidupan mereka terutamanya apabila menjelangnya hari raya.

Jika sebelum ini mereka pernah mengenakan pakaian sedondon, sepadan bersama suami masing-masing bertandang ke rumah saudara-mara, kini semua itu hanya tinggal kenangan.

Masa berlalu, lebaran kali ini membawa kegembiraan yang bukan sedikit buat Watie mahupun Farah kerana masing-masing sudah pun memiliki insan teristimewa.

Watie bertandang ke rumah kekasih

Bagi bekas ahli kumpulan Elite ini, dia lebih terbuka bercerita tentang kegirangan hatinya kini yang sedang berputik cinta dengan jejaka yang jauh lebih muda daripadanya.

Lima tahun menjanda ternyata tidak membuatkan dia hilang punca, malah lebih mematangkannya untuk mencari yang terbaik demi anak kesayangan, Ahmad Afif Danial, 5.

Bagi Watie, walaupun pilihannya kali ini lebih muda, namun kematangan dan kemesraan kekasih hati terhadap anaknya membuatkan dirinya berasa dialah jodoh yang tepat buat dirinya.

Kini, dia bersedia memperkenalkan diri dengan bertandang ke rumah keluarga kekasih hatinya itu pada hari raya nanti.

"Saya dan kekasih saya masih dalam tempoh perkenalan namun kami ada merancang untuk ke rumah keluarganya dan memperkenalkan diri pada hari raya ini.

"Keluarga saya dah kenal dengan dia dan menyukainya. Afif pun sudah sangat mesra dengannya.

"Sifatnya yang lebih matang daripada usia dan sangat bertanggungjawab membuatkan saya tertawan dengannya.

"Lagipun kami bermula sebagai kawan dan sudah saling kenal hati budi masing-masing," ujar wanita yang mesra dan menjadi penghidup suasana terutamanya ketika sesi fotografi ini.

Ditanya tidakkah sunyi bersendirian dalam membesarkan Afif selama lima tahun, kata wanita berusia 33 tahun itu, dia sudah bersedia mengakhiri zaman solonya demi anaknya itu.

Ujarnya, sementelah dalam tempoh mengenal hati budi mereka juga sedang mengumpul harta untuk masa hadapan bersama.

"Saya kasihan dengan anak saya kerana dia tidak pernah mendapat kasih sayang yang sebenarnya daripada seorang bapa.

"Saya juga berasa sunyi kerana setiap kali menjelang hari raya saya hanya meraikan di rumah ahli keluarga saya. Teringin juga hendak menjadi seperti orang lain, beraya bersama keluarga sendiri, pakai baju sedondon," katanya sayu dalam nada perlahan.

Pada hari raya kelima ini, Watie bakal bergabung dengan ahli kumpulan Elite yang lain membuat persembahan dalam rancangan Memori Idola yang turut menggabungkan kumpulan-kumpulan lain seperti Senario, Indigo dan A To Z.

Farah akui ada kekasih

Bagi penyanyi genit yang terkenal dengan lagu Hello dan ERT ini, pengalaman melayari bahtera perkahwinan sebelum ini banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam soal pilihan hidup.

Malah, dia kalau boleh tidak mahu tergesa-gesa mendedahkan soal peribadi terutama perihal status kini kepada umum.

Tidak menafikan yang dia sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka dari Singapura, bagaimanapun, bagi Farah biarlah segalanya menjadi rahsia sehingga dia benar-benar bersedia.

Seakan dihimpit kontroversi, Farah lebih gemar mengambil sikap berdiam diri agar tidak canggung di mata masyarakat.

Apatah lagi, dia cukup gusar andai ada kata-kata nista yang timbul di kemudian hari bakal melukakan hati keluarganya.

"Saya sudah memegang gelaran janda sejak setahun lalu dan rasanya tidak salah untuk saya berkenalan dengan orang baru untuk masa hadapan saya.

"Namun, bagai sudah menjadi lumrah, masyarakat terlalu skeptikal terhadap golongan janda seperti kami membuatkan saya perlu lebih berhati-hati.

"Itu membuatkan saya enggan mendedahkan perihal hubungan saya berlebihan.

"Tetapi semuanya masih baru lagi. Kalau ada jodoh, adalah. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali," ujarnya yang bakal muncul dengan lakonan pertamanya, Satu Hari Di Hari Raya yang bakal bersiaran pada hari raya kedua di TV9.

Memegang watak utama, ia mengisahkan tentang Serina, seorang penerbit rancangan yang sombong dan tidak percaya pada cinta.

Turut bergandingan ialah Adibah Noor, Nubhan, Zizan Nin dan Cheryl Samad.

Berbicara tantang sambutan raya, kata Farah suasana pagi 1 Syawal adalah detik yang tidak ternilai buat dirinya. "Saya datang dari keluarga yang besar dan hubungan kami semua rapat dan saya merupakan sepupu yang paling tua.

"Pasti suasana akan meriah dan pastinya saya akan berhabis banyak terutama duit raya untuk diberikan kepada sepupu dan anak-anak saudara," ujarnya berseloroh.

Atilia beraya dengan bekas suami

Bagi penyanyi genit ini, Atilia, penceraian ternyata tidak langsung memutuskan silaturrahim dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz serta keluarga mertuanya.

Walaupun sudah setahun Atilia melayari hidup bersendirian, dia dan Ariff masih lagi berkawan baik.

Baginya tiada dendam di hati kerana sebelum ini mereka pernah menjalinkan ikatan perkahwinan selama 10 tahun.

"Kami akan tetap berjumpa dan saya akan turut beraya di rumah keluarganya memandangkan kami pernah bersama selama 10 tahun dan hubungan saya pun baik dengan keluarganya.

"Saya masih belum merancang bila akan menziarahi mereka di Petaling Jaya tetapi pada raya pertama saya akan bersama keluarga bapa saya di Shah Alam dan bersama emak saya di Selayang.

"Sudah tiga tahun saya meraikan bersama emak pada malam raya dan emak akan membawa bersama hidangan raya pada malam itu.

"Kira tidaklah sunyi kerana saya masih dikelilingi orang yang saya sayang," ujar Atilia yang menggemari hidangan raya Rendang Daging Dan Pulut Kuning.

Berbeza dengan Farah dan Watie, Atilia masih solo dan belum lagi mempunyai calon yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.

"Kawan memang ramai tetapi tiada yang serius. Lagipun baru-baru ini saya sibuk dengan kerjaya saya, dengan album kedua dan konsert Malam Nada Biru yang kedua nanti.

"Kalau boleh saya nak akhiri zaman solo saya secepat mungkin kerana saya sudahpun berusia 35 tahun pada tahun ini dan mestilah saya hendak anak. Tetapi semuanya terpulang kepada jodoh.

"Kalau saya dah temui seseorang nanti, janganlah risau kerana saya akan khabarkan berita gembira itu," ujarnya penuh ceria.

Atilia yang komited dengan kerjayanya berkata, dia hanya akan berehat selama tiga hari pada hari raya dan kembali sibuk dengan penggambaran telefilem keduanya bertajuk Handphone Kedua pada raya keempat lalu .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: