|
|
PERANAN dan sumbangan pelawak yang merupakan sebahagian daripada penggiat dalam memeriahkan lagi persada seni dan hiburan tanah air semakin mendapat pengiktirafan daripada banyak pihak termasuklah kerajaan.
Pelawak Ali Mamak misalnya, banyak menyelitkan mesej berunsur kritikan sosial serta nasihat dalam kebanyakkan lawak jenaka yang dipersembahkannya sejak terbabit dalam bidang seni kira-kira 20 tahun lalu.
Atas sumbangannya itu, ramai yang tidak tahu bahawa pelawak berusia 58 tahun ini telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.
Menurut Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, gelaran tersebut secara tidak langsung memberi pengiktirafan terhadap bidang lawak jenaka yang diceburinya di mana ia juga mewakili golongan pelawak yang lain.
"Sebenarnya pelawak lebih banyak memainkan peranan yang besar dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat dalam persembahan mereka jika dibandingkan dengan penyanyi yang hanya berbekalkan dengan lirik lagu.
"Pelawak terpaksa mengetengahkan isu-isu yang berbeza dalam lawak jenaka mereka sedangkan penyanyi hanya menyanyi dengan menggunakan lirik lagu yang sama pada setiap persembahan mereka. Berlawak kena banyak bercakap.
"Daripada situlah kita boleh menyampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat. Jadi saya anggap anugerah ini sebagai salah satu pengiktirafan buat golongan pelawak di negara ini," katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.
Jelas anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka ini, isu yang diketengahkan oleh para pelawak juga meliputi topik yang luas termasuklah soal kasih sayang, rumah tangga sehinggalah kepada isu-isu negara.
Justeru, Ali menyifatkan tugas atau peranan pelawak bukan sahaja berat tetapi ia juga seharusnya mendapat perhatian dan penghargaan daripada semua pihak terutamanya penganjur pertunjukkan pentas.
"Selama ini, apabila ada sesuatu pertunjukkan pentas penganjur lebih mengutamakan penyanyi yang glamor sedangkan golongan pelawak adakalanya diberi layanan kelas kedua. Sedangkan ramai yang tidak menyedari pentingnya pelawak.
"Malah, biasanya pelawaklah yang menceria atau menghidupkan sesuatu persembahan pentas. Saya bangga dan bersyukur dengan anugerah ini kerana ia membuktikan golongan pelawak kini semakin dihargai sumbangan mereka.
"Bukan saya seorang sahaja yang telah menerima gelaran Datuk, tetapi ramai lagi pelawak seperti Jamali Shadat dan Yahaya Sulong yang juga mendapat penghargaan tersebut," ujarnya yang mula mencipta nama melalui sitkom Santan Berlada di TV1 pada awal tahun 1980-an.
Pecah kepala
Selain penghargaan, Ali juga melahirkan rasa kesalnya kerana golongan pelawak sering dianaktirikan dalam soal bayaran di mana bayaran persembahan pentas yang mereka terima jumlahnya agak kecil berbanding penyanyi.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak penganjur pertunjukkan pentas memahami beban tugas yang terpaksa dipikul oleh golongan pelawak dalam menjayakan sesuatu persembahan tanpa adanya unsur diskriminasi.
"Bukannya senang mahu mencari bahan lawak. Kami terpaksa 'pecah kepala' mencari idea sebelum mengadakan sesebuah persembahan. Tidak seperti penyanyi yang hanya mengulang-ulang lirik lagu-lagu yang sama.
"Biasanya selain berlawak, kami juga diamanahkan melakukan tugas-tugas lain sebagai pengacara majlis dan turut menyanyi. Sebab itu, adalah tidak patut kalau bayaran yang diterima oleh pelawak terlalu kecil jumlahnya.
"Kami bukannya mahu meletakkan harga bayaran yang tinggi tetapi biarlah ia setimpal dengan peranan kami di atas pentas. Ia juga sebagai salah satu cara kita mengiktiraf sumbangan pelawak dalam bidang seni," katanya.
Di samping berlawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.
Terimalah Seadanya merupakan album terbaru Ali Mamak yang diterbitkan oleh komposer Amir Atan menerusi syarikat Rentak Mutiara. Album ketiganya ini yang mengandungi 10 buah lagu itu akan berada di pasaran tidak lama lagi.
"Pada masa sama, saya juga mengadakan persembahan di atas bot River Cruise di Sungai Melaka pada setiap hari Ahad. Saya akan berlawak dan menyanyi bagi menghiburkan mereka yang berada di situ," ujarnya lagi.
Selain 10 lagu dalam Terimalah Seadanya, album pop bergenrekan komedi itu turut memuatkan dua lagu bonus berjudul Allah Selamatkan Kamu dan Selamat Hari Jadi atas sokongan para peminat beliau sejak lebih dua dekad lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: