BUKAN mudah untuk mendaki kembali puncak setelah diri terjatuh merudum ke bumi. Itulah gambaran yang tepat boleh dikaitkan dengan bekas vokalis kumpulan terkenal Meet Uncle Hussain (MUH) yang kini tampil secara solo menggunakan nama Azlan & The Typewriter (ATT).
Meskipun sudah secara rasmi bergerak solo dan telah mempunyai lagu single yang berjudul Kelibat Si Penyair, Azlan atau mesra disapa Lan mengakui bayangan MUH terlalu kuat terhadap dirinya.
Namun, Lan tetap berpijak di bumi yang nyata dan memberitahu oleh kerana vokalnya sama ketika dia masih menjadi ahli MUH, sudah tentu bayang-bayang MUH tidak mampu terhakis daripada dirinya. Dia tahu, bayang-bayang itu akan terus mengekorinya sepanjang perjalanan seninya.
Walaupun kini Lan menampilkan lagu yang sedikit berbeza hasil karyanya sendiri bersama temannya Tassiq Saidi atau nama penanya Lake, sememangnya agak sukar untuk Lan meramal hala tuju kejayaannya selepas ini yang pasti tidak sama sewaktu zaman kemuncaknya ketika bergelar Lan MUH.
"Saya tidak dapat nafikan yang orang akan membuat perbandingan antara ATT dan MUH. Itu hak mereka sebab vokal saya memang serupa ketika bersama MUH. Suara saya memang begitu, tidak boleh diubah-ubah.
"Saya tahu ada peminat yang akan lari dan dalam masa yang sama mungkin saya akan dapat peminat yang baru. Saya cuba melihat ia dari aspek yang positif," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya baru-baru ini.
Beritahu Lan, meskipun menggunakan nama ATT, ia adalah projek solonya bukan sebuah kumpulan, selain Lan, pemuzik yang lain merupakan pemuzik undangan sahaja.
"Selepas bergerak solo saya akui, rasa lebih bebas untuk berkarya kerana sekarang saya bertanggungjawab dari mula sehingga akhir dalam pembikinan album," katanya.
Masa untuk berubah
Jika dulu ramai yang heboh tentang masalah disiplin yang dihadapi Lan sehingga membawa kepada perpisahannya bersama MUH, kini apabila tampil bersama ATT, mampukah Lan mendapatkan semula kepercayaan ramai setelah segala kontroversinya bersama MUH?
Pada sidang media majlis pelancaran tersebut, Lan berjanji akan lebih bertanggungjawab atas segala tindak tanduknya selepas ini. Malah, penggunaan nama ATT juga menjelaskan beban besar yang dipikul.
"Nama Azlan yang digunakan menggambarkan tanggungjawab saya lebih besar kerana selepas ini kalau berlaku masalah, orang tidak salahkan kumpulan sebaliknya saya sendiri iaitu Azlan," terangnya.
Secara jujur Lan memberitahu, dia kini dalam proses untuk menjadi yang lebih baik dan berharap peminat terus menyokongnya.
"Saya akui dulu saya melakukan kesalahan, kini sudah tiba masa untuk saya berubah dan tebus kembali apa yang telah saya lakukan dulu.
"Memang benar, segala yang berlaku ada hikmah sebaliknya begitu juga dengan keputusan saya untuk bergerak secara solo. Sekarang baru saya tahu tanggungjawab besar yang dipikul, saya belajar daripada kesilapan lalu," ujarnya tanpa berselindung.
Peta minda
Lan yang kini dilihat lebih bijak dalam berkomunikasi menjelaskan, album ATT yang diberi judul Peta Minda bakal berada di pasaran pada penghujung tahun ini membawakan genre rock alternatif.
Meskipun hanya muncul dengan satu lagu single, Kelibat Si Penyair, ATT telah memperlihatkan sisi sedikit berbeza apabila mencampurkan elemen futuristik, selain lirik-lirik yang lebih puitis.
"Album, Peta Minda memang lain, biasanya pemuzik sekarang lebih suka buat lirik tanpa berlapik, tetapi sekarang agak terbalik apabila lagu-lagu saya liriknya lebih melankolik. Kiranya, ini sesuatu yang baru untuk saya," ucapnya.
Jika diperhatikan dengan teliti, masa yang diambil untuk menghasilkan album solo pertamanya agak lama, tetapi Lan menegaskan bagi memperoleh kualiti, dia tidak boleh melakukan pembikinan album dengan terburu-buru.
"Sepanjang bulan puasa saya terperap dalam studio bekerja keras menghasilkan album yang berkualiti. Kalau bercakap tentang kualiti kita tidak boleh melakukannya dengan cepat dan gelojoh," ungkapnya.
Bercerita tentang lagi Kelibat Si Penyair, Lan memberitahu lagu tersebut adalah hasil eksperimennya bersama Lake dan telah pun disiarkan di corong-corong radio.
Masih sokong MUH
Sungguhpun ramai yang beranggapan berpisahan Lan bersama MUH satu perpisahan yang merugikan tetapi bagi Lan sendiri, biarpun tidak lagi bersama MUH mereka masih lagi berkawan baik cuma tidak lagi berurusan soal kerja.
"Antara kami tidak ada pergaduhan. Kalau ditakdirkan kami bekerjasama dengan MUH pada masa akan datang saya tidak menolak.
"Mereka juga menyokong saya dan saya tetap menyokong mereka sebab saya sayangkan MUH. Apa yang bezanya cuma dari segi pemikiran sahaja," kata Lan.
Mengenai kedudukan kontrak mereka yang masih di bawah satu bumbung, Satu Entertainment Sdn. Bhd, Lan juga tidak menjadikannya sebagai satu isu besar.
"Setakat hari ini tidak timbul sebarang masalah. Apapun, saya juga tidak boleh komen lebih-lebih tentang kontrak kerana ia isu dalaman label," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: