|
|
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kehebatan dan keunggulan penghibur antarabangsa Amerika Syarikat, Chaka Khan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Diberi jolokan sebagai Ratu R&B dan Soul, ternyata muzik yang dibawakan Chaka Khan telah berjaya menyatukan peminatnya di seluruh dunia.
Maka itu, tidak hairanlah apabila Chaka Khan dianugerahkan dengan Anugerah Personaliti Terbaik The BrandLaureate atas sumbangannya dalam bidang muzik selama empat dekad.
"Anugerah ini merupakan yang terbaik pernah saya terima sepanjang saya menjadi anak seni," katanya dalam nada terharu ketika menerima anugerah tersebut.
Beliau berkata demikian sebaik sahaja tamat persembahan eksklusifnya, Chaka Khan - Funk This Live In Malaysia yang diadakan di sini semalam.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The BrandLaureate, Dr. KK Johan.
Chaka Khan merupakan artis ketiga yang menerima gelaran itu selepas Sir Cliff Richard dan Kitaro menerusi pemilihan yang dilakukan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik (APBF).
Mengulas tentang persembahannya, Chaka Khan membuktikan usia bukan satu halangan untuk terus memberikan persembahan yang cukup bertenaga.
Buktinya, dia masih lagi mampu menghiburkan hampir 1,000 orang peminatnya yang hadir menonton persembahannya.
Bukan itu sahaja, tiket-tiket yang berharga dari RM398 hingga RM698 semuanya hampir habis dijual dalam masa cukup singkat dan membuktikan auranya sebagai seorang penghibur masih lagi belum pudar.
Malah, vokalnya juga masih lagi ampuh dan bertenaga sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Justeru, Chaka Khan membuktikan gelaran Ratu R&B dan Soul masih lagi menjadi miliknya biarpun ramai penyanyi baru bersilih ganti membawakan irama yang sama.
Antara lagu-lagu popular yang dibawakan Chaka adalah seperti I'm Every Woman, Ain't Nobody, I Feel For You dan Through The Fire dalam persembahan selama satu setengah jam itu.
Persembahan anjuran JS Concerts Sdn. Bhd. itu turut dihadiri bintang terkenal tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Noryn Aziz dan Nora.
Chaka Khan atau nama sebenarnya, Yvette Marie Stevens merupakan penghibur yang masyhur di kalangan peminat muzik R&B dan Soul.
Penyanyi itu juga pernah meraih 10 anugerah Grammy dalam tempoh empat dekad sepanjang bergelar anak seni.
Antara pencapaian yang diterimanya adalah anugerah Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik sebanyak tiga kali dan Album R&B Terbaik menerusi album Funk This tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: