WAYANG mungkin mewakili negara ke FFAPS3 di Taiwan. |
Filem Talentime dan Wayang turut disebut-sebut akan dibawa ke FFAP53
FILEM Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid antara filem yang disebut-sebut mewakili Kuala Lumpur ke Festival Filem Asia Pasifik edisi ke-53 (FFAP53) di bandaraya Kaohsiung, Taiwan pada 17 hingga 20 Disember ini.
Turut mendapat perhatian ialah Papadom arahan Afdlin Shauki yang dipilih sebagai Filem Terbaik di FFM22 yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini. Filem lain yang kemungkinan menjadi wakil negara ke FFAP53 ialah Wayang daripada Profesor Dr Hatta Azad Khad dan Talentime karya Allahyarham Yasmin Ahmad.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Hip, Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah enggan mengesahkannya kerana sehingga kini PFM belum memutuskan sebarang judul filem yang akan membawa cabaran negara ke Taiwan.
"Namun kita pernah mengadakan perbincangan berhubung pemilihan filem kita ke Taiwan, Disember ini. Selain filem yang disenarai pendek pada Festival Filem Malaysia pada tahun lalu dan tahun ini, kita juga melihat kepada filem dengan genre yang berbeza.
“Kita mencari filem yang mampu mencerminkan budaya negara kita," katanya.
Pada penganjuran sebelum ini, sebanyak lima cereka dipilih untuk mewakili negara pada FFAP. Namun, suasananya agak berbeza pada kali ini apabila hanya tiga judul cereka akan dibawa ke Kaohsiung, dengan slot selebihnya diberikan kepada filem dokumentari dan animasi.
Dalam pada itu, FFAP berlangsung sekali lagi pada Disember ini selepas dua tahun gagal dilangsungkan, iaitu pada 2007 dan 2008. Pada 2007, FFAP sepatutnya berlangsung di Hong Kong. Bagaimanapun, ia dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Manakala pada tahun lalu, Bangkok pada mulanya diumumkan sebagai tuan rumah. Tetapi, kota itu menarik diri apabila berlaku kekecohan berkaitan pilihan raya umum di negara Gajah Putih terbabit.
Pengunduran Bangkok membolehkan Jakarta menawarkan diri sebagai tuan rumah pengganti. Malangnya, Jakarta turut menarik diri pada saat-saat akhir berikutan masalah kurangnya keyakinan mendapatkan penyertaan.
Hanya selepas dua tahun, festival yang julung kali diadakan di Tokyo, Jepun, pada 1954 itu kembali dan Taiwan dipilih sebagai tuan rumah untuk ke sekian kalinya selepas kali akhir menganjurkan festival itu pada November 2006. Tiga tahun lalu, ia dilangsungkan di Taipei.
"Pada tahun ini, Indonesia tidak berminat untuk menganjurkannya, justeru pihak sekretariat yang berpangkalan di Taiwan mengambil balik penganjuran festival filem terbabit. Cuma kali ini ia diadakan di Kaohsiung, bukan lagi Taipei sebagaimana kali akhir FFAP diadakan," kata Ahmad Puad.
Berbeza dengan penganjuran terdahulu, penyertaan pada FFAP53 dibuat berdasarkan jemputan oleh penganjur. PFM yang juga sebahagian anggota gabungan Federation of Motion Picture in Asia Pacific (FPA) dijemput sama untuk menghadiri festival edisi 2009 ini.
Antara program yang akan diadakan sepanjang festival kali ini ialah malam pembukaan, mesyuarat lembaga pengarah FPA, lawatan ke tempat menarik, malam penutup dan penyampaian anugerah.
Selain Malaysia, FPA turut dianggotai 21 negara lain iaitu Thailand, Filipina, Bangladesh, Russia, Georgia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Hong Kong, Korea, India, Singapura, Iran, Australia, Indonesia, Taiwan, Uzbekistan, Kuwait, Jepun, Macau dan New Zealand.
"Berikutan festival itu sendiri sudah menjangkau usia enam dekad, maka amat rugi jika ia terhenti setakat itu saja. Atas alasan itu, ia cuba dianjurkan juga oleh sekretariat demi kepentingan pembangunan industri perfileman di rantau ini.
"Pada festival itu nanti, kami berharap dapat membincangkan hal berkaitan format festival serta giliran hak penganjuran pada mesyuarat lembaga pengarah FPA. Mungkin setiap anggota harus ditawarkan penganjurannya setiap lima tahun sekali, supaya persediaan rapi dapat dijalankan negara tuan rumah,” jelasnya.
"Ahmad Puad berkata, Kuala Lumpur (Malaysia) sendiri sudah menjadi tuan rumah sebanyak empat kali kepada festival ini dan berharap dapat membawakan FFAP kembali ke negara kita pada masa akan datang.
Kali pertama Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pada 1959 di Kuala Lumpur, diikuti 1982 juga di Kuala Lumpur. Kuching, Sarawak menjadi tuan rumah untuk edisi 1990, manakala kali akhir festival itu berlangsung di negara ini pada 2005, sekali lagi di ibu kota.
Malaysia juga antara negara anggota yang aktif mengambil bahagian dalam setiap FFAP yang dianjurkan, selain Hong Kong, Taiwan, Korea, Indonesia, Australia dan Thailand.
"Pada kali ini, kami juga berharap India dan New Zealand akan menghantar penyertaan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: