ZURICH - Pengarah filem terkenal, Roman Polanski enggan diekstradisi dari Switzerland ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tuduhan bahawa dia melakukan hubungan seks dengan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada 1977, kata seorang peguamnya, Herve Temime semalam.
"Dia enggan memenuhi permintaan AS bagi tujuan itu," kata Temime dua hari selepas Polanski ditahan di sebuah penjara di sini menerusi waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa AS.
Menurut satu kenyataan Kementerian Keadilan Switzerland, Polanski yang menetap di Perancis ditangkap di lapangan terbang di sini pada Sabtu lepas.
Dia dijadualkan menerima anugerah penghormatan pada Festival Filem Zurich di sini kelmarin.
Polanski mengaku bersalah di sebuah mahkamah AS pada 1978 kerana melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur sebelum melarikan diri ke Perancis.
Remaja itu berkata, Polanski melakukan seks oral dan meliwatnya walaupun dia cuba menghalangnya.
AS sebelum ini tidak dapat mendakwa Polanski kerana Perancis tidak memeterai perjanjian ekstradisi dengan negara kuasa besar itu.
Polanski popular selepas mengarahkan beberapa filem terutamanya Rosemary's Baby, Chinatown, The Ninth Gate, The Pianist dan Oliver Twist.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: