PENYANYI ini hanya tergelak besar bila diajukan tentang khabar angin yang mengatakan dirinya cuba membunuh diri.
Gosip yang datangnya entah dari mana itu memang diluar jangkaan Farawahida, apatah lagi ketika ini dia masih lagi asyik diulit 'mood' Hari Raya bersama keluarga di kampung halamannya di Taiping, Perak.
"Buat apa saya nak bunuh diri? Manalah datang cerita macam ini. Saya baru saja dapat tahu tentang gosip ini daripada pembantu saya hari ini dan terus saya sampaikan berita ini pada keluarga.
"Memang kelakar bila mula-mula dengar. Mungkin ada pihak tertentu yang cuba jatuhkan saya dengan cara macam ni. Tapi saya malas nak ambil pusing sangat tentang perkara ini.
"Sekurang-kurangnya saya tahu orang masih memberikan perhatian pada diri saya," kata penyanyi yang mesra dengan panggilan Fara ini.
Ujarnya lagi, dia tidak mahu memikirkan sangat tentang khabar angin tidak berasas itu.
Bagi Fara, apa yang lebih penting buat dirinya ketika ini ialah menggunakan masa cutinya di kampung sebaik mungkin sebelum kembali sibuk dengan aktivit seni.
"Biarlah orang nak cakap apa lagi pasal saya. Yang penting, saya cukup seronok selama dua minggu cuti beraya di kampung sebelum kembali ke Kuala Lumpur dua hari lagi," katanya.
Menurut penyanyi berusia 24 tahun ini, dia juga sudah tidak mahu mengulas apa-apa lagi berhubung kontroversi yang melanda dirinya dan komposer, Julfekar.
Kata Fara, dia telah menyerahkan semua urusan tentang perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan susulan.
"Saya tidak mahu memanaskan lagi keadaan...biarlah, kita lihat saja nanti," kata Fara dalam nada perlahan.
Tak berpeluang beraya dengan 'si dia'
Bercerita tentang sambutan Syawal yang dirainya di Taiping, akui Fara, sambutan lebaran di kampungnya agak meriah.
Namun, sambil ketawa kecil, penyanyi ini sempat meluahkan, dirinya tidak berpeluang beraya dengan kekasih hati yang beraya di kampungnya - sebuah negeri di bahagian utara.
Jika sebelum ini, Fara lebih selesa untuk tidak bercerita tentang jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu, namun kini, ternyata penyanyi ini sudah 'berani' berbicara serba-sedikit tentang perihal jejaka itu.
"Kalau diikutkan, memang sudah lama saya mengenalinya sewaktu zaman persekolahan. Tapi baru sekarang kami rapat dan hubungan semakin serius. Dia bekerja di Kuala Lumpur dan hanyat tua setahun dari saya.
"Nak cakap lebih-lebih pun, masih terlalu awal. Insya-allah, saya sentiasa berdoa yang terbaik dalam hubungan ini," katanya dalam nada ceria.
Dalam perkembangan lain, Fara juga berkata, dia akan mencuba nasib sebagai pelakon buat pertama kalinya menerusi sebuah teater bangsawan yang akan dipentaskan di DBKL pada penghujung tahun ini.
"Belum masanya untuk ulas lanjut tentang projek ini, tetapi apa yang boleh saya katakan, ini adalah satu peluang yang baik untuk saya mempelbagaikan cabang seni.
"Dan berpeluang berlakon teater juga adalah satu platform yang baik untuk orang yang tidak ada pengalaman berlakon seperti saya. Saya sendiri memang mengimpikan untuk cuba berlakon bermula dengan teater terlebih dahulu.
"Watak yang ditawarkan itu juga memang menarik. Cuma saya tidak nafikan, agak gementar juga kerana diberikan peranan utama di dalam teater ini," kata Fara tentang teater yang diilhamkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: