LOS ANGELES - Peminat Michael Jackson bersiap sedia berhibur dengannya buat kali terakhir apabila filem This Is It yang memaparkan kehidupan Raja Pop itu memecah rekod tempahan awal tiket, kata studio Sony Pictures Entertainment selaku penerbit filem berkenaan.
Filem tersebut menampilkan beberapa rakaman penyanyi lagu Thriller itu semasa dia mengadakan raptai sempena konsert kemunculan semulanya, beberapa minggu sebelum kematiannya pada 25 Jun lepas.
This Is It akan hanya ditayangkan pada 28 Oktober ini tetapi tiket di beratus-ratus pawagam Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sudah habis ditempah sejak jualan awal dibuka kepada orang ramai pada Ahad lepas.
Menurut Sony Pictures, jualan tiket 'meletup' di beberapa bandar raya termasuk termasuk Los Angeles, San Francisco, Houston dan New York.
Di Jepun, rekod baru dicatatkan apabila jualan tiket memperoleh kutipan lebih AS$1 juta (RM3.4 juta) pada hari pertama tempahan awal bermula.
Di London, peminat This Is It membeli lebih 30,000 tiket filem itu pada hari pertama jualannya sekali gus menenggelamkan jualan awal tiket bagi Harry Potter dan The Lord of the Rings iaitu dua buah filem yang amat popular di Britain.
Jualan tiket termasuk menerusi Internet turut memecah rekod di Belanda, Sweden, Belgium dan New Zealand manakala di Paris, Bangkok serta Munich, orang ramai berbaris panjang bagi mendapatkannya.
Sementara itu, polis AS masih menyiasat punca kematian Michael yang dikaitkan dengan dos ubat berlebihan dengan siasatan tertumpu terhadap doktor peribadinya, Conrad Murray.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: