Wednesday, September 30, 2009

Cuti panjang layan suami


SELEPAS seminggu bercuti raya, Sharifah Shahora Syed Akil, 34, kembali sibuk di lokasi penggambaran drama Jongkang Jongkit dan Jangan Pandang Belakang yang kini memasuki musim kedua.

Penggambaran drama Jongkang Jongkit bermula 1 Oktober ini manakala Jangan Pandang Belakang seminggu selepas itu. Jelas Shahora, dia tiada masalah berlakon dalam dua drama serentak kerana kedua-duanya adalah cerita yang bersambung, justeru, dia sudah faham benar dengan jalan cerita dan watak yang akan dibawa.

Menurut Shahora, menerusi Jongkang Jongkit, dia memainkan peranan kakak sulung kepada Amylia Rosnaida dan Abby Abadi.

Manakala Rosnah Mat Aris dan Yalal Chin memegang watak sebagai ibu bapa mereka dalam drama bertema keluarga.

"Menyambut Ramadan lalu, saya bercuti lama iaitu seminggu sebelum tibanya bulan mulia itu sehinggalah seminggu selepas Syawal.

"Hari lain saya sibuk dengan penggambaran drama dan jarang dapat makan bersama suami (Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin, 36).

"Kadang-kadang kami kami hanya berselisih di rumah sendiri. Dia baru balik kerja, saya pula bersiap hendak ke lokasi. Mujur kami berada dalam lapangan pekerjaan yang sama jadi kami tidak pernah bertelagah mengenai jadual kerja yang tidak menentu.

"Kami berkawan dan bercinta lama sebelum berkahwin jadi kami saling memahami corak kerja masing-masing. Bahkan dek kerana kesibukan juga kami tidak sempat berbulan madu.

"Jadi pada Ramadan lalu saya berkorban dengan tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

"Lagipun inilah kali pertama kami menyambut Ramadan dan Syawal sebagai suami isteri selepas berkahwin pada Februari lalu.

"Saya tidaklah pandai sangat memasak, tetapi dek kerana suami tersayang, saya berusaha untuk mendalami dunia masakan dengan bertanyakan emak resipi baru setiap hari dan juga membeli buku resipi.

"Alhamdulillah, Mukhriz tidak cerewet. Biarpun adakala cubaan saya tidak begitu menjadi namun dia tetap kata sedap. "Mukhriz yang tahu saya jenis tak boleh duduk diam bertanya pula, apakah saya tiada penggambaran drama sepanjang Ramadan lalu.


"Teringin juga hendak menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri yang lain dan mengambil keberkatan pada bulan mulia itu. Kebetulan saya pun sudah lama tidak bercuti panjang," katanya.

Sebenarnya, jelas Shahora, walaupun dia bercuti berlakon sepanjang Ramadan lalu, dia mengambil peluang berkenaan menguruskan perniagaan yang dilakukan secara kecil-kecilan bersama Mukhriz.

"Selain terbabit dalam dunia seni, kami berniaga dan mempunyai pejabat di Ampang. Setiap pagi saya ke pejabat menguruskan pesanan pelanggan dan sebagainya.

"Petang baru balik rumah, tetapi tidaklah sesibuk ketika penggambaran. Saya boleh bekerja mengikut masa sendiri. Sebelah petang bolehlah sediakan juadah berbuka. Seronok dapat berbuka bersama suami di rumah," katanya.

Mengimbas cerita raya, jelas Shahora, sambutan Aidilfitri lalu sangat meriah dan puas berjalan raya ke rumah sanak saudara kedua-dua belah keluarga.

"Dari kampung nenek saya di Temerloh, saya dan Mukhriz ke Raub pula iaitu ke kampung nenek Mukhriz. "Kemudian meneruskan perjalanan ke Kuantan. Setiap hari kami berjalan ke rumah saudara mara kerana ketika majlis kenduri kahwin dulu tidak sempat berkenal mesra dengan mereka.

"Jadi pada lebaran lalu kami sepakat menziarahi keluarga dan sanak saudara kedua-dua belah pihak kerana selepas raya entah bila dapat berjumpa kerana sibuk bekerja semula," katanya.

Bagaimanapun, katanya, raya lalu anak angkatnya, Puteri Fiedra, setahun lima bulan, asyik meragam kerana tidak biasa dikelilingi ramai orang.

"Balik ke Kuala Lumpur pun, saya terus sibuk melayan sanak saudara yang datang beraya di rumah. Meriah sungguh raya kali ini dan yang seronoknya saya memasak sendiri juadah untuk tetamu.

"Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka khusus untuk sanak saudara yang belum sempat beraya di rumah saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: