MUDA dan berperwatakan menarik, dua pelakon baru, Ammar Alfian Aziz dan Shah Jaszle diberi kesempatan menerima tunjuk ajar pengarah, Shahrul Ezad Mohameddin bagi drama Tari Tirana yang kini bersiaran di TV3 menerusi slot Lestary, jam 9 malam, bermula hari ini.
Dengan ini, mungkin satu atau dua tahun lagi, kehadiran mereka akan terus bersinar. Secara tidak langsung, peluang yang dibuka pengarah terbabit memberi kepelbagaian dan laluan untuk pelakon baru seperti mereka terus bertapak.
Bagi Ammar, 22, tawaran berlakon membuka dimensi baru untuk meminati bidang seni itu. Bagaimanapun pada usia 16 tahun, dia sudah bergelar model. Tidak hairanlah wajah campuran Arab dan Pakistan yang dimiliki anak bongsu tiga beradik ini, mula mendapat perhatian.
Jejaka ini juga tidak berselindung mengenai kisah cintanya yang terjalin dengan Puteri Sarah yang digembar-gemburkan menjadi heroin filem Aduh Saliha.
“Sudah setahun lebih hubungan kami berterusan. Ketika ini pun, dia (Sarah) memberi tumpuan kepada pengajiannya hingga ada tawaran berlakon terpaksa ditolak. Saya sebenarnya banyak belajar selok belok lakonan dengan dia.
“Dia pun sentiasa memberi sokongan kepada apa yang saya sedang lalui kini. Saya tidak ada masalah menjadi pelakon. Malah kalau dikaji, lakonan lebih kurang sama dengan peragaan. Yang jelas kedua bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu menunggu.
“Bekerja dengan Shahrul Ezad pun satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Banyak benda saya belajar daripadanya seperti mana yang saya timba dengan Ghaz Abu Bakar dalam telefilem Ponti Anak Remaja.
“Shahrul Ezad banyak bercakap dan menegur apa yang patut,” kata Ammar yang tamat pengajian jurusan Diploma Pengurusan Hotel & Pelancongan di UiTM, Melaka sejak tahun lalu.
Manakala Shah Jaszle, 21, atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin pula mula dikenali dengan drama Bio-Nik yang disiarkan di TV3 menerusi slot Aksi. Jejaka campuran darah Cina, Pakistan dan Indonesia ini juga bercita-cita untuk menjadi pengarah dan menerbitkan skrip pada masa mendatang.
“Alhamdulillah, setakat ini laluan saya bergelar pelakon cukup dirahmati. Namun lumrah, setiap permulaan itu pasti ada perit jerih yang harus saya lalui. Dulu pernah dalam jangka waktu tiga hingga enam bulan, saya pernah tidak ada tawaran berlakon,” kata Shah Jaszle.
Selain berlakon, Shah juga seperti Ammar berjinak-jinak dalam dunia peragaan. Mengenai Shahrul Ezad, kata Shah, bekerja dengan pengarah kelahiran Johor Bahru itu cukup menyeronokkan.
“Shahrul Ezad seorang yang tegas di set penggambaran tetapi tidak stres sebenarnya. Dia seorang pengarah yang sangat menyokong. Saya bangga dapat berkongsi ilmu dengannya,” katanya lagi.
Profil: Ammar Alfian Aziz Mohd Zaki
Nama komersial: Ammar Alfian Aziz
Tarikh lahir: 5 April 1987
Tempat lahir: Cardiff, Wales
Pencapaian: Finalis Hero Remaja 2007/2008, duta bagi lima negara Asia bagi jenama seluar dalam Renoma dari 2005 hingga 2009 (Indonesia, Australia, Singapura, Vietnam dan Filipina)
Drama & telefilem: Ponti Anak Remaja dan Tari Tirana.
Profil: Shahrizal Jaszle Jasmin
Nama komersial: Shah Jaszle
Tarikh lahir: 30 Julai 1988
Tempat lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur
Keluarga: Anak kelima daripada tujuh beradik
Drama & telefilem: Bio-Nik, Bila Mama Pakai Celana, Tari Tirana dan Dari Mata Ke Hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: