Tuesday, September 29, 2009

Ketam 'kondominium'

Satu penemuan teknologi baru yang dicipta oleh anak tempatan, TBC Management Sdn. Bhd. boleh menampung kekurangan industri penternakan ketam nipah di negara ini.




BAGI penggemar hidangan ketam, walaupun untuk menikmatinya memerlukan sedikit kesabaran kerana agak remeh ia sedikitpun tidak mematahkan keinginan untuk terus menjamahnya sebagai salah satu hidangan laut yang lazat dan istimewa.


BEGINILAH 'kondominium' ketam nipah yang dipelihara di Kelibang, Pulau Langkawi, Kedah.


Sama ada dimasak lemak cili padi, dibakar, digoreng, direndang atau direbus begitu sahaja, sajian 'raja sepit' itu cukup untuk membangkitkan selera ketika di meja makan.

Untuk menikmati rasanya yang enak, ada yang sanggup menggigit, mencubit dan kalau sudah tidak mampu melakukan dengan gigi sendiri, ada yang menggunakan 'tukul' untuk mengetuk jari jari keras sang ketam bagi mendapatkan isinya itu.


SETIAP ekor ketam akan ditempatkan di dalam ruang khas dalam satu petak PVC ini.


Mungkin tidak ramai yang tahu, sebagaimana remeh mengopek kulit kerasnya untuk menikmati isi ketam, kesukaran yang sama turut dialami oleh mereka yang memelihara dan membiakkan hidupan tersebut.

Pada masa ini, industri ketam tempatan dimonopoli oleh ketam-ketam yang diimport dari luar negara terutama dari Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Ini kerana industri penternakan ketam yang 'renyah' dan banyak masalah menyebabkan tidak ramai penternak tempatan berminat untuk mengusahakannya secara komersial.


AHAMAD SABKI (kanan) mengukur saiz ketam sambil diperhatikan Norazman Adnan (kiri) dan Teo Siong Wan di Kelibang, Pulau Langkawi.


Justeru itu, tidak hairanlah harga satu kilogram (kg) ketam yang barangkali hanya mengandungi empat atau lima ekor, boleh mencecah sehingga RM30 sekilogram.

Keadaan itu berpunca daripada industri penternakan ketam tempatan yang tidak mampu menampung kehendak pasaran yang semakin tinggi di kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, satu penemuan teknologi baru yang dicipta oleh anak tempatan, TBC Management Sdn. Bhd. (TBC) barangkali boleh menampung kekurangan industri penternakan ketam nipah di negara kita.


KETAM nipah yang dipelihara mengikut kaedah ICS boleh dijual dalam jangka masa 40 hingga 60 hari.


Melalui konsep memelihara mengikut kaedah penternakan tertutup yang dikawal selia dengan baik menerusi sistem perairan yang lebih sistematik, ia adalah penemuan terbaru dalam teknologi pembiakan ketam nipah ala Malaysia.

Mempraktikkan kaedah penternakan yang dinamakan Sistem Penternakan Ketam Bersepadu (ICS), baka-baka ketam nipah akan melalui proses pembiakan dengan cara yang lebih moden dan selamat.

"Mengikut konsep penternakan terbaru ini, air sisa ternakan akan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik dengan menggunakan teknologi terkini rekaan kami sendiri.

"Ketam-ketam ini dilayan bak 'raja'. Dalam erti kata yang lain, makan minumnya terjaga, tempat tinggalnya selesa dan tidak mengalami sebarang gangguan daripada pemangsa sesama sendiri.


HIDANGAN ketam mendapat sambutan baik orang ramai.





"Setiap anak ketam yang sudah mencapai berat 100 gram akan ditempatkan di satu ruangan khas dalam setiap petak PVC bagi memastikan pembiakannya lebih cepat dan kami pula dapat memantau proses pembesarannya dengan lebih baik dari sehari ke sehari," kata Pengarah Urusan TBC, Datuk Norazman Adnan kepada Kosmo!.

Beliau ditemui pada majlis perjumpaan kerjasama penyelidikan dan Projek Perintis Ternakan Ketam di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Bahagian Pembangunan), Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Teo Siong Wan.

Telah melabur lebih RM1 juta bagi membangunkan sistem ICS, Norazman berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang cukup erat daripada Jabatan Perikanan Negeri Kedah.

Menurutnya, kerjasama itu mendorong pihak TBC membesarkan lagi kaedah pembiakan ketam itu ke peringkat yang lebih menyeluruh dalam masa terdekat ini. Ia dilakukan setelah usaha pertama di Kelibang, Langkawi menunjukkan hasil memberangsangkan walaupun masih dalam proses percubaan.

"Kami berharap dengan terciptanya teknologi ini, ia mampu membantu menggiatkan lagi industri penternakan ketam di negara ini.

"Seterusnya, kami berharap, sistem ini boleh diguna pakai oleh penternak ketam sedia ada yang mana sebelum ini, mereka menggunakan kaedah ternakan semula jadi bagi memenuhi kehendak pasaran," kata Norazman.

TBC kini bersedia untuk berkongsi teknologi yang diasaskan itu dengan para penternak ketam tempatan dalam usaha mengembangkan lagi teknologi berkenaan supaya dapat diguna pakai secara menyeluruh di seluruh negara.

Menariknya, mereka yang bekerjasama dengan syarikat itu akan dibantu sepenuhnya untuk menjadi usahawan ketam yang berjaya bermula dari awal, sehinggalah aktiviti pemasaran dan ketam-ketam berkenaan layak dijual.

Menurut Norazman, dengan bantuan pihak-pihak yang berkaitan, tidak mustahil pada masa akan datang, teknologi penternakan ICS itu akan difrancaiskan kepada mereka yang berminat.

"Kami mahu mengajar orang ramai mengenai kaedah menternak dan memasarkan ketam secara betul. Industri penternakan ketam amat menguntungkan kalau kena dengan cara dan teknologinya," kata Norazman lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: