STATUS sebagai ibu kepada cahaya mata perempuan, Neesa Helena ,18 bulan, bukan penghalang buat pelakon jelita, Datin Natasha Hudson untuk kembali menyemarakkan persada seni tanah air. |
Malah, kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini, dia sudah pun bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk memberikan komitmen terbaik pada bidang seni yang dicintainya sejak dulu.
“Sebenarnya, sejak zaman anak dara lagi, saya sudah biasa hidup berdikari dan bekerja keras untuk menyara keluarga. “Pada masa sama, saya juga mempunyai tanggungjawab besar menjaga adik perempuan saya, Tania yang kurang sihat ketika itu.
“Justeru, selepas berehat panjang kerana melahirkan anak dan memberi fokus pada rumah tangga, kini sampai masanya saya kembali berlakon dan melakukan perkara yang saya minati sejak sekian lama.
“Terus terang, saya rindu untuk kembali berlakon filem dan buat iklan komersial seperti dulu. Maklumlah, anak saya, Neesa juga sudah besar sikit dan boleh ditinggalkan bersama pembantu rumah,” katanya.
Natasha, 26, yang kini bahagia dengan perkahwinan keduanya dengan usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari berkata, dia beruntung kerana suami cukup memahami minatnya yang mendalam pada bidang seni.
“Suami juga mengizinkan saya kembali berlakon asalkan ia tidak menjejaskan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu kepada anak kesayangan kami.
“Maklumlah, suami memang faham saya memang tidak suka duduk goyang kaki di rumah tanpa berbuat apa-apa kerana saya memang cepat bosan,” katanya.
Sebagai seorang ibu, Natasha mengakui rutin hidupnya sentiasa padat dengan urusan rumah tangga.
“Sekarang baru saya tahu bagaimana penatnya membesarkan anak. Sekalipun ada pembantu rumah, Neesa sangat rapat dan sukar berenggang dengan saya. Bila usia Neesa sudah lebih setahun, barulah saya boleh ‘bernafas’ sikit dan kembali berlakon.
“Saya juga tidak berasa bimbang meninggalkan Neesa dengan pembantu rumah warga Indonesia kerana ada ibu saya ataupun ibu mentua yang akan mengawasinya di rumah apabila saya keluar bekerja.
|
“Apapun, saya bersyukur kerana dapat melihat anak kesayangan kami sekeluarga ini membesar depan mata. Sepanjang pemerhatian saya ketika mengajarnya di rumah, Neesa memang anak yang pintar,” katanya.
Sejak penghujung Julai lalu, Natasha juga sibuk menjayakan latihan pementasan teater muzikal Gamat yang bakal dijayakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 hingga 12 Oktober nanti.
Ini teater kedua lakonan Natasha tahun ini selepas menjayakan watak Miss Ruth pada pementasan teater Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir yang dipentaskan kali kedua di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Mac lalu.
“Sebenarnya, saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem, tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin memberi fokus pada muzikal Gamat arahan Zaifri Husin ini.
“Saya juga terima tawaran buat teater muzikal Gamat kerana tertarik dengan watak ikan buntal yang ditawarkan pada saya. “Malah, saya juga tidak berfikir panjang apabila ditawarkan penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan sebelum ini,” katanya.
Natasha berkata, dia mengakui berasa seronok dan teruja sepanjang sesi latihan teater berkenaan.
“Teater ini untuk menghiburkan golongan kanak-kanak dan dibintangi ramai pelakon cilik.
“Sesi latihan teater ini bermula seminggu sebelum raya lalu. Sesi latihan pada setiap pagi dan petang dan berakhir jam 12 tengah malam setiap hari.
“Watak saya sebagai ikan buntal juga sangat comel. Ada juga yang bertanya bagaimana saya akan jayakan watak ikan buntal kerana saiz badan saya yang kecil, tetapi saya percaya ia bukan masalah besar kerana ada kostum sesuai untuk ikan buntal itu nanti.
“Selain saya, pelakon Amy Mastura juga berlakon dalam muzikal ini. Setakat ini, sesi latihan teater ini berjalan lancar dan sudah membabitkan sebanyak 85 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, bintang filem Cermin ini juga mengimpikan watak yang mencabar kredibilitinya sebagai pelakon di layar perak pada masa depan.
“Saya berharap dapat buat watak mencabar dalam filem seperti watak orang gila. Saya juga berharap untuk bekerja dengan pengarah terkenal seperti Khabir Batia, tetapi nampaknya masih belum ada rezeki lagi,” katanya.
Ditanya mengenai percaturannya pada masa depan, Natasha berkata dia merancang untuk menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depannya sekeluarga.
“Saya juga bakal menjadi duta untuk produk penjagaan kecantikan tidak lama lagi. Saya juga akan terbabit dalam beberapa projek iklan komersial nanti,” katanya.
Profil
Nama sebenar: Natasha Liana Hudson
Tarikh lahir: 9 September 1982
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Status: Berkahwin
Suami: Usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari
Anak: Nessa Helena, 18 bulan
Pendidikan: Sarjana rekaan grafik di The One Academy, Sunway dan
Performing Arts School, Chicago
Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku
Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal
Program TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman
Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara
Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri
Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: