|
|
PERISTIWA rusuhan berdarah di Singapura sekitar tahun 1950 yang melibatkan Natrah atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh sukar dilupakan.
Semuanya tercetus apabila Natrah diserahkan untuk dipelihara oleh Che Aminah Mohamad pada Disember 1942.
Ia mencetus kemarahan ramai apabila dia kembali ke agama asalnya selepas mahkamah membuat keputusan Natrah dipulangkan kepada keluarga asalnya dan kembali menjadi seorang Belanda.
Kerana keputusan itu, rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah tercetus di Singapura.
Berdasarkan laporan, seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.
Demikian sekali kisah Natrah yang bukan sekadar membangkitkan soal agama sebaliknya menggerakkan semangat nasionalisme di republik itu.
Kini setelah 59 tahun berlalu, apa yang dialami Natrah pastinya akan dikenang sampai bila-bila meskipun wanita yang satu ketika pernah menjadi rebutan ini sudah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda pada 9 Julai lalu.
Justeru, sebagai mengenang segala liku-liku hidup Natrah, Istana Budaya (IB) bakal mementaskan pementasan berjudul Natrah di Panggung Sari bermula 17 hingga 25 November ini.
Menampilkan aktres muda, Diana Danielle sebagai Natrah, dua lagi pelakon utama yang membintangi teater Natrah ialah Umie Aida sebagai Che Aminah dan Remy Ishak (Mansor Adabi).
Diarahkan oleh Erma Fatima, ini merupakan pembabitan sulung Diana di pentas teater sementelah ia merupakan impiannya sejak melangkah bergelar artis.
Justeru, bagi Diana, meski masih baru, dirinya tidak menyangka kerana terpilih untuk membawakan satu watak yang cukup besar di pentas bertaraf dunia itu.
"Saya juga sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui kerana ini adalah penglibatan pertama saya dalam teater.
"Lagipun, watak Natrah amat besar dan saya perlu membuat kajian mendalam mengenai segala-galanya berkaitan Natrah.
"Saya pernah mendengar dan membaca kisahnya sebelum ini tetapi tidaklah terlalu mendalam,'' katanya pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon utama Natrah di IB, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.
Menurut Diana, seperti biasa, dengan watak yang diberikan, dia akan melakukan kajian mendalam mengenai Natrah untuk menjiwai perwatakan wanita itu.
"Mula-mula memang terkejut dengan tawaran yang diberikan. Nasib baik ibu menasihatkan saya agar menerima peluang sebegini kerana Natrah bukanlah sebuah cerita yang biasa,'' kata Diana yang memulakan perjalanan seni melalui penglibatan sebagai pelakon iklan.
Saya suka teater sejarah - Umie
"Ia merupakan kisah yang sangat menarik. Saya pernah ikuti kisah Natrah sejak di bangku sekolah lagi.
"Oleh itu, sebaik mendapat tawaran daripada IB, saya terus setuju. Lagipun, ini adalah teater pertama saya di pentas IB. Sebelum ini, memang saya ada berlakon teater tetapi bukan di IB,'' ujar aktres yang baru saja melangsungkan pertunangannya semalam.
Kepada soalan mengenai gandingannya bersama pelakon baru iaitu Diana, Umie berkata, ia tidak memberikannya apa-apa masalah.
"Pelakon baru atau lama, ia tidak menjadi persoalan. Apa yang penting adalah disiplin.
"Saya juga tidak kisah berlakon di bawah arahan kakak sendiri iaitu Erma Fatima. Saya anggap dia sebagai seorang pengarah,'' jelas pelakon yang pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia.
Erma ada sebab pilih Diana
Dalam pada itu, Erma ketika ditanya mengenai pemilihan Diana untuk memegang watak Natrah berkata, Diana merupakan seorang pelakon yang bagus.
Yakin akan kemampuan Diana membawakan watak Natrah, Erma memilih untuk mengenengahkan Diana kerana belum puas 'mengorek' karakter pelakon itu dalam bidang lakonan.
"Saya pernah tengok dia (Diana) berlakon dalam drama Cinta Bulan Dan Matahari yang saya sendiri arahkan.
"Dia boleh berlakon dengan baik. Tetapi, saya belum puas menggali dan menggali karakternya,'' kata sutradara berjiwa besar ini lagi.
Ujar Erma, selain Diana, Remy juga merupakan antara pelakon yang diidamkan untuk berada di bawah 'arahannya'.
"Remy memiliki wajah seorang lelaki Melayu. Dia berbakat dan hebat. Mengenai Umie pula, wajahnya bukanlah seperti yang saya gambarkan untuk memegang watak Che Aminah.
"Umie terlalu lembut tetapi Che Aminah tegas dan bijak. Wataknya cukup berat dan saya tidak mahu melihat ada Umie dalam karakter Che Aminah nanti,'' jelasnya yang berharap agar teater Natrah akan menjadi pengajaran kepada seluruh umat Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: