Wednesday, September 30, 2009

Erma: Datuk K kena bimbing Umie!

MAJLIS pertunangan aktres Umie Aida malam tadi dengan ahli perniagaan Datuk Khairuddin Abu Hassan atau Datuk K bukan saja menggembirakan tuan empunya diri, malah perasaan 'lega' turut diluahkan oleh insan-insan yang cukup rapat dengan dirinya.

Salah seorangnya adalah kakak Umie sendiri, pengarah tersohor Erma Fatima.

"Sebelum ini saya selalu panggil Umie 'anak dara tua' sebab dia tak kahwin-kahwin lagi. Alhamdulillah, saya gembira bila dia beritahu dia serius untuk berkahwin.

"Saya harap Datuk K dapat jaga Umie dengan baik, bukan dengan gelaran atau harta saja tetapi juga kena bimbing Umie untuk dunia dan akhirat. Umie adalah amanah kami untuk dia.

"Saya harap Umie dapat kecapi kebahagiaan yang dicarinya selama ini setelah dia sering 'disakiti' dan dipermainkan dalam hubungan-hubungannya sebelum ini," kata Erma.

Turut melahirkan rasa gembira dengan keputusan Umie untuk mengakhiri zaman solonya tidak lama lagi ialah ibunya, Asmah Mohd Ali.

"Sejujurnya, saya terkejut juga bila dia kata dia nak kahwin kerana dulu dia memang cakap tidak mahu berkahwin. Tetapi ini sudah fitrah Allah dan nampaknya jodohnya sampai juga.

"Saya sendiri tidak pernah desak dia untuk berkahwin dan hanya berdoa pada Allah. Siapa pun pilihannya asalkan dia rasa terbaik, saya akan bersetuju.

"Saya baru berpeluang bertemu Khairuddin sebanyak empat kali. Tetapi saya lihat dia seorang yang lembut termasuklah dari segi tutur kata. Itu yang membuatkan Umie terpikat," ujar Asmah.

Anak angkat Umie, Mohd Daniel Firdaus pula berkata, dia dan adiknya Mohd Zulhilmy memang amat menyukai kehadiran Khairuddin yang dipanggil Uncle itu dalam keluarga mereka.

"Ketika pertama kali jumpa Uncle, dia memang nampak pemalu. Tetapi Uncle sangat ambil berat tentang ibu dan saya adik-beradik. Setiap hari dia akan hubungi ibu bertanyakan tentang kami semua.

"Saya cuma berharap hubungan mereka akan berkekalan dan kalau boleh, kami dikurniakan adik kelak...teringin juga untuk ada adik perempuan," luah Daniel yang menambah, dia dan Zulhilmy mungkin akan memanggil Khairuddin dengan panggilan 'Abah' selepas berkahwin dengan ibu mereka.

Dalam pada itu, rakan baik Umie, Erra Fazira juga mempunyai cerita berbeza tentang hasrat rakannya yang akhirnya terbuka hati untuk berkahwin.

"Saya tahu mereka benar-benar serius pun baru-baru ini saja. Umie memang seorang yang cukup perahsia tentang perkara seperti ini. Bila dia cakap pada saya 'Makcik, kita nak kahwin', saya hanya menjawab 'kahwin dulu, baru kita percaya'.

"Sehinggalah dia ingin buat majlis merisik, barulah saya percaya dia benar-benar serius.

"Saya hanya sempat berjumpa Khairuddin sekali saja. Itupun Umie perkenalkan saya ketika di tepi jalan. Kali pertama bertemu, memang saya nampak Khairuddin ikhlas mencintai Umie," katanya.

Bagi bakal ibu mertua Umie, Balkish Ahmad pula, dia tidak menyangka anaknya itu akan bertemu jodoh dengan seorang pelakon ternama.

"Sebelum ni, hanya lihat Umie berlakon dan gambar-gambarnya saja. Saya pun tidak sangka anak saya sendiri terbuka hati untuk berkahwin lagi setelah 15 tahun hidup menduda.

"Apapun, Umie saya lihat adalah seorang yang lemah-lembut. Saya harapkan mereka akan bahagia sampai bila-bila," kata Balkish.

Umie dan Khairuddin dijangka akan melangsungkan pernikahan sekitar awal Januari depan secara tertutup dan resepsi pula akan diadakan dua minggu selepas pernikahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: