AARON di samping isteri, Diyana dan dua anak mereka, Danish dan Ariana. |
SEPERTI selalu, aktor Aaron Mustapha Aziz pulang ke Singapura apabila tibanya pada 1 Syawal lalu untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri, Diyana Halik serta dua cahaya mata, Danish, 5, dan Ariana, 3, serta kedua ibu bapa mereka.
Walaupun berasakan suasana sambutan hari raya di Singapura tidak sama dengan kemeriahan di negara ini, Aaron setia pulang ke pangkuan orang tuanya di negara seberang tambak itu.
"Saya pernah meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur. Tetapi, keadaannya lebih sunyi apabila kebanyakan penduduknya pulang beraya di kampung. Begitupun, secara umum, sambutan hari raya di Malaysia lebih meriah kerana saya dapat lihat bagaimana orang ramai masih memasang pelita, bermain mercun dan sebagainya.
"Di Singapura, sambutannya kurang sentimental, berbanding Malaysia yang suasana kampungnya masih cukup terasa setiap kali tibanya Syawal," kata pelakon ini tatkala ditemui ketika menyerikan majlis mengumumkan siri jelajah Oreo serta pemenang peraduan Oreo Moments di Damansara, baru-baru ini.
Turut diundang memeriahkan acara yang disempurnakan Pengarah Landasan Pertumbuhan, Kraft Foods Asia Pacific Services, Marivic Tiongson itu ialah pelakon dan pengacara Sharifah Shahira bersama keluarga.
Menurut pelakon drama bersiri Kasih Tercipta ini, dia dan keluarganya menyambut Aidilfitri selama beberapa hari di Kota Singa sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Jika berkesempatan, kami berhasrat mengadakan majlis rumah Aidilfitri. Kata orang, seelok-eloknya majlis itu diadakan di kediaman kita sendiri, kerana kedatangan tetamu di rumah membawa rahmat kepada kita sekeluarga," katanya.
Sepanjang Ramadan lalu, Aaron berkata, dia tidak terbabit dengan penggambaran drama atau filem bagi memberikan tumpuan kepada ibadat serta keluarga.
"Maklum saja, tahun lalu saya begitu sibuk dengan pelbagai projek lakonan, berlarutan sehingga pada bulan puasa. Jadi, saya bersyukur apabila jadual kerja tidak begitu ketat sepanjang Ramadan yang lalu. Kalau ada pun hanyalah untuk memenuhi undangan fotografi Hari Raya bersama media massa, serta menghadiri majlis berbuka," kata Aaron yang mengaku diserang gastrik pada awal puasa.
Menurutnya, berkemungkinan besar penyakit itu diakibatkan dia mengambil pelbagai jenis minuman sewaktu berbuka, dua hari sebelumnya.
Aaron juga menjelaskan betapa gementarnya dia apabila dikehendaki menyanyi secara langsung dalam rakaman rancangan Mega Raya Astro yang disiarkan pada 19 September lalu.
"Buat kali pertama, saya dikehendaki menyanyi secara ‘live’ pada rakaman berkenaan. Seganlah pula hendak menolak apabila semua artis wajah eksklusif Astro lain seperti Farid Kamil, Lisa Surihani dan Zoey turut menyanyi. Jika diikutkan hati, memang saya segan sangat, tetapi apabila artis lain melakukannya, takkan saya tiba-tiba mendapat pengecualian pula?
"Jadi, saya yang tidak pernah menyanyi sebelum ini pun cubalah. Saya mendendangkan lagu Balik Kampung dalam rancangan itu, irama segar yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman," katanya apabila menceritakan pengalamannya dalam program itu.
Menyentuh soal lakonan, aktor berusia 33 tahun ini berkata, ketika ini dia masih lagi dalam perbincangan untuk membintangi beberapa filem, masing-masing dalam genre cinta, komedi dan separa komedi.
Sebelum ini, aktor yang mendapat perhatian menerusi siri Emil Emilda itu dapat ditonton lakonannya di layar lebar dalam filem Evolusi KL Drift dan Bohsia. Dia juga membintangi filem komedi arahan Bernard Chauly, Pisau Cukur, yang akan menemui penonton di pawagam pada 5 November. Sebelum itu, Aaron baru menamatkan penggambaran Evolusi KL Drift II (Syamsul Yusof), selain turut menjayakan filem Suaka (Pierre Andre).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: