ANKARA - Petugas-petugas penyelamat di Turki menjerit kesakitan akibat disengat sekawan lebah bertubi-bertubi setelah ia terlepas apabila sebuah van membawa sarang serangga tersebut merempuh sebuah trak kelmarin.
Agensi berita Anatolia melaporkan kira-kira 20 orang terpaksa dikejarkan ke hospital, enam daripada mereka cedera akibat kemalangan manakala selebihnya merupakan mangsa serangan kawanan lebah.
Gabenor tempatan, Ahmet Altiparmak berkata, seorang mangsa meninggal dunia tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mangsa maut disebabkan impak kemalangan atau kerana serangan lebah.
Menurut Anatolia, pasukan penyelamat termasuk sejumlah penternak lebah terpaksa menggunakan pancuran air, selimut dan guni bagi membunuh dan menghalau serangga itu.
Kejadian berlaku apabila van berkenaan melanggar sebuah trak yang berhenti di sebatang jalan raya berdekatan pusat peranginan Marmaris, barat daya Turki.
Nahas itu mencederakan enam orang, empat orang berada di dalam van manakala dua lagi menaiki trak berkenaan.
Pihak berkuasa memanggil sejumlah 50 penternak lebah di sekitarnya bagi membantu menghalau serangga berbisa itu daripada terus menyerang anggota polis, paramedik dan bomba yang berada di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: