Tuesday, September 29, 2009

Multi-perspektif sebuah novel

Di situ dibiarkan naratif menjalar tanpa batas-batas yang ketara




TAHUN 1998, novel Saman menjadi satu penanda aras baru bagi perkembangan sastera, terutama di Indonesia. Pengarangnya, Ayu Utami melalui novel berkenaan telah berjaya menimbulkan semacam satu polemik terhadap penghasilan kerja sastera. Ia menyentuh hal-hal yang sebelum ini menjadi tabu kononnya, kepada khalayak pembaca terutama di rantau ini.

Saman adalah kejayaan yang penting kerana selepasnya lahir pula Larung. Kedua-dua novel ini sebetulnya ialah daripada satu novel yang sama. Menurut Ayu, ketika menulisnya, plot dan watak berkembang sendiri sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menceraikan kedua-duanya menjadikan masing-masing seperti berdiri sendiri.

Larung bermula dengan kegelapan. Dalam bayang-bayang igau seorang realis, ada perencanaan mahu berbunuhan. Ada rasa yang mahu mengikat mati. Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seorang individu yang lain.

Tetapi dalam fikiran menerjah kemungkinan-kemungkinan hitam itu, pertalian paling erat - zuriat daripada satu darah yang bertali-kait antara mereka - menjadi benteng paling membingungkan. Bagaimana mahu mendepani itu? Tambah runsing bila ada suara-suara mendesak dari dalam kotak fikiran dan kehadiran hantu jembalang dalam susuk tubuh yang mengingkari perintah untuk manusia itu mati.

Di tanah yang lain - New York, terhimpun kisah-kisah selingkar seks yang menjadi geromolan empat wanita - Yasmin, Cak, Shakuntala, Laila. Masing-masing dengan keangkuhan, gelisah dan ego tersendiri. Berdirinya tema seks itu bukanlah seperti yang tergambarkan oleh perlakuan fizikalnya, tetapi ia lebih besar maksud dari itu. Ia melekat pada sisi realiti dan permasalahan yang dilalui oleh ramai orang dari mana pelusuk dunia pun. Yang semua manusia tidak boleh berhipokrasi.

Satu potret tergambar pada lingkar itu. New York menjadi medan di mana semua imaginasi liar ini - sekurang-kurangnya liar bagi norma ketimuran - mula bertapak dan dibincangkan oleh watak-wataknya.


NOVEL Saman dan Larung dilihat sebagai satu karya sastera yang segar dan provokatif dalam dunia kesusasteraan Indonesia.


Di situ dibiarkan naratif menjalar tanpa batas-batas yang ketara. Sekali gus memenangkan watak-wataknya dan mungkin menimbul rasa kurang senang. Watak hidup, ceritanya juga terus bercerita.

Ada perempuan yang hadir dalam gugus-gugus perasaan seorang lelaki. Ada seorang isteri yang kini bahagia, masih mampu terkenang kisah-kisah berahi lama dengan lelaki lain yang masih mahu diulangi.

Ada kisah cinta yang cuba menyelam di lubuk paling dalam, tempat di mana kata cinta itu berdiri. Semuanya mahu merungkai satu-satu pengalaman yang mengasyikkan.Tetapi dalam waktu-waktu yang menyeronokkan, ada kalanya menyakitkan, sekali gus meresahkan.

Sehinggalah rantai yang menyatukan mereka semua mula bertemu. Berlatarkan semangat-semangat imbauan kisah lampau, dengan warna-warni Indonesia - Jalan Diponegoro, Jakarta - pada rusuhan tanggal 27 Julai 1996 atau lebih mesra dikenali sebagai "Sabtu Kelabu".

Kemudian, Saman ( antara watak yang disebut) itu banyak mengundang perhatian. Dia diburu pihak berkuasa kerana terlibat dalam usaha-usaha mempengaruhi massa. Dia lari dan turut diburu oleh ingatan kepada Yasmin. Diselamat dan menyelamat. Bermain perasaan dan suara kecil dalam hati yang benar-benar mendorong nafsu dan akal.




Plot-plotnya sehingga ke hujung pengisahan, menjalar tanpa segan-segan. Keliaran imaginasi turut sama berdampingan dengan jalan ceritanya. Dalam senario yang celaru, kisah itu menemukan empat pemuda dalam situasi tegang - dihambat dan dikepung polis.

Panik, lolosan diri dan kemudian seperti menghampiri janji manis malam perawan untuk melangkah kepada sisi bebas. Semua keindahan yang hadir dari dalam bayangan itu bertukar menjadi kusut dengan gejolak rasa yang hangar.

Pertengkaran yang semakin memuncak akhirnya mengundang rasuk sehingga membawa kepada insiden tidak sepatutnya. Seorang ketua polis yang dihumban semula ke dalam sejarah silamnya merelakan emosi memenangi diri. Lalu, satu das tembakan di kepala menghantar mesej sunyi sepi untuk sekalian alam di ceruk itu. Larung berakhir di sana.

* Ayu Utami kini sudah selamat melahirkan 'anak' ketiganya, Bilangan Fu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: