Monday, September 28, 2009

Single pertama uji bakat nyanyian Diana Danielle

Diana Danielle ingin single pertamanya dihasikan secepat mungkin sebelum hujung tahun ini.

PENGLIBATANNYA dalam bidang lakonan telah memberi satu kejayaan buat pelakon muda berusia 18 tahun ini. Namun pelakon jelita yang bernama Diana Danielle ini sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dalam industri hiburan tanah air.

Diana turut terlibat dalam pementasan teater Natrah yang merupakan lakonan pertamanya dalam bidang teater, malah pelakon ini juga pernah menyanyi bersama Imran Ajmain dalam sebuah lagu berjudul 'Hanya Di Radio'.

Diana yang ditemui pada sesi penggambaran selebriti bersama chef pastri Hotel Istana sempena penglibatan hotel tersebut dalam The 3rd Choc Cake Championship, baru-baru ini memberitahu dia kini sedang dalam perbincangan untuk menghasilkan single pertamanya secepat mungkin.

"Sebenarnya sejak dari kecil saya memang minat menyanyi, tetapi saya tidak tahu macam mana saya boleh berada dalam bidang lakonan.

"Pada awalnya saya fikir, jadi pelakon mungkin dapat memudahkan niat saya untuk jadi penyanyi bila dapat kenal ramai orang... tapi lama kelamaan saya rasa seronok pula berlakon.

"Bagaimanapun saya masih lagi dalam perbincangan untuk menghasilkan single pertama saya dan kalau boleh saya nak ianya dihasilkan secepat mungkin sebelum hujung tahun ini.

"Saya berminat untuk menyanyikan lagu yang berentak jazz dan saya bersama pihak yang terlibat akan cuba sesuatu untuk mencari kesesuaian dengan suara saya," kata Diana yang begitu meminati penyanyi Norah Jones.

Diana turut diajukan soalan sama ada dia ingin terus serius di dalam bidang nyanyian dan dia mengatakan ingin menjadikan single pertamanya ini nanti sebagai satu percubaan terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh.

Diana Danielle bergambar pada sesi penggambaran selebriti bersama chef pastri Hotel Istana sempena penglibatan hotel tersebut dalam The 3rd Choc Cake Championship.

"Kalau boleh, saya ingin lihat sambutan dari para peminat terhadap single saya yang akan dikeluarkan nanti terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian. "Saya jadikan single ini satu percubaan buat saya dan jika sambutan yang diterima baik, saya akan mula memikirkan untuk serius dalam bidang nyanyian atau tidak.

"Sebelum itu, saya nak karier saya dalam lakonan lancar terlebih dahulu sebelum saya lompat ke bidang yang lain," jelas Diana yang tidak mahu mengulas lanjut tentang singlenya kerana masih dalam proses perbincangan.

Ditanya mengenai perkembangannya di dalam teater Natrah, Diana mengatakan dia sedang giat membuat kajian terhadap watak Natrah yang dipegangnya dengan membaca buku-buku sejarah menceritakan tentang Natrah.

"Sekarang saya sedang sibuk membuat kajian terhadap watak Natrah kerana bagi saya bukan mudah untuk membawakan watak ini.

"Saya bernasib baik kerana dapat banyak buku-buku tentang Natrah yang mempunyai banyak maklumat dan ada ramai penulis yang sudah menulis tentang Natrah.

"Jadi ini memudahkan saya untuk faham dan mendalami watak Natrah ini," jelasnya yang percaya mampu membawakan watak Natrah setelah mendapat kepercayaan dari pengarah tersohor, Erma Fatima.

Diminta mengulas mengenai sikap Erma Fatima yang tegas dan garang Diana mengatakan dia tidak merasa takut kerana sudah mengenali sikap Erma Fatima dan sudah biasa bekerja di bawah pengarah tersebut.

"Saya tak takut... saya dah lama kenal dengan dia dan nasihat saya kepada sesiapa yang tidak mengenali Erma Fatima, janganlah ambil hati bila dengar apa yang dia kata, tegur atau marah.

"Memang dia agak 'laser' bila berkata-kata... tetapi hati dia baik sangat dan sayapun memang rapat dengan dia jadi tidak ada masalah bekerja dengan dia," kata Diana yang juga merupakan penuntut jurusan biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih ini.

Diana juga akan muncul dalam slot seram di TV3 bermula 1 Oktober nanti dalam drama bersiri 'Gondo Ruwo' yang menampilkannya sebagai pelakon utama.

Dalam drama tersebut Diana memiliki saka keturunan yang membolehkannya membunuh setiap orang dengan hanya berkata-kata sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: