KEJADIAN ini berlaku sehari sebelum kita menyambut hari lebaran. Ketika itu, Cik Normah bersama-sama suami dan teman-teman lama ingin menikmati sahur ketika pulang bercuti berhari raya. Waktu jam di tangan yang baru dibeli Cik Normah menunjukkan pukul 3 pagi. Itupun selepas Cik Normah dan teman mencuci mata di bazar Ramadan yang dibuka hingga lewat pagi.
Lucunya, beberapa kali Cik Normah turun dan naik kereta, lagu yang terpasang di radio ERA ialah lagu Toyol dendangan Aznil Nawawi. Malah, mengikut giliran selepas itu adalah lagu Mila dan Bunga Citra Lestari. Mulanya Cik Normah ingatkan lagu yang didengari itu daripada stesen radio lain, tapi dibelek balik frekuensi yang tertera memang radio ERA.
Bayangkan Cik Normah turun naik kereta dalam dua ke tiga kali hinggalah ke waktu sahur, lagu itu disiarkan berulang kali. Kalau iya pun, sudah diaturkan terlebih dulu, kenapa perlu sampai berulang lagu. Atau barang kali berlaku kesilapan teknikal hingga lagu itu dimainkan banyak kali.
Jangan fikir waktu pagi orang tak dengar radio. Kalau ada jenis manusia yang berjaga malam hingga ke pagi mesti ada di antara mereka yang memilih untuk mendengar radio. Nak dijadikan cerita Cik Normah yang dengar radio, lalu tak salah Cik Normah tegur perkara ini supaya jangan diambil mudah di kemudian hari.
Cik Normah rasa bukan Era saja. Stesen radio lain pun sama juga, memainkan lagu yang sama dalam satu-satu masa. Kadang-kadang Cik Normah fikir stesen radio kita macam sudah kekurangan lagu untuk disiarkan. Itulah, jangan memilih sangat. Ada penyanyi yang buat album dengan memuatkan sampai enam lagu. Kenapa hanya satu lagu saja disiarkan di radio? Kalau tidak boleh disiarkan semua lagu, mungkin ada tiga atau empat lagu boleh dimainkan. Apa salahnya...
Kepada radio Era, janganlah kecil hati dengan teguran ini. Iyerlah, sebelum ini radio Era juga sudah ditegur kerana tidak peka kerana menyiarkan lagu-lagu yang kurang sesuai apabila mendekati waktu sedang dan selepas waktu solat.
Anggaplah teguran macam ini menunjukkan orang seperti Cik Normah menjadikan Era sebagai radio pilihan. Jadi, pada masa sama, pengurusan radio Era pun kenalah hargai dan ambil berat teguran daripada pendengar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: