Monday, September 28, 2009

Erma tak berkenan Umie berlakon


PENGHUJUNG Jun lalu, timbul desas-desus Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur berhasrat mempersembahkan kisah wanita kontroversi, Natrah Maarof dalam naskhah teater.

Ia hasil idea Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berminat membawa kisah benar berkenaan untuk tatapan penonton hari ini.

Namun, belum sempat bertemu Natrah yang menetap di Belanda, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita wanita itu meninggal dunia pada 9 Julai lalu akibat leukemia pada usia 72 tahun.

Mengikut sejarah, Natrah atau nama asal, Bertha Hertogh mencetuskan rusuhan di kalangan masyarakat Islam di Singapura pada 1950 bermula dari hak penjagaan ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad hingga perkahwinan bersama guru, Mansor Adabi, 22.

Ketika itu, Natrah berusia 13 tahun, tetapi mengikut undang-undang Belanda, bapa berhak menentukan kehidupan anak yang masih berusia bawah 16 tahun.

Dari isu hak penjagaan dan perkahwinan, Natrah turut dicabar berkaitan agama dianuti walaupun wanita berkenaan rela hati memeluk Islam.

Akibat isu Natrah, rusuhan tercetus hingga mengorbankan 18 orang manakala 200 orang cendera membabitkan pertempuran dengan tentera dan polis British.

Di sebalik kisah menyayat hati Natrah yang menjadi sejarah, hasrat untuk mementaskan kisah ini dalam versi teater tetap diteruskan.

Ia bakal menjadi kenyataan apabila teater ini dipentaskan di IB pada 17 hingga 25 November depan.

Pengarah teater ini, Erma Fatima berkata watak utama didukung pelakon Diana Danielle manakala Che Aminah dilakonkan Umie Aida dan Mansor dijayakan Remy Ishak.
Katanya, pemilihan ketiga pelakon ini berdasarkan bakat dan atas perbincangan bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

"Sebelum ini, Diana pernah berlakon bersama saya menerusi drama Cinta Bulan & Matahari. Ketika itu, saya melihat dia mempunyai bakat berlakon, tetapi saya belum puas menyaksikan lakonannya secara mendalam.


"Dia seorang pelakon yang bagus dan saya mahu melihat sejauh mana lakonannya boleh pergi.

"Biarpun ini adalah lakon pertamanya di pentas teater, saya tetap yakin dia boleh buat dengan baik.

"Bagi saya, cabaran untuk mengarah teater ini sudah lama saya idam. Biarpun latihan belum bermula, saya tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan teater ini.

"Soal sensitif mungkin timbul pada cerita ini kerana membabitkan agama. Namun, saya tidak mahu teater ini sekadar mengisi agenda persembahan di IB, tetapi ada cerita menarik yang ingin ditonjolkan," katanya.

Erma yang ditemui pada sidang media teater itu di IB, baru-baru ini, juga menyatakan dia hanya bergantung pada bahan yang disediakan bekas wartawan Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob yang banyak melakukan kajian mengenai Natrah.

Berbanding Diana dan Remy yang dipilih kerana keyakinan pada bakat, Erma pula kurang bersetuju apabila adiknya, Umie diberi kepercayaan oleh Juhari untuk berlakon sama.

Katanya, Umie bukan pelakon pilihannya memandangkan watak Che Aminah dianggap membawa tanggungjawab yang berat.

Erma bagaimanapun tidak kisah dengan kontroversi yang akan berlaku hasil pementasan berkenaan.

"Wajah Umie klasik dan lembut, tetapi Che Aminah sangat tegas, bijak dan dihormati ramai. Saya berharap tidak melihat watak Embun dalam diri Umie kali ini.

"Saya tidak mahu teater ini mengisahkan ibu kehilangan anak, tetapi bagaimana kebimbangan umat Islam apabila kehilangan Natrah," katanya.

Diana pula berkata dia teruja untuk membintangi teater ini apatah lagi meraih kepercayaan membawakan watak Natrah. Baginya, pendedahan berkenaan sangat bagus untuk dirinya menyerlah diri sebagai pelakon berbakat.

"Walaupun cabaran kali ini besar, tetapi saya berusaha berikan lakonan terbaik. Sebelum ini saya pernah mendengar cerita mengenai Natrah menerusi akhbar dan buku," katanya.

Umie berkata dia tidak teragak-agak untuk bersetuju berlakon sebaik menerima tawaran kerana meminati kisah sejarah seperti Natrah yang menarik ramai.

Namun, dia akui penghayatan berlakon teater berbeza berbanding drama mahupun filem.

Pernah terbabit menjayakan Lantai T Pinkie (2006) dan Doa Buatmu Palestin pada awal Februari lalu, Umie menyatakan dia tetap mempunyai perasaan gemuruh apabila berlakon teater.

"Berlakon di bawah arahan kakak sendiri sebenarnya memberikan lebih tekanan. Saya tidak kisah dengan tekanan itu kerana saya percaya dia mahukan yang terbaik daripada saya.

"Perbincangan bersama pengarah dan penulis skrip penting agar saya dapat hayati watak ini dengan berkesan. Sama ada watak Che Aminah, Natrah atau Mansor, ketiga watak ini memainkan peranan penting dan memberi kekuatan pada plot cerita yang ingin disampaikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: