Tuesday, September 29, 2009

Gara-gara mercun polis beri amaran pada Lan


lan (kiri) dan Noh menyambut Aidilfitri dengan cara tersendiri.


SETIAP kali tibanya bulan Syawal, pelbagai kenangan pahit dan manis akan terbayang di benak nostalgia bagi yang pernah melalui pengalaman itu kerana kemeriahannya yang disambut setahun sekali.

Bagi Azlan yang kini merupakan penyanyi kumpulan The Typewritter, dia juga pernah melalui pengalaman yang sukar dilupakannya setiap kali tibanya Hari Lebaran ketika merayakan sambutan perayaan tersebut beberapa tahun lalu.

Menurut bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain ini, rumahnya pernah didatangi oleh kereta peronda polis gara-gara menjadi tumpuan ramai kanak-kanak yang datang bermain mercun di situ kerana mahu memeriahkan Aidilfitri.

"Suatu ketika dulu saya menjual mercun macam bunga api dan mercun roket di rumah saya di Hulu Langat, Selangor. Selain itu, rumah saya juga menjadi tempat budak-budak bermain mercun terutamanya pada sebelah malam.

"Apabila mendapati suasana riuh rendah dengan letupan mercun, sebuah kereta peronda polis datang ke rumah saya. Apa lagi, kecut perut saya dibuatnya. Maklumlah menjual mercun secara haram. Tetapi itu cerita lama.

"Sejak tahun lepas saya sudah tidak jual mercun lagi. Saya serik dan takut juga kalau kena tangkap polis walaupun tidak menafikan perniagaan itu memang laris dan menguntungkan," ceritanya kepada Hits sambil ketawa kecil.

Bukan setakat serik, malah sebagai artis yang semakin dikenali ramai serta menjadi ikutan para peminat, menurut Azlan atau Lan dia harus menunjukkan contoh teladan yang baik termasuklah melakukan perkara yang berfaedah.

Antaranya, kata Lan, dia kini banyak memberi tumpuan terhadap pembikinan album sulung The Typewritter yang akan dirakamkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini. Sebelum ini mereka pernah muncul dengan album single berjudul Kelibat Si Penyair.

"Setakat ini 70 peratus persiapan rakaman itu sudah dilakukan di mana saya sudah ada lapan daripada 12 lagu untuk dirakamkan. Kalau tidak ada aral melintang awal tahun depan album itu akan berada di pasaran," ujarnya.

Bercerita tentang raya, pada 1 Syawal lalu, Lan pulang berhari raya di kampung ibunya di Tampoi dan Kota Tinggi, Johor selama tiga hari sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur bagi meneruskan semula aktiviti-aktiviti seninya.

Selain menumpukan perhatian kepada rakaman album sulungnya, Lan juga kini sedang mencari peluang membawa The Typewritter mengadakan persembahan di luar negara terutamanya di United Kingdom (UK).

Kata Lan, dia bukannya mahu meletakkan harapan menggunung tetapi inisiatif dan kejayaan kumpulan seperti Hujan yang mampu mengadakan siri persembahan bergerak di UK dan Indonesia memberi semangat kepadanya.

"Saya ada juga menerima cadangan dan tawaran daripada rakan-rakan di sana. Sebab itu, selain album lagu-lagu Melayu, saya dan The Typewritter juga akan merakamkan beberapa lagu Inggeris untuk memudahkan kami bergerak jauh.

"Ini adalah antara impian saya yang mahu pergi lebih jauh dalam bidang muzik di mana pencapaian itu tidak dapat saya lakukan semasa menganggotai Meet Uncle Hussain dulu," katanya yang menggemari nasi impit dan kuah kacang.

Sempena Hari Raya Aidilfitri ini Lan telah menyediakan duit raya sekitar RM500 untuk diberi kepada kanak-kanak yang datang beraya di rumahnya di mana duit raya antara RM5 hingga RM10 akan diberikan kepada mereka.

Aidilfitri penuh bermakna - Noh

Sementara itu, bagi vokalis kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh atau Noh berkata, Aidilfitri kali ini bukan sahaja memberi seribu satu makna buatnya malah terhadap kumpulannya itu sendiri.

Ini kerana, beberapa minggu sebelum Hari Raya, Hujan telah muncul dengan album terbaru mereka berjudul Mencari Konklusi yang memuatkan tujuh buah lagu.

Mencari Konklusi, kata Noh, amat berbeza daripada album terdahulu Hujan di mana proses rakamannya dijalankan secara lebih profesional.

Tampil dengan lagu-lagu rancak dan agresif, ia memperlihatkan sisi berlainan Hujan yang mahu terus relevan di persada seni tanah air.

"Semua lagu yang dimuatkan dalam Mencari Konklusi adalah lagu-lagu baru. Proses rakamannya telah dijalankan pada Julai lalu.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap album ini amat menggalakkan biarpun ada yang mengkritik album ini lari daripada imej sebenar Hujan.

"Apa pun, Hujan tetap Hujan yang dahulu. Kali ini, Hujan juga tidak menampilkan lagu-lagu cinta dan ia lebih rancak berbanding album sebelumnya,'' kata Noh.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam Mencari Konklusi ialah 2nd Airwave, Obsesi, Mencari Konklusi, Kau Harus Ada, Benci, Romantik dan Sangkar Besi Di Hatiku.

Lagu Mencari Konklusi itu sendiri kini sedang hangat diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.

Menurut Noh, dengan kemunculan Mencari Konklusi yang diterbitkan oleh Noh Phrofile manakala FMC Music Sdn. Bhd., pula bertindak selaku pengedar, Hujan akan terlibat dengan beberapa siri jelajah promosi album itu di seluruh negara bermula 4 Oktober sehingga November ini.

Selain Mencari Konklusi, ujarnya, Hujan menjelang Ramadan lalu mencipta sejarah tersendiri apabila diundang untuk berduet dengan kumpulan nasyid Raihan menerusi lagu berjudul Salam Aidilfitri Ayahanda Dan Bonda.

"Ini merupakan kali pertama Hujan membuka ruang untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan muzik lain.

"Kami sebenarnya membesar dengan lagu-lagu Raihan. Mengikut rancangan, projek ini sepatutnya dilakukan tahun lepas tetapi terpaksa ditunda kerana salah seorang anggota Raihan iaitu Che' Am mengerjakan umrah,'' katanya.

Dalam pada itu, Noh ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitri berkata, seperti biasa, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, dia dan keluarganya akan pulang ke Miri, Sarawak.

Berkumpul dan menemui sanak saudara, jelas Noh, dia akan bercuti sehingga 1 Oktober ini sempena sambutan perayaan tersebut.

"Syukur kerana tahun ini ada rezeki lebih. Noh pun beli dua pasang baju Melayu. Selepas Miri, pada Hari Raya keempat, Noh sekeluarga akan pulang ke Kuching pula.

"Kalau sebut tentang Hari Raya, Noh suka makan Rendang dan Laksa Sarawak,'' katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: