NANA akan pastikan Rayyan terus mendapat kasih sayang daripada Faizal. |
Biarpun lega dan bahagia, Nana tetap rahsia punca cerai
TIDAK ada apa yang perlu dikesalkan bagi penyanyi Siti Nordiana Alias apabila terpaksa bergelar janda muda. Mungkin bagi sesetengah pihak, gelaran itu cukup berat untuk dipikul apatah lagi terpaksa melalui kehidupan sebegitu bersama seorang anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Jika tak dikuatkan iman, pasti berderai air mata apatah lagi melalui saat getir seperti itu ketika umat Islam sedang bergembira menyambut ketibaan Aidilfitri.
Namun benteng kekuatan dirinya cukup kebal. Biarpun hati diulit duka, namun menurut Siti Nordiana atau lebih akrab disapa Nana, dia berjaya mengawal kesedihan. Malah jika ada di antara tetamu yang beraya di kediaman orang tuanya bertanyakan hal perceraian itu, dia begitu terbuka untuk menjelaskannya. Cuma apakah yang menjadi punca perceraian itu, Nana lebih suka membiarkan perkara itu sebagai rahsia peribadinya.
Percaya apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya, Nana berkata apa yang penting ketika ini adalah dia ingin meneruskan kehidupannya seperti biasa dan mahu terus melupakan sejarah lalu. Baginya, apa guna hidup bersama andai di hati sudah hilang perasaan sayang. Pun begitu, menurut Nana, bercerai bukan bererti dia dan bekas suami saling bermusuhan.
Katanya, walaupun antara dia dan bekas suami, Faizal sudah tiada ada kaitan namun dia tidak mahu perceraian itu memberikan kesan negatif kepada anak tunggalnya, Mohammad Rayyan Nakhaie yang kini semakin membesar. Tegas Nana, walau apapun yang terjadi dia akan memastikan anaknya itu tidak terabai serta terus mendapat kasih sayang yang seimbang dari mereka berdua.
Hip: Bagaimana Nana melalui kehidupan sebagai seorang janda di saat Syawal mula menguak tirainya?
NANA dan Faizal rahsiakan punca perceraian. |
Siti Nordiana: Ketika hari raya yang lalu, saya sambut hari raya bersama keluarga di Felda Sendayan di Negeri Sembilan. Alhamdulillah, saya berjaya melalui situasi itu dengan tenang. Ada juga yang datang beraya di rumah keluarga bertanyakan mengenai perceraian yang berlaku dan saya tidak kisah berkongsi perasaan dengan mereka. Saya bersikap terbuka. Buat apa hendak sorok-sorok hal perceraian ini. Cuma apa yang membuatkan kami berpisah, itu biarlah menjadi rahsia antara kami berdua. Tak perlu untuk dihebohkan kerana antara kami berpisah secara baik.
Hip: Maksud Nana, kamu berdua bercerai tanpa kerelaan?
Siti Nordiana: Keputusan bercerai ini kami ambil bersama. Saya sudah rujuk perkara ini kepada kedua-dua ibu bapa kami. Bergaduh kerana ada perasaan tidak puas hati itu adalah perkara biasa dalam rumah tangga. Apabila asyik bertekak dan perasaan sayang semakin luntur, untuk apa kita hidup bersama lagi. Jadi, jalan akhirnya adalah, saya lebih rela berpisah. Sejujurnya saya bahagia dengan keputusan yang saya buat ini. Bukanlah bermakna saya gembira dengan perceraian ini tetapi lebih kepada perasaan lega. Jadi selepas ini saya tak mahu memikirkan perkara lalu. Saya mahu lebih fokus dengan kehidupan serta anak saya, Rayyan.
Hip: Nana tak risau bergelar janda pada usia muda?
Siti Nordiana: Tidak dinafikan, masa mula-mula bergelar janda, memang rasa gusar. Iyalah, orang selalu nampak yang jahat saja pada janda. Tetapi sedikit demi sedikit, saya cuba membiasakan diri. Malas hendak fikir apa yang orang lain akan kata fasal saya. Biarlah mereka hendak kata apa. Janji saya tahu apa yang saya buat. Bagi saya apa yang membuatkan Nana risau ketika ini adalah soal hak penjagaan anak. Perkara ini akan diputuskan mahkamah kelak. Tapi kami memang sudah berbincang soal ini. Saya rasa Faizal tidak ada masalah untuk memberikan hak penjagaan Rayyan pada saya. Walaupun saya mempunyai hak untuk menjaga Rayyan tetapi saya tetap pastikan Faizal juga mempunyai peluang untuk menjaga Rayyan. Memanglah orang kata kalau ibu bapa bercerai, anak-anak menjadi mangsa. Tapi dalam hal ini saya akan pastikan Rayyan tidak terabai dalam soal kasih sayang dan dia juga mempunyai peluang untuk bersama dengan ayahnya. Justeru tidak hairanlah masa hari raya lalu, Rayyan macam biasa saja seolah-olah kedua ibu bapanya masih lagi bersama.
Hip:Apakah akan ada kemungkinan Nana akan rujuk kembali bersama Faizal?
Siti Nordiana: Jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Saya tak mahu mengulas apa-apa. Apa yang boleh saya katakan buat masa ini saya lebih senang bersendirian. Lupakan dulu apa yang sudah berlaku, merawat hati yang luka kemudian barulah fikir soal jodoh. Bukan serik cuma saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah dengan apa yang sudah berlaku.
Hip: Nana akan kembali aktif menyanyi selepas ini?
Siti Nordiana: Walaupun sudah lama tidak merakamkan album iaitu tiga tahun senyap, tapi saya masih lagi aktif menyanyi. Cuma saya jarang keluar di majalah atau surat khabar. Sejak bercerai ini, saya akui rezeki saya semakin bertambah dan undangan nyanyian juga tidak putus-putus. Selain fokus pada pekerjaan tetap, saya juga mahu tumpukan perhatian terhadap pembikinan album yang akan berada di pasaran penghujung tahun ini. Album ini adalah album duet bersama Acik Spin. Kami masih berhutang satu lagi album duet. Saya sudah pun merakamkan beberapa buah lagu dan bakinya akan dibuat tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: