Tuesday, September 29, 2009

Program realiti baru 8TV


LIYANA Jasmay (lima dari kiri) selaku duta Maybelline New York bersama 10 peserta Maybelline New York Simply Fabulous.


SESETENGAH gadis mengimpikan percutian ke New York sambil diberikan wang tunai untuk dibelanjakan di gedung-gedung fesyen terkemuka di sana.

Ada juga yang mengimpikan untuk mendapat akses ke Minggu Fesyen New York sambil menyaksikan koleksi-koleksi terbaru daripada pereka ternama di atas pentas peragaan.

Malah ada juga di antara gadis mengimpikan diberi modal untuk mengusahakan perniagaan butik mereka ataupun untuk menampung perbelanjaan kolej yang mahal dalam bidang rekaan kasut.

Apa jua impian si gadis, Maybelline New York bersama 8TV akan menjadikan impian seseorang menjadi kenyataan dengan kehadiran sebuah program rancangan realiti Maybelline New York Simply Fabulous.

Program realiti online pertama milik 8TV ini yang diacarakan oleh Sarah Lian dan Henry Golding telah mula disiarkan menerusi laman web 8TV iaitu www.8tv.com.my/simplyfabulous bermula 7 september lalu.

Menurut Pengurus Besar Maybelline New York di Malaysia, Kua Theng Hong, Maybelline New York Simply Fabulous merupakan sebuah program realiti khas untuk remaja Malaysia yang moden dan bersemangat mencapai cita-cita mereka.

"Program ini dibuat untuk mencari remaja yang membawa imej Maybelline New York dalam masa yang sama merealisasikan impian mereka dengan hadiah-hadiah yang lumayan.

"Program ini diterbitkan secara online bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikannya berulang kali di samping mensasarkan penonton yang terdiri daripada remaja moden yang sentiasa melayari internet," ujarnya dalam satu sidang media memperkenalkan rancangan ini di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara baru baru ini.

Maybelline New York Simply Fabulous merupakan sebuah program realiti untuk mengubah penampilan diri peserta-pesertanya melalui pelbagai aktiviti dan cabaran tentang kecantikan, fesyen dan juga keyakinan diri.

Program ini disertai oleh 10 orang peserta perempuan yang dipilih melalui sesi uji bakat yang telah menarik perhatian lebih 1,200 orang penyertaan.

Antara cabaran yang mereka perlu hadapi dalam tempoh tiga minggu penggambaran ialah cara mereka berkomunikasi, kreativiti mereka dalam menyolek diri sendiri, memilih pakaian yang sesuai untuk majlis keramaian dengan jumlah wang yang terhad dan kempen mempromosikan diri sendiri.

Rancangan ini mempunyai 18 mini episod selama 5 minit yang disiarkan di dalam laman web 8TV.

Rakyat Malaysia perlu melayari laman web tersebut untuk mengikuti aktiviti harian kesemua peserta.

Malam final bagi program ini akan disiarkan di saluran 8TV dan secara online selama 30 minit pada 18 Oktober ini pukul 10 malam.

Pada peringkat akhir, pemenang akan dipilih menerusi 30% undian secara online dan 70% undian daripada juri.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tajaan percutian ke New York dan juga jemputan ke Minggu Fesyen New York.

Bukan itu sahaja, pemenang juga akan membawa pulang hadiah-hadiah yang lumayan berjumlah RM50,000.

10 orang peserta bertuah yang terpilih ialah Calista Wei Fen Leah Liew, 22; Kimberley Cham Siang Fen, 24; Susilawati Mohd Ariff, 23; Steffanie Vanessa Schubert, 19; Nalinder Manoharan, 22; Preeta Sharenia Nithianantham, 21; Zhareen Anshary, 18; Ng Bei Shan, 22; Nik Syifa Unnur Nik Aziz, 22; dan Nurdiana Ashraf Abu Bakar, 25.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, ini merupakan kali pertama 8TV menghasilkan rancangan realiti secara online dan mereka sangat teruja dengan rancangan ini.

"Kami berharap rakyat Malaysia akan menyukai rancangan ini kerana ia bukan sahaja sebuah program berteraskan tentang kecantikan malah berkenaan keyakinan diri, kreativiti dan semangat berpasukan.

"Kami memerlukan pertolongan rakyat Malaysia untuk menentukan siapakah yang terbaik dan impian siapa yang sepatutnya ditunaikan.

"Undian boleh dilakukan mulai 28 September dari pukul 12 pagi sehingga 13 Oktober pada pukul 12 tengah hari," ujar Kim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: