Mereka bercakap soal keluarga, kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri
KETIGA-tiganya bukan saja popular, malah mereka juga sama cantik. Status sebagai isteri langsung tidak menjejaskan kerjaya Vanidah Imran (Vee), Dynas Mokhtar (Dynas) dan Ning Baizura (Ning). Sebaliknya mereka terus utuh membina kerjaya masing-masing.
Biarpun bergelar selebriti, ketiga-tiganya juga meraikan lebaran sama seperti orang lain. Ditemui ketika majlis memperkenalkan koleksi terbaru Rantaian Kasih Habib, baru-baru ini, mereka rancak bercerita dunia wanita yang berjaya dalam keluarga dan kerjaya.
Ajar anak bersederhana
WALAUPUN dia dan suaminya, Rashidi Ishak atau Shidee bergelar pelakon, namun pasangan ini tidak pernah menabur kemewahan kepada dua cahaya mata mereka Mikail, 8, dan Maryam, 5 tahun.
Ketika keluarga lain sibuk membeli-belah menjelang Syawal baru-baru ini, Vee pula tiada konsep membeli-belah khusus untuk hari raya. Apa saja keperluan yang nampak cantik dan boleh tahan lama, mereka akan membelinya dan ia tidak semestinya menjelang Aidilfitri. Perkara itu sudah diajar kepada anak sejak mereka kecil lagi, mungkin kerana itu, Mikail dan Maryam jarang meminta-minta.
Kata Vee lagi, dia suka ‘mengitar’ semula baju yang dipakai ketika majlis perkahwinan adiknya yang berlangsung baru-baru ini kerana ia dipakai sekali saja, jadi rasanya tidak salah jika digunakan semula.
“Saya memang tidak mengajar anak bermewah-mewah. Selalunya kalau kami ke pusat beli-belah dan mereka mahukan sesuatu, biasanya saya dan Shidee tidak akan terus membelinya. Bagaimanapun, kami bukanlah kejam sangat, sesekali kami cuba juga penuhi permintaan mereka, tetapi tidaklah dibeli terus ketika mereka minta.
“Kami tak mahu Mikail dan Maryam rasa senang sangat, sekali minta terus dapat. Jika saya belikan baju untuk mereka contohnya, saya akan berkata kepada mereka bahawa baju ini bukan untuk hari tertentu saja, malah boleh dipakai pada hari lain juga, selain raya.
“Mereka sudah faham dengan perangai saya, jadi mereka takut nak meminta-minta bila kami keluar ke pusat beli-belah. Mereka tahu yang ibu mereka ini garang jadi mereka tidaklah buat perangai,” kata Vee yang meraikan Aidilfitri di Taman Maluri dan Ipoh di sebelah keluarga suaminya.
Vee sekeluarga pulang ke kampung halaman Shidee pada hari raya kedua dan ketiga lalu. Disebabkan kedua-dua anaknya dibesarkan di bandar, memang mereka pernah menunjukkan sedikit kejanggalan ketika pulang ke kampung berhari raya buat kali pertama. Namun kini Mikail dan Maryam sudah dapat menerima cara hidup di kampung.
“Ketika kali pertama menjejakkan kaki di kampung, Maryam ada menunjukkan rasa janggalnya. Tapi saya beritahu dia, jika tak selesa jangan sesekali tunjukkan. Kalau ada apa-apa ,dia kena beritahu saya kerana saya tidak mahu tindakannya itu mengecilkan hati saudara mara,” kata Vee yang terbabit dengan latihan Cuci The Musical.
Anggap pemergian satu hikmah
AGAK berat untuk bertanyakan perasaannya menjelang, maklumlah sepatutnya Aidilfitri ini, dia gembira menyambutnya bersama suami tercinta dan cahaya mata sulung. Namun ternyata Tuhan lebih menyayangi apabila, bayi yang diberi nama Emma Malissa meninggal dunia di dalam perut pada April lalu ketika kandungan Dynas berusia tujuh bulan.
Pelakon yang nama sebenarnya Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar, bagaimanapun ternyata bersikap terbuka untuk menceritakan perasaannya. Dynas percaya, ada hikmah di balik dugaan yang menimpanya itu, dan memikirkan itu membuatkan dia menjadi kuat.
“Siapa yang tak sedih kehilangan anak, tapi bagi saya kenapa perlu bersedih lama-lama. Saya tahu tentu ada hikmah kenapa Tuhan mengambil anak saya, lagi pun saya masih muda dan percaya masih ada lagi peluang untuk menimang cahaya mata.
“Memang tak dinafikan apabila raya tentulah sunyi, tetapi mujur ada anak saudara. Kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan. Saya pun tak mahu terlalu memikirkan sangat hal itu. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada kerja,” katanya yang beraya di rumah mentua di Pantai Hill Park, Kuala Lumpur sebelum ke Bentong, Pahang dan Tapah, Perak untuk menziarah sanak saudara di sana.
Bercakap mengenai Aidilfitri, Dynas berkata, sejak mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafizy Mohd Hafiz kira-kira dua tahun lalu, barulah dia mula membuat persiapan sendiri, terutama untuk pakaiannya sendiri.
“Jika tidak, sebelum ini saya hanya berkongsi baju dengan emak. Malah emak juga sengaja menempah baju yang sesuai dengan tubuh badan anak-anaknya supaya mereka juga boleh memakainya.
“Apabila sudah berkahwin, barulah saya menempah sendiri baju-baju raya agar dapat dipakai sedondon dengan suami. Walaupun begitu, saya tetap bersederhana dan sentiasa memastikan tidak berbelanja berlebihan,” katanya.
Tiada dilema balik raya
KALAU pasangan lain pening memikirkan giliran balik raya, sudah tentu penyanyi bervokal lantang Ning Baizura tidak menghadapi masalah itu kerana bersuamikan jejaka mat salih. Biarpun bersuamikan jejaka asing, Aidilfitri bagi Ning Baizura tetap meriah sekalipun ia hanya diraikan di Kuala Lumpur.
Malah suaminya itu adalah orang yang paling tidak sabar menantikan kehadiran Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Kata Ning, setiap kali apabila menjelangnya raya, Omar mula tidak sabar menikmati juadah raya. Mujur suaminya itu bukanlah orang yang cerewet dan makanan yang menjadi kegemarannya ialah sate, lontong, rendang tok, kari ayam dan lemang.
“Suami Ning tiada masalah dari segi makanan, benda yang dia tahu dia akan makan, tetapi jika dia tidak biasa, Omar tidak akan mengusiknya. Biasanya pada hari raya, Ning pulang ke rumah bapa di Shah Alam, dekat situlah kami boleh makan pelbagai juadah raya yang disediakan oleh ibu tiri.
“Oleh kerana Ning tidak ada kampung, jadi Omar belum pernah merasai suasana beraya di kampung. Ning memang teringin sangat bawa Omar ke kampung, insya-Allah satu hari nanti Ning akan cuba juga membawanya supaya dia dapat merasai cara hidup di desa.
“Dari segi masalah giliran pulang raya Ning tidak ada kerisauan langsung. Hari raya tumpuan Ning adalah kepada keluarga Ning, sementara apabila Krismas pula tumpuan kepada keluarga Omar pula,” kata Ning.
Bagaimanapun, tahun ini, ketika ini, Ning dan Omar mungkin masih bercuti di Bali kerana sejak hari raya ketiga lagi mereka sudah ke sana. Percutian ke Bali kata Ning menjadi aktiviti wajib dia dan Omar setiap tahun untuk mengembalikan memori perkenalan mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: