Wednesday, September 30, 2009

Bakat seni Ellie Yong

Meskipun masih muda, Ellie Yong memiliki kebolehan melukis yang luar biasa. Hasil seni remaja perempuan yang berumur 16 tahun itu juga kerap menjuarai pertandingan bertaraf antarabangsa.




MEMANG mengujakan apabila dapat bertentang mata dengan pelakon popular Hollywood, Harrison Ford yang membawakan watak Indiana Jones di pusat beli-belah Cineleisure, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bergaya dengan penuh karisma, Ford, 57, kelihatan jauh lebih muda berbanding usia sebenarnya.

Selain Ford, pengunjung juga tidak melepaskan peluang lihat secara dekat pemain bola sepak Britain yang menjadi kegilaan ramai, David Beckham yang juga kebetulan turut berada di situ.

Ruang legar tingkat bawah pusat beli-belah itu sesak dengan orang ramai yang berkerumun untuk melihat dua figura hebat itu dari dekat.

Namun, pertemuan dengan dua orang figura itu hanyalah menerusi kepingan kanvas yang merupakan sebahagian daripada hasil karya pelukis muda, Ellie Yong, 16.

Lebih menakjubkan, remaja semuda itu mampu menghasilkan lukisan potret yang cukup hidup.

Ellie memang tidak ada dalam senarai pelukis bertaraf antarabangsa.

Namun, kemahiran gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Jalan Gasing, Petaling Jaya itu dalam menghasilkan lukisan realistik tidak harus dipandang sebelah mata.

Turut menarik perhatian pengunjung di situ ialah lakaran seekor kuda sedang berlari dan pemandangan padang golf yang luas dengan seorang pemain sedang beraksi.

Ketika kunjungan Kosmo!, Ellie yang sedang duduk di salah satu sudut pameran tekun meneliti gambar Micheal Jackson di sebelah tangan kirinya.

Kebolehan

Tangannya pantas mencapai berus dan warna melukis wajah Raja Pop dunia itu. Orang ramai yang memerhati gadis berkaca mata itu terpegun dengan kebolehannya.

Kepakaran Ellie mengeksploitasi sudut perspektif nyata membuatkan imej yang dilakarnya begitu memukau.


WATAK manusia sering menjadi sumber ilham Ellie.


Mungkin kerana itu, tidak hairanlah Ellie kerap kali menang dalam pertandingan yang disertainya. Antara pertandingan yang dimenangi Ellie ialah Sarawak My Paradise Painting Competition untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2006 dan 2007.

Dia juga pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Lions Clubs International Peace Poster Contest (Malaysia-Singapura-Brunei district) pada tahun yang sama serta anugerah kecemerlangan dalam pertandingan Lion Clubs International Peace Poster Contest di peringkat antarabangsa.

Dia juga merupakan pemenang tempat pertama Pertandingan National Global Art 2007.

Illustrasi hidup

Ilustrasi wajah dan potretnya seakan-akan hidup tatkala mata dan tangannya berhubung dengan berus, warna, kertas lukisan serta sekeping gambar sebagai panduan.

Bagaimana Ellie melakukannya? Jawab Ellie : "Saya lukis berdasarkan apa yang saya amati. Sama ada karakter itu sedang menangis, menjerit, marah, takut dan sebagainya."

Ellie mengakui paling menggemari melukis figura manusia.


ELLIE pernah mendapat anugerah kecemerlangan di peringkat anatarabangsa.


Dia hanya memerlukan masa selama tiga minggu sahaja untuk menyiapkan lukisan figura yang sukar.

"Untuk permulaan, saya akan melakar dahulu karakter tersebut berpandukan gambar selama satu atau dua jam.

"Selepas itu, baru proses mewarna dilakukan. Proses mewarna memerlukan masa yang agak lama kerana ia memerlukan teknik dan ketelitian yang tinggi agar nampak seperti gambar sebenar," katanya yang telah melukis melebihi 100 keping lukisan.

Ellie kelihatan sibuk dan begitu asyik menyiapkan lukisannya. Ketekunan Ellie membuatkan penulis mendekati ibunya untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.


ELLIE mampu menghasilkan lukisan yang kelihatan hidup.


Ellie disifatkan oleh ibunya, Connie Leong, sebagai seorang yang sangat pendiam dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan sesebuah lukisan.

Malah, kadangkala masa yang diambil boleh mencecah selama beberapa hari.

Leong bagaimanapun memberitahu, bakat anak sulungnya itu tidak diwarisi daripadanya atau suami.

"Mungkin bakat melukis Ellie diperoleh daripada ibu saudaranya yang pandai melukis. Adik-adiknya juga tidak begitu mahir melukis," jelasnya.

Sekolah seni

Sedar akan bakat yang ada pada Ellie dan enggan mempersiakannya, Leong menghantar anaknya ke sekolah seni.

"Semasa berjalan-jalan di Bangsar, saya ternampak sekolah seni My Favorite Art House (My FAH). Sejak itu, saya berhasrat untuk mendaftarkan Ellie.

"Biar dia tahu dengan lebih mendalam mengenai teknik melukis, membuat pembayang, mewarna atau sebagainya untuk menghasilkan lukisan yang hebat," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Kini, selepas lima tahun belajar di My FAH kebolehan Ellie melakar potret amat mempesonakan.


ELLIE telah melukis melebihi 100 keping lukisan setakat ini.


Malah, apabila sesekali bertukar genre melakar flora dan fauna karyanya mengujakan setiap mata yang memandang.

"Watak manusia sering menjadi sumber ilhamnya. Selain itu, Ellie juga pandai melukis flora dan fauna, selain pemandangan alam sekitar atau bangunan," tambah Leong sambil memberitahu Ellie seorang yang tidak jemu-jemu mempertingkat dan mempelbagaikan teknik kemahiran melukisnya.

Melukis sejak usia tiga tahun, Ellie pada awalnya menggunakan warna pensil dan krayon.

Namun seiring peningkatan usianya dia beralih kepada medium lukisan yang lebih luas iaitu warna cat air, kapur dan sebagainya.

Kini, Ellie mahir melukis menggunakan komputer. Kepelbagaian perisian berkaitan lukisan memudahkan Ellie untuk mempelbagaikan teknik lukisannya termasuklah kemahiran menyelesaikan sesuatu lukisan dalam masa yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: