AGENDA tahun 2009 ini bukanlah untuk menimang cahaya mata bagi aktres cantik Emelda Rosmila Abdul Hamid namun dia tidak menolak takdir andai rezeki anak itu tiba lebih awal.
Selepas diijabkabulkan pada 23 Mei lalu, isteri kepada pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramli ini belum menunjukkan tanda-tanda hamil sekaligus menafikan dakwaan yang menyangka wanita mesra dengan panggilan Mel ini telah hamil.
Emelda yang ceria dihujung talian berkata: “Tunggulah dulu..lagi dua tahun baru saya bersedia dan merancang untuk menimang cahaya mata.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki...sekarang saya pula sibuk dengan lakonan kerana tahun 2009 ini jadual kerja saya memang penuh.”
Jelas Emelda, selepas berkahwin aktiviti hariannya lebih sibuk berbanding sebelumnya sehingga nak buat sesi fotografi pun tak sempat.
“Mungkin sebab tu orang tak tau tentang cerita terbaru saya kerana jadual saya memang sangat padat.
“Sekarang saya terlibat dengan pengambaran drama bersiri 25 episod ‘Nigina’ untuk slot Samarenda untuk TV3 dan drama bersiri 26 episod ‘Jongkang Jongkit’ yang telah pun disiarkan di Astro Warna pada setiap hari Jumaat.
“Selain itu, drama bersiri 26 episod ‘Labu Labi’. Cerita ini dibuat hasil telefilem ‘Nasib Si Labu Labi’ yang pernah disiarkan di Astro sebelum ini.
“Pengambarannya telah selesai separuh semasa bulan puasa lalu dan akan disambung selepas November nanti.
“Saya juga berlakon dalam drama bersiri 13 episod ‘Jodoh.Com.My’ untuk siaran Astro,” ujarnya yang turut puas menjawab pertanyaan orang lain tentang anak.
Kata Emelda, sudah menjadi adat, kalau sebelum kahwin orang akan sibuk tanya tentang bila nak kahwin tetapi selepas kahwin orang akan tanya tentang anak pula.
“Perasaan saya berbelah bagi samada hendak ada anak atau tidak. Kalau dah ada anak, komitmen saya akan berubah.
“Sekarang saya mahu kumpul duit dulu untuk masa depan. Apabila sampai sasarannya dan kalau saya ada anak, saya akan fikirkan untuk berehat selama dua tahun.
“Saya ni bukannya jenis tahan bercuti panjang dan paling lama pun dalam seminggu hingga dua minggu sahaja sebab saya tak tau nak buat apa,” tutur pelakon popular menerusi drama bersiri ‘Manjalara’ ini.
Luah adik kepada pelakon Emylia Rosnaida ini, dia akan pastikan membuat keputusan yang tepat selepas mempunyai cahaya mata tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu meninggalkan terus dunia lakonan ini.
“Kalau boleh saya tak nak berhenti berlakon sebab ini kerja saya..,” ujarnya yang akan memasak lauk kegemaran suaminya apabila ada masa terluang.
Emelda berkata Adlin suka makan di rumah dan suaminya akan menjemput rakan-rakannya sekali untuk bertandang ke rumah.
“Dia suka makan asam pedas dan gulai lemak cili api,” katanya ringkas yang menyambut Hari Raya pertama di kampungnya di Ipoh, Perak bersama suami dan keluarganya.
Sambutan raya kali ini memberikan sedikit kelainan kepada Emelda memandangkan dia beraya sebagai seorang isteri.
“Tahun ni balik kampung saya dan tahun depan saya dan suami akan beraya di kampung dia pula. Tetapi kami tetap akan balik kampung saya.
“Raya tahun ni lebih meriah kerana semua adik-beradik dan saudara-mara turun Ipoh. Kak Emylia dan abang ipar saya, AC Mizal pun ada. Kami buat rumah terbuka secara besar-besaran,” ujarnya yang mengambil masa seminggu untuk pulang bercuti raya.
Tak masuk campur masalah Faizal-Nana
Seperti yang diketahui Emelda berkawan baik dengan pelakon Faizal Yusup yang telah bercerai dengan penyanyi Siti Nordiana pada 14 September lalu.
Hubungan persahabatan antara Emelda dan Faizal terjalin memandangkan mereka pernah bergandingan dalam beberapa drama seperti ‘Manjalara’ dan terbaru ‘Jongkang Jongkit’.
Walaupun begitu, tidak bermakna Faizal dan Emelda akan berkongsi masalah antara satu sama lain.
“Saya tak ‘interfere’ dengan masalah dia. Setakat ini dah lama saya tak jumpa dia dan saya tak nak kacau isu dia.
“Sebelum ini kami banyak berjumpa di lokasi pengambaran. Saya terkejut juga apabila mendengar isu tu tapi itulah rumah tangga dia,” akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: