Monday, September 28, 2009

Erema tak lupa jasa Seri Bayu


LUMRAH kehidupan bergelar artis dikongsi bersama peminat. Biarpun ada segelintir artis resah apabila kisah peribadi jadi bualan peminat sebaliknya artis perlu sedar dengan status sebagai personaliti tumpuan ramai.

Di sebalik gosip artis yang cuba menyembunyikan perkara sebenar, cerita perceraian turut menarik perhatian meluas media. Sama ada persada hiburan antarabangsa seperti Hollywood mahupun skop artis tempatan, kisah artis bercerai dianggap perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan glamor ini.

Bagi penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau lebih dikenali Erema, pengalaman hidup yang dilalui sejak hampir empat tahun lalu menjadi artis banyak mengajar dirinya cekal menempuh cabaran mendatang. Berbanding populariti lagu Pelita Di Bawah Purnama yang mengangkat namanya tiga tahun lalu, Erema kini dihimpit dengan kisah rumah tangga yang pernah dibina bersama komposer Jamaluddin Sulik atau Seri Bayu.

Sebelum ini, Erema mengejutkan peminatnya apabila memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya. Kes itu yang dibicara di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor pada awal Julai lalu akan disebut semula pada 13 Oktober nanti. Biarpun pahit untuk ditelan apa yang berlaku, Erema berusaha berdepan realiti.

"Pada mula memang saya tertekan bila kes cerai kami diperkatakan ramai. Ke mana saya pergi, orang akan bertanya soalan yang sama dan mahu ambil tahu cerita sebenar yang berlaku dalam rumah tangga saya.

"Walaupun hampir setahun saya tidak bertemu media untuk bercerita perkembangan terbaru tetapi masih ada peminat yang kenal dan menyapa. Biar apapun tanggapan peminat, saya tetap positif dan terbuka dalam menghadapi situasi ini.

"Biarlah saya sendiri dengan dia (suami) tahu cerita sebenar. Buat masa ini, saya lebih senang berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan yang memburukkan orang lain," katanya.

Menyingkap kehidupan silam yang dilalui sebelum ini, Erema menyatakan dia banyak berkorban untuk menjaga suami yang mengidap penyakit saraf, `motoneuron' yang mengakibatkan pesakit tidak mampu berjalan dan bercakap dengan lancar.

Katanya, dia tidak menyesal ketika mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu dan membuktikan kuasa cinta akhirnya menyatukan mereka sebagai suami isteri sejak tiga tahun lalu. Sungguhpun Erema mengambil keputusan untuk bercerai, dia tidak melupakan jasa suaminya yang membantu membina karier nyanyiannya dari peringkat awal.

"Terima kasih pada dia kerana membantu saya membina nama sebagai penyanyi. Dia banyak beri tunjuk ajar daripada mula hingga kini.

"Saya fikir apa yang berlaku antara kami mempunyai hikmah bila saya belajar berdikari. Meskipun tiada album baru, saya masih mampu meneruskan hidup hasil pendapatan daripada jemputan persembahan pentas di hotel dan kelab malam.

"Sejak kembali solo, saya banyak meluangkan masa bersama keluarga yang tinggal di Kuching, Sarawak. Di sana, saya dapat tenangkan fikiran.


"Orang lain berhak bercakap mengenai kisah rumah tangga saya, tetapi harap jangan terlalu cepat menilai seseorang menerusi kenyataan sebelah pihak. Saya bukan individu yang suka memperbesarkan perkara remeh-temeh dalam rumah tangga tetapi saya kecewa bila dia beri kenyataan memburukkan diri saya.

"Boleh dikatakan saya ambil masa lama untuk tenangkan diri dan keluarga saya di kampung menjadi pengubat diri. Sesiapa saja tidak sangka rumah tangga seperti saya jadi begini hinggakan keluarga sendiri dan mentua juga tidak tahu cerita sebenar.

"Pada mula, mereka terkejut bila tahu saya ambil keputusan berani ini. Namun, ini adalah keputusan saya tanpa dipengaruhi orang lain.

"Mungkin orang lain fikir saya kejam pada suami tetapi saya harus menerima takdir Tuhan, perjalanan rumah tangga saya sampai di sini," katanya.

Dalam membina kehidupan baru, Erema menyatakan dia tidak takut untuk bertemu jodoh semula selepas ini sebaliknya dia lebih memikirkan pengorbanan yang dilakukan sebagai isteri agar dihargai. Bagaimanapun, selepas melalui pengalaman gagal dalam perkahwinan pertama ini, dia mahu memberi fokus pada karier nyanyian semula.

"Saya masih bersemangat untuk menyanyi semula dan rindu untuk aktif seperti dulu. Sebelum ini, ramai juga rakan dan peminat bertanya bila album baru saya mahu diterbitkan.

"Buat masa ini, saya masih dalam proses mencari lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album kedua saya yang dijangka muncul pada tahun depan. Saya perlu teliti memilih lagu yang sesuai dengan kemampuan vokal saya.

"Walaupun jadual nyanyian tidak sibuk tetapi saya masih boleh menampung diri sendiri daripada pendapatan jemputan persembahan yang saya terima," katanya.

Bercerita pengalaman sempena Aidilfitri, Erema mengakui suasana di kampung lebih meriah apabila anggota keluarga berkumpul sama. Katanya, dia bersama empat beradik lain berkumpul dan memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa.

"Selalunya perasaan sedih terasa bila mendengar takbir Aidilfitri sebab beberapa tahun lalu saya tidak berpeluang pulang beraya di kampung. Tentunya kali ini Aidilfitri cukup bermakna buat saya bila beraya bersama anggota keluarga.

"Biasanya ibu masak rendang ayam yang menjadi juadah istimewa. Saya gemar makan lemang, ayam masak merah, ketupat dan serunding daging.

"Bila cerita mengenai Aidilfitri, teringat pula kenangan zaman kanak-kanak bila seronok bermain mercun. Untuk Aidilfitri kali ini, saya menghabiskan masa lebih dua minggu bersama mereka," katanya.


PROFIL
NAMA: Dayang Zaira Erema Awang Moshdad
NAMA KOMERSIAL: Erema
TARIKH LAHIR: 28 September 1983
UMUR: 25 tahun
ASAL: Kuching, Sarawak
ALBUM: EREMA - Pelita Di Bawah Purnama (2006)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: