Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) mensasarkan pengeluaran pembiayaan peribadi di antara RM1.6 bilion hingga RM2 bilion sebulan menerusi kempen ‘Langgan dan Menang Pembiayaan-I, 1 Malaysia 1 Aslah’.
Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, mereka optimis untuk mencapai sasaran minimum RM1.6 bilion berdasarkan purata pengeluaran pembiayaan yang diperoleh melalui beberapa jenis produk pembiayaan peribadi-i Aslah.
“Sebelum pelancaran kempen ini, kami mencatatkan purata pembayaran sebanyak RM1.6 bilion sebulan bagi kebanyakan produk pembiayaan-i Aslah.
“Kempen ini diharap akan dapat meningkatkan jumlah pengeluaran pembiayaan peribadi bagi produk terbabit,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut bersempena ulang tahun Bank Rakyat ke 55 di Kuala Lumpur, semalam.
Kempen ‘Langgan dan Menang Pembiayaan Peribadi – I 1 Malaysia 1 Aslah’ menawarkan kadar keuntungan serendah 3.25 peratus bagi pelanggan yang menggunakan produk pembiayaan peribadi itu.
Pelanggan berpeluang memenangi 55 hadiah setiap bulan menerusi kempen yang akan bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember tahun ini.
Hadiah yang ditawarkan adalah seperti televisyen 40 inci berserta teater rumah, kamera video, komputer riba, kamera digital, di samping hadiah utama kereta Proton Exora.
Sementara itu, Bank Rakyat optimis mencapai sasaran keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.3 bilion menjelang hujung tahun ini berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM1.23 bilion.
“Kami berada pada landasan yang baik bagi mencapai sasaran itu berdasarkan prestasi kewangan separuh pertama tahun ini yang mana Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM668.5 juta,” kata Kamaruzaman.
Beliau menambah keyakinan Bank Rakyat juga berdasarkan nilai aset kewangan yang bertambah 20 peratus setahun di samping pengeluaran dalam bentuk pinjaman yang dijangka akan melebihi RM20 bilion menjelang hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: