Tuesday, September 29, 2009

"Arwah anak yang pemaaf, baik hati"



Pelakon veteran wanita yang sinonim dengan watak komedi, Norlia Ghani berasa amat terkilan kerana tidak berpeluang untuk berjumpa buat kali terakhir dengan arwah anaknya, Edi Rizal Ramli, 33, yang meninggal dunia ketika cuba untuk menangkap pencuri di pangsapuri kediaman mereka.

Menurut Norlia, arwah dan abangnya, Romiza Ramli, 36, memang tinggal bersamanya di pangsapuri Pangsa Murni, Jalan Gurney memandangkan kedua-dua anaknya itu masih lagi belum mendirikan rumah tangga.

Tambahnya lagi, pada hari kejadian, beliau tidak berjumpa dengan arwah anaknya itu kerana berada di rumah anak perempuannya di Ampang.

“Sehari sebelum kejadian saya ada berjumpa dengan arwah. Arwah memang tak ada menunjukkan sebarang perubahan sikap. Arwah memang seorang yang manja dan begitu mengambil berat mengenai kesihatan saya.

“Dia memang suka mencium saya dan memang selalu minta maaf. Kadang-kadang tu dia akan tidur dengan saya. Dia memang anak yang manja. Saya anggap perkara itu biasa saja, tak ada perbezaan pun. Tak sangka arwah akan pergi selama-lamanya,” jelas Norlia dalam keadaan hiba.

Adik kepada pelakon popular Rusdi Ramli itu dianggap seorang yang baik hati dan pemaaf di kalangan rakan-rakannya. Norlia memberitahu, arwah seorang yang cukup mudah untuk meminta maaf dan mudah memaafkan kesilapan seseorang.

Pada Ahad lepas, Edi maut setelah terjatuh daripada tingkat tujuh pangsapuri kediamannya ketika cuba untuk memberkas seorang pencuri yang dipercayai sedang bersembunyi di sebuah rumah di tingkat tersebut.

Edi cuba untuk memasuki rumah tersebut melalui balkoni setelah mendapati pintu hadapan rumah tersebut berkunci dari dalam. Malangnya, niat sucinya tidak kesampaian apabila beliau tergelincir lalu terjatuh sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: