Diana Danielle |
Erma cabar kemampuan pelakon muda dalam pementasan pada November nanti
ERMA Fatimah mengesahkan Dania Danielle adalah calon paling sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai Nadra Maarof dalam teater arahannya berjudul Natrah yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama sembilan hari bermula 17 November depan.
Katanya, beliau yang pernah berkerja dengan pelakon itu menerusi drama Cinta Bulan & Matahari menyedari potensi Diana untuk pergi jauh dalam dunia lakonan.
“Dia boleh berlakon dan dia bagus. Saya pernah mengarah Diana dalam sebuah drama dan pernah juga menonton beberapa program televisyen membabitkan dirinya. Dari situ saya melihat bakatnya boleh dikembangkan dan saya mengambil kesempatan dalam teater Natrah ini untuk melihat sampai mana tahap dia.
“Apakah dia akan menjadi pelakon yang sangat hebat atau tidak. Bagaimanapun, saya yakin dia boleh buat,” katanya yang sudah lama mengidamkan untuk mengarahkan kisah mengenai Natrah.
Bagaimanapun kata Erma, apa yang ingin ditonjolkan dalam pementasan itu bukan kisah klise mengenai kesedihan ibu yang kehilangan anak sebaliknya ingin tonjolkan kesakitan serta kebangkitan orang Islam dengan kehilangan Natrah.
Skrip teater yang berdurasi selama satu jam 45 minit itu adalah nukilan Al Jefrey yang pernah menghasilkan skrip untuk teater muzikal P Ramlee dan juga filem Dukun.
Oleh kerana kisah Natrah pernah mencetuskan rusuhan dan dianggap sebagai isu sensitif, skrip pementasan itu akan diolah dengan lembut supaya tidak timbul lagi sebarang kontroversi. Erma yang pernah mendapat jolokan pengarah kontroversi, berkata, dirinya sudah tidak larat berdepan kontroversi justeru perlu bijak mengolah kisah berkenaan.
Selain Diana, turut beraksi dalam teater mengenai wanita yang nama asalnya Bertha Hertogh yang pernah mencetuskan Rusuhan Natrah di Singapura pada 1950 ialah Umie Aida, memegang watak ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamad serta jejaka yang semakin mendapat perhatian dalam dunia lakonan, Remy Ishak yang diberi kepercayaan membawakan watak suami Natrah, Cikgu Mansor Adabi.
Setakat ini, hanya tiga pelakon utama saja yang dipilih oleh Erma dan IB, manakala barisan pelakon lain masih lagi dalam pencarian.
Kena bijak atur masa
Bergelar penuntut di Universiti Nottingham dan pada waktu sama menjadi pelakon menyebabkan Diana Danielle perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan juga pelajaran. Dia yang diberi kepercayaan oleh Erma untuk membawakan watak Natrah berkata, tidak berdepan masalah untuk mencari ruang menjalani latihan kerana ia akan diadakan pada sebelah malam.
Menurut gadis ini lagi, walaupun dibebani dengan tanggungjawabnya sebagai mahasiswa, dia tidak sanggup melepaskan kerjaya dalam bidang lakonan memandangkan rezekinya sekarang sedang murah apatah lagi dia menceburi bidang itu kerana minat.
“Kalau ada perkara yang kita suka kenapa perlu kita lepaskan. Saya tiada masalah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan latihan sebagai persiapan untuk pementasan ini kerana pihak produksi memahami status saya sebagai pelajar. Erma pun ada beritahu latihan tidak akan dibuat hingga pagi.
“Bagaimanapun sebelum menerima tawaran Erma, saya mengaku mengambil sedikit masa mempertimbangkan untuk menerima tawaran ini memandangkan ini pertama kali saya berlakon teater. Lagipun saya melihat peluang ini sesuatu yang bagus jadi kenapa perlu saya menolaknya.
“Saya tahu kisah Natrah tetapi tidaklah secara mendalam tetapi saya dan Remy Ishak sudah berjanji akan membuat kajian mengenai kisah ini bersama-sama. Ibu saudara turut membantu meminjamkan buku mengenai kisah Natrah kepada saya yang boleh dijadikan rujukan,” katanya yang mengakui gementar kerana kali pertama bakal beraksi di pentas teater.
Sementara itu, Umie Aida menegaskan pemilihannya sebagai antara pelakon utama dalam teater itu bukan disebabkan kakaknya, Erma sebagai pengarah, sebaliknya, pelawaan itu dibuat sendiri oleh Pengarah IB sendiri, Mohamed Juhari Shaarani.
“Saya sukakan benda yang mencabar lebih-lebih lagi berkaitan sejarah. Saya percaya pementasan ini menarik, kerana itu saya tidak fikir panjang untuk menerima tawaran daripada Juhari. Sudah beberapa kali Juhari undang saya untuk pementasan di IB tetapi masalah masa menyebabkan saya terpaksa menolak tetapi kali ini apabila mengenai Natrah, saya memang tidak dapat nak tolak.
“Buat masa ini saya masih belum menerima skrip pementasan ini, jadi saya masih belum dapat membuat kajian mengenai Natrah. Kajian yang akan saya lakukan nanti mungkin lebih kepada karakter peribadi Che Aminah, bagi mendapatkan karakter itu saya harus berbincang dengan pengarah dan penulis apa yang mereka mahukan,” katanya yang tidak menghadapi masalah bergandingan dengan Diana Danielle.
Biarpun sudah berpuluh tahun terbabit dalam lakonan, Umie berkata lakonan di televisyen dan teater mempunyai perbezaan yang besar. Justeru, dia amat gementar untuk muncul di pentas teater memandangkan sudah lama meninggalkan pentas itu kira-kira empat hingga lima tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: