Wednesday, September 30, 2009

Vietnam masih dicemari dioksin

Kerajaan AS dan Vietnam kini bekerjasama melaksanakan projek pembersihan lapangan terbang Danang kerana lokasi tersebut disifatkan paling tercemar dengan racun perosak.


NGUYEN QUANG HOA (bawah) yang mengalami kecacatan akibat Agen Oren melakukan aksi seni mempertahankan diri di Perkampungan Persahabatan, Hanoi.


MAI Khai gembira dengan tanaman ubi kentang dan buah tembikai yang diusahakannya berlatar belakang sebuah dinding bata. Dinding itu mengelilingi sebuah bekas lapangan terbang milik kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Danang yang masih disifatkan sebagai lokasi paling tercemar.

Sudah hampir empat dekad berlalu selepas insiden penyemburan Agen Oren dan racun perosak yang lain dihentikan di situ oleh pasukan tentera AS. Racun-racun perosak tersebut mengandungi bahan penyebab kanser dan dioksin. Kini, kerajaan AS dan Vietnam bekerjasama melaksanakan projek pembersihan peringkat awal di Lapangan Terbang Danang.

Bahan tercemar

Proses penyingkiran bahan-bahan tercemar berskala besar bagaimanapun belum dimulakan lagi. Ia mungkin memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Pakar-pakar dari Vietnam dan negara luar berkata, kerja-kerja pembersihan yang berterusan itu tidak terlalu membahayakan Khai dan tanamannya.

Biarpun begitu, penduduk yang tinggal berdekatan lapangan terbang tersebut secara amnya memang terdedah kepada risiko dioksin.

Satu kajian oleh penyelidik Kanada mendapati, terdapat peningkatan paras dioksin di dalam tubuh mereka yang tinggal berdekatan lingkungan utara dan timur lapangan terbang itu. Biarpun begitu, bilangan orang yang terdedah kepada risiko pencemaran itu tidak dapat dikenal pasti.

"Kami sebulat suara bersetuju dioksin adalah tidak baik," kata Koos Neefjes, seorang penasihat tentang dioksin untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Hanoi.

Khai yang berusia 76 tahun bagaimanapun tidak berasa bimbang.

"Di sini, mana ada pencemaran? Tengok, saya pun masih hidup lagi," ujar seorang penduduk tetap di kawasan tersebut.

Racun

Sepanjang perang Vietnam, pasukan tentera AS telah menyimpan sejenis racun rumput-rampai, Agen Oren di Danang dan pangkalan lain sebelum dimuatkan ke dalam pesawat untuk tujuan meranggas.

Presiden pakar-pakar Perunding Persekitaran Hatfield, Kanada, Thomas Boivin berkata, kawasan hutan yang terkena semburan racun perosak itu bagaimanapun tidak mengandungi paras dioksin yang tinggi hari ini. Boivin telah menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya untuk mengkaji pencemaran dioksin di Vietnam.

Walaupun begitu, kerajaan AS dan Vietnam telah mengenal pasti bekas lapangan terbang AS di Danang, Bien Hoa dan Phu Cat sebagai lokasi pencemaran utama. Di situ, tumpahan dan proses memuatkan racun-racun perosak itu ke dalam pesawat telah menyumbang kepada pencemaran bertoksik.


TRAN TIEN DAT, 4, (kiri) salah seorang kanak-kanak yang menghadiri sesi pemulihan Doan Thi Quyen di Perkampungan Keamanan Thanh Xuan, Hanoi, Vietnam.


Boivin berkata, paras kandungan dioksin di Lapangan Terbang Danang kini 300 hingga 400 lebih tinggi berbanding tahap yang dibenarkan di peringkat antarabangsa.

Kira-kira dua tahun lalu, kerajaan Vietnam dengan bantuan AS telah memasang sebuah penutup di lokasi penyimpanan Agen Oren selain memperbaiki sistem perparitan. Proses menapis mendapan tasik di dalam kawasan lapangan terbang Danang turut dijalankan.

Pegawai kedua-dua pihak memberitahu, langkah-langkah bersifat sementara itu berjaya mencegah sebaran pencemaran tersebut.

Destinasi pelancongan

Kawasan yang terjejas itu berada di bawah pengawasan pasukan tentera Vietnam dan dalam perancangan kerajaan untuk dipromosikan sebagai sebuah destinasi pelancongan. Ia juga terpisah daripada terminal penumpang di bandar raya keempat terbesar di Vietnam itu.

Dalam beberapa sesi ceramah mengenai sebaran Agen Oren pada bulan ini, Neefjes berkata, tanpa tindakan lanjut, bahan-bahan tercemar di lokasi 'tenat' itu akan terus tersebar menerusi partikel-partikel tanah, aliran air, hidupan liar dan udara. Sesi ceramah tahunan itu telah diadakan di antara pihak berkuasa Vietnam dan AS.

Dioksin boleh merebak menerusi rantaian makanan seperti melalui ikan atau ayam.

Biarpun bantuan terus diterima, AS memberi tumpuan kepada lokasi Danang atas permintaan kerajaan Vietnam.

Para pegawai AS berkata, isu yang kompleks dan sensitif dari aspek politik seperti itu memerlukan persetujuan sebulat suara daripada kerajaan AS sendiri selain persefahaman antara AS dan Vietnam.

Duta AS, Michael Michalak berkata, kerajaan AS telah bertindak pantas dalam menggerakkan projek tersebut. Beliau mengulas aduan seorang pegawai kanan kerajaan Vietnam yang mendakwa dana daripada kerajaan AS tidak disalurkan dengan pantas.

Penilaian

Michalak sebaliknya memberitahu, pelbagai tawaran telah diterima dan satu kontrak untuk penilaian alam sekitar serta kerja-kerja persediaan di Danang akan diumumkan dalam masa terdekat. Malah, pada Jun lalu kedua-dua kerajaan telah mula mencuba satu kaedah penyingkiran dioksin menggunakan organisma biologikal, bioremediasi.

Pengarah Office 33 yang mengendalikan isu Agen Oren di Vietnam, Lai Minh Hien berkata, proses penyingkiran bahan-bahan tercemar itu dilakukan menerusi teknologi bio atau kaedah lain.

Proses penyingkiran bahan pencemaran di tiga bekas lapangan terbang tersebut mungkin mencecah kos perbelanjaan bernilai AS$60 juta dolar (RM209 juta). Dalam satu temu bual bersama agensi berita AFP, Hien telah meminta bantuan dana tambahan daripada kerajaan AS.

"Kami mahu kerajaan AS menggandakan usaha mereka," kata Hien.


PEGAWAI Persatuan Mangsa Agen Orange Danang Tra Thanh Lanh menunjukkan kawasan yang dipercayai tercemar dengan dioksin di Danang, Vietnam.


Meskipun begitu, Michalak memberitahu, adalah terlalu awal untuk menganggarkan kos sebenar proses pembersihan tersebut.

Sementara itu, pengerusi bersama dalam ceramah bersifat bilateral itu, Le Ke Son berkata, pencemaran di Bien Hoa misalnya adalah satu contoh terbaik.

"Skop pencemaran di sana adalah jauh lebih luas daripada jangkaan dan memerlukan kajian baru," jelasnya.

Biarpun Perang Vietnam berakhir pada 1975, hubungan antara AS dan Vietnam hanya berjaya dipulihkan sekitar tahun 1995.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: