Tuesday, September 29, 2009

Azam baru Scha: Enggan cakap tentang Fahrin



Sejak membuat pengakuan mahu berkahwin dengan kekasihnya, Fahrin Ahmad, model dan pelakon jelita, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau Scha mula tidak senang duduk. Kenyataannya itu mengundang pelbagai persepsi peminat yang rata-ratanya tidak senang dengan sikapnya yang terlalu awal bercerita tentang perkahwinan dengan aktor kacak itu.

Lantaran itu, Scha bertekad untuk tidak lagi bercerita mengenai perihal cinta mereka kepada pihak media. Dia mengakui mendapat maklum balas negatif daripada peminat setianya berhubung kisah cinta mereka yang menjadi bahan bualan hangat.

“Cukuplah dengan kenyataan saya sebelum ini. Sikap saya yang berterus terang disalah erti oleh segelintir pihak. Selepas berfikir panjang dan mendapat nasihat Fahrin, saya fikir lebih baik cerita mengenai saya tertumpu kepada karier bukannya peribadi.

“Saya jadi rimas apabila kisah mengenai peribadi saya menjadi tumpuan. Jadi saya memang berazam tidak mahu lagi cerita peribadi menenggelamkan kisah kerjaya saya,” tegas pelakon yang popular menerusi drama ‘Awan Dania’ ini.

Serah jodoh pada takdir

Ditanya adakah hubungannya dengan Fahrin masih diteruskan, Scha tidak nafikan perkara itu. Katanya, dia dan Fahrin masih menjalin hubungan seperti biasa namun mereka lebih berhati-hati berhadapan dengan pihak media.

“Sebenarnya kami masih dalam proses mengenali hati budi. Soal jodoh tu, biarlah dulu. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya. Saya serahkan soal jodoh saya dengan Fahrin kepada takdir. Andai sudah ditakdirkan hidup bersama, saya terima.

“Lagipun banyak hati yang perlu dijaga. Ramai teman-teman rapat juga menasihati agar agar tidak terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi kami dengan pihak media kerana bimbang disalah erti oleh peminat. Terus-terang, saya ni tak pandai nak ‘belit-belit’, biasanya apa yang orang tanya itulah yang akan saya jawab. Tak sangka pula sikap saya tu akhirnya ‘memakan diri’ saya sendiri. Apa pun saya akan berhati-hati selepas ini,” katanya.

Jadi perempuan gedik

Walaupun masih dikira hijau dalam bidang seni namun Scha mendapat perhatian pengarah dan penerbit filem. Terbaru, pelakon tinggi lampai ini membintangi filem Papadom.

Scha tidak nafikan wataknya dalam filem Papadom mencabar kerana inilah kali pertama dia membawa watak sebagai wanita yang feminin dan gedik.

“Ada peminat yang tidak suka saya bawa watak perempuan gedik tapi saya tidak kisah. Saya mahu cuba menghayati watak baru, saya enggan melakonkan watak yang sama. Dengan cara ini, semakin banyak perkara yang saya pelajari dalam bidang lakonan.

“Bagi saya, filem Papadom sangat bagus kerana di sebalik genre komedi yang diketengahkan terselit mesej berguna. Ia perlu dihayati dan mesej ini dapat membantu kita dalam kehidupan,” ceritanya.

Bercerita mengenai bidang lakonan, Scha kini sedang giat menjalani penggambaran Awan Dania musim kedua (26 episod). Scha bersyukur kerana drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Setakat ini, saya baru jalani penggambaran episod ketiga. Watak saya semakin berkembang. Kerjaya saya dalam musim kedua semakin stabil dan saya sudah dapat suaikan diri dengan suasana pekerjaan,” ujar Scha yang menggantikan tempat Linda Onn sebagai pengacara Sehati Berdansa bersama Fahrin.

Tidak bercadang ke rumah Fahrin

Bertanyakan tentang sambutan Aidilfitri, kata Scha, tahun ini dia tidak pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah, kerana keluarganya pula datang beraya di Kuala Lumpur.

“Biasanya kami beraya di kampung, tapi tahun ini keluarga saya datang sini sebab nak beraya rumah baru abang kami yang terletak di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Sekali sekali buat perubahan macam ni, seronok juga sebab dapat rasa pengalaman raya yang berbeza,” katanya yang tidak bercadang untuk beraya di rumah Fahrin.

Berkongsi pengalaman rayanya, kata Scha, dia tidak dapat melupakan kenangan menyambut raya ketika zaman kanak-kanak dulu. Dia yang lasak orangnya, pernah melemparkan mercun pada sepupunya hingga parutnya masih ada hingga ke hari ini.

“Masa kecil-kecil dulu, Scha ni nakal orangnya. Apa yang orang nak main, Scha nak juga. Mercun pun Scha nak, lepas tu baling kat orang,” katanya sambil ketawa kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: